Saad ibn Abi Waqqas

Saad ibn abi waqqas

Saad ibn Abi Waqqas ialah salah seorang sahabat nabi yang banyak memberi sumbangan kepada agama Islam. Beliau memeluk Islam pada usia yang muda dan termasuk dalam golongan al-Sabiqun al-Awwalun iaitu golongan yang awal memeluk Islam.

Kisah Saad ibn Abi Waqqas Masuk Islam

Pada waktu remaja, ketika Saad masih dalam pencarian jati diri, Saad telah menemui jawapannya dalam agama Islam. Ujian boleh datang pelbagai cara, untuk Saad, ujian yang berat datang melalui ibunya.

Ibunya tidak reda dan merajuk kerana Saad telah meninggalkan agama nenek moyang mereka iaitu menyembah berhala. Ibu Saad kemudian melakukan mogok makan dan minum, sehingga badannya menjadi lemah.

“Aku bersumpah kalau kau tidak meninggalkan agama itu, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati! Biar kau rasa bersalah seumur hidupmu. Biar kau menyesal. Biar orang mencerca perbuatanmu selama-lamanya” kata ibu Saad.

Saad sebagai anak yang baik tetap menyediakan makanan kepada ibunya.

Akhirnya satu hari Saad berkata pada ibunya, “Wahai Ibu. Sungguh aku kasih padamu, dan aku juga kasih pada Allah dan Rasul. Ketahuilah, sekalipun tuhan memberikan kamu 1000 nyawa, dan nyawa itu melayang satu demi satu, aku tetap tidak akan berganjak dari agamaku..”

Setelah melihat ketegasan Saad, si ibu akur dan mengalah. Akhirnya dia menjamah juga makanan dan minuman yang disediakan.

Kemudian turun ayat :

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Al-Ankabut, Ayat 8

Panglima Perang Dan Pemanah Yang Hebat

Pekerjaan beliau ialah membuat busur dan anak panah. Beliau juga merupakan pemanah yang amat tepat panahannya. Ketika perang Uhud, Saad menjadi ketua pasukan pemanah yang ditempatkan di Bukit Uhud. Saad memainkan peranan penting ketika itu sehinggakan orang Islam hampir menang, tetapi akibat beberapa tentera yang tidak patuh arahan Rasulullah menyebabkan panglima Khalid al-Walid berjaya membalik keadaan dan kemenangan berpihