Ar-Rayyan Pintu Syurga Bagi Ahli Puasa

Izuan
ar-rayyan

Pernah dengar tak tentang pintu syurga bernama ar-Rayyan?

‘Ar-Rayyan’ ini berasal dari perkataan “al-ray” yang bererti pengairan, menyegarkan dan pemandangan indah. Nama ini sesuai dengan keadaan orang-orang berpuasa terutama di bulan Ramadhan yang menahan diri dari makan, minum dan hawa nafsu. Rasa dahagalah yang lebih dirasakan oleh orang yang berpuasa berbanding lapar.

Daripada Sahl bin Sa‘ad RA berkata, Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti. Tidak akan masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, akan diseru oleh penjaganya: Dimanakah orang yang berpuasa? Maka mereka yang berpuasa pun bangun (memasukinya), tidak ada yang akan memasukinya melainkan mereka sahaja. Apabila mereka memasukinya, pintu itu akan ditutup, maka tiada siapa lagi yang akan dapat memasukinya.”

(Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1896, Muslim, no. 1152, At-Tirmizi, no. 765, An-Nasaie, no. 2237)

Ulasan Hadis ar-Rayyan

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3. Ar-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

4. Berkata Mulla al-Qari: “Maksud ar-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”

5. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas.

Wallahua’lam

sumber – shafiqolbu, muftiwp, viralmy

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini