Perang Uhud berlaku pada tahun ketiga hijrah pada bulan Syawal, kira-kira setahun setelah Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana pertempuran itu berlaku di sebuah kawasan yang dikelilingi Bukit Uhud. Perang ini merupakan rancangan kaum Quraisy untuk membalas dendam terhadap orang Islam yang telah memalukan mereka di Perang Badar.
Isi Kandungan
Persiapan Perang Uhud
Tentera Islam pada mulanya 1000 orang, namun 300 orang berpatah balik selepas dihasut oleh Abdullah bin Ubai, maka jumlah yang berperang menjadi 700 orang sahaja. 650 orang menjadi tentera berjalan kaki, 50 orang menjadi ahli pemanah. Pasukan ini diketuai oleh Rasulullah SAW sendiri.
Tentera Quraisy pula seramai 3000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibn Harb. Logistik pengangkutan di dalam angkatan kali ini sebanyak tiga ribu ekor unta, kekuatan tentera berkuda adalah sebanyak dua ratus ekor kuda. Tujuh ribu perisai turut dibawa bersama. Dikatakan 15 orang wanita turut serta sebagai perangsang semangat perang, ketuanya ialah Hindun binti Utbah isteri Abu Sufian,
Lokasi Tentera Pada Pertempuran Uhud
Tentera Islam
Rasulullah memilih di antara mereka dan menubuh sepasukan pemanah yang mahir, dengan tenaga seramai lima puluh orang, pimpinan diserahkan kepada Abdullah bin Jubair. Mereka diperintahkan supaya mengambil tempat di atas bukit Uhud, yang terletak di sebelah selatan tebing lembah yang kemudian dikenal sebagai “Jabal al-Rumah“
Adapun baki askar, Rasulullah membahagikan mereka kepada sayap kanan di bawah pimpinan al-Muzir bin Amru dan sayap kiri dibawah pimpinan al-Zubair bin al-Awwam
Tentera Quraisy
Pimpinan agung diletak di bawah Abu Sufian ibn Harb, yang mengambil posisinya di tengah-tengah askar Makkah, sayap kanan dipimpin oleh Khalid bin al-Walid, sayap kiri oleh Ikrimah bin Abu Jahal, pejalan kaki dipimpin oleh Safwan bin Umaiyyah manakala unit pemanah diletakkan dibawah pimpinan Abdullah bin Abi Rabiah. Panji peperangan diserahkan kepada Thalhan bin Abi Thalhah dari Banu Abdul Al-Dar.
Hari Peperangan
Kedua-dua belah semakin mendekati lawannya, detik-detik pertempuran pun dah sampai dipermulaannya, provokasi dimulakan oleh Talhah bin Abi Talhah si pemegang panji Quraisy. al-Zubair melihat itu sebagai cabaran, lalu dengan pantas menerkam ke arah Talhah dan membunuhnya.
Perang pun tercetus, dan fokus utama semestinya kepada pemegang panji. Pemegang panji Quraisy terkorban satu demi satu, sehingga akhirnya tiada yang menaikkan panji itu lagi.
Tentera Islam dengan semangat berkobar-kobar telah menguasai peperangan itu. Antara pejuang yang hebat pada masa itu ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, Abu Dujanah, Zubair al-Awwam, Umar al-Khattab dan ramai lagi.
Tentera Quraisy mula berundur kerana tidak mampu menahan tekanan dari tentera Islam. Melihat keadaan itu, ramai tentera Islam hilang fokus dan mula melihat ke arah harta rampasan perang Uhud. Pasukan pemanah Muslim lalu turun dari Bukit Uhud berebut-rebut mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan sehingga mereka lupa larangan Nabi Muhammad supaya tidak meninggalkan Uhud walau apapun yang berlaku.
Khalid bin al-Walid terus mempergunakan kesempatan keemasan ini dengan berpatah balik dari belakang bukit secepat kilat, dengan itu mereka telah dapat menguasai saf belakang tentera Islam, malah mereka telah membunuh Abdullah bin Jubair dan sahabat-sahabatnya, setelah itu terus mereka menyerang tentera Islam dari belakang, kemudian tentera berkuda mereka melaung selantang suara, menyebabkan kaum musyrikin yang berundur menyedari perkembangan terbaru, dengan itu mereka terus membuat asakan ke atas tentera Islam, dari arah depan dan belakang menyebabkan tentera Islam tersepit di antara dua serangan.
Rasulullah Dikepung
Ketika tentera Islam sedang dikepung dan tersepit dicelah asakan tentera musuh, pertempuran terus memuncak di sekitar Rasulullah, sebagaimana yahg kita sebutkan bahawa semasa kaum musyrikin memulakan kepungan, tentera Islam yang ada bersama-sama Rasulullah hanya sembilan orang sahaja. Tetapi apabila Rasulullah menyeru kaum muslimin: “Ayuh di sampingku! Aku Rasulullah! Seruan itu telah didengar terlebih dahulu oleh kaum musyrikin. Apa lagi, mereka pun terus menerkam ke arah Rasulullah beramai-ramai.
Ketika saat getir itu, Abu Talhah dan Saad bin Abi Waqqas bersama Nabi, bertahan daripada asakan musuh. Tidak lama selepas itu, datang Abu Bakar as-Siddiq dan sahabat dari barisan hadapan.
Quraisy Menyangka Rasulullah Telah Mati
Seorang tentera Quraisy menyangka telah membunuh Rasulullah, lalu dia berteriak tentang perkara itu, maka tersebar luas berita kematian Rasulullah di kalangan kaum muslimin dan kaum musyrikin, itulah saat di mana semangat juang di kalangan tentera Islam sudah merosot terutama para sahabat yang terkepung yang tidak bersama-sama Rasul, kini semangat juang telah hancur, malah hingga berlaku kekacauan di dalam saf Islam, suasana sudah tidak terurus dan huruhara,
Di masa itu Rasulullah berjaya menembusi ke tengah-tengah tenteranya, yang terus terkepung, Baginda meluru ke arah mereka, Ka’ab bin Malik seawal-awal orang yang mengenali Rasulullah, beliau terus menarik selendang saudaranya, wahai kalian muslimin, berbahagialah kamu, ini dia Rasulullah, di masa itu Rasulullah memberi isyarat kepadanya supaya berdiam, untuk tidak dilihat kedudukannya oleh kaum musyrikin: Namun laungan beliau itu telah sampai ke pendengaran kaum muslimin, maka bersegeralah mereka ke Rasulullah, hingga terkumpul di sisi Baginda kurang lebih tiga puluh orang para sahabat.
Unit yang bersama-sama Rasulullah berjaya berundur secara tersusun ke suatu lereng bukit, dan dituruti oleh kelompok-kelompok tentera Islam lain, ke sudut yang selamat itu.
Serangan Terakhir Kaum Musyrikin
Setelah Rasulullah berjaya memperkukuhkan markaz pimpinannya di lereng bukit, pihak musyrikin telah membuat percubaannya yang terakhir dalam rangka usaha mereka untuk melenyapkan kekuatan tentera Islam. Dalam hal ini Ibnu Ishak menceritakan; Semasa Rasulullah berada di lereng itu, tiba-tiba sekumpulan tentera Quraisy mara ke atas bukit dibawah pimpinan Abu Sufian dan Khalid bin al-Walid, maka Rasulullah melaung dengan sabdanya: Ya Allah ya Tuhanku, tidak seharusnya mereka itu mengatasi kita, maka dengan itu Saidina Umar dan beberapa orang Muhajirin yang lain mara dan melawan mereka serta memaksa mereka turun.
Perang Uhud ini berakhir apabila Abu Sufyan membuat keputusan tidak mengejar lanjut tentera Muslim, dan mengisytiharkan kemenangan.
Perang Uhud Dalam Al Quran
Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada´. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, (A’li Imran : 140)
Kesan Perang Uhud
- Bilangan tentera Islam yang terbunuh dalam perang Uhud ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang tetapi angka bilangan ini dipercayai kurang tepat.
- Panglima Islam yang terbunuh dalam perang Uhud ialah Bapa saudara nabi, Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib telah mati dibunuh oleh seorang hamba bernama Wahsyi. Wahsyi telah membaling lembing lalu terkena tulang rusuk Saidina Hamzah. Selepas peperangan, Hindun telah merentap hatinya lalu mengunyahnya kemudian diluahkannya.
- Rasulullah SAW berasa amat sedih dan memerintahkan agar semua yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian yang mereka pakai ketika berperang.
- Luka nabi pada Perang Uhud agak teruk iaitu di muka, bibir, kedua-dua lutut, pipi dan patah giginya ketika terjatuh ke dalam perangkap yang digali oleh Abu Amar Al Rahab.
Iktibar Perang Uhud
Jauhi Sifat Tamak
Tamak kepada harta rampasan perang dan Iain-lain habuan kebendaan akan membawa kepada kegagalan seterusnya kekalahan. Ini berlaku dalam perang Uhud, iaitu apabila para pemanah meninggalkan posisi mereka lantaran untuk merebut harta rampasan perang.
Mengatur Strategi Asas Kemenangan
Kehebatan dan kepantasan Rasulullah SAW dalam mengatur strategi dan taktik dalam perang Uhud memberi gambaran jelas kepada kita semua bagaimana tugas nabi bukan hanya tertakluk kepada menyampaikan dakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pemerintahan malah peperangan dalam memastikan kalimah Allah terus berada di tempat yang tertinggi.
Patuh kepada Arahan Pemimpin
Tentera bawahan dan penyokong dakwah tidak boleh melanggar arahan pemimpin yang tegas lagi berpandangan jauh dalam sesuatu perkara yang diputuskan oleh beliau. Setelah mereka bertukar-tukar pendapat dan mengemukakan pandangan kepadanya, pemimpin yang memikul tanggungjawab paling besar seperti ini patut diberi kepercayaan. Sekiranya selepas perbincangan tersebut, beliau memutuskan sesuatu perkara, mereka mestilah mentaatinya.
Wallahua’lam
keywords : perang uhud upkk, perang uhud pdf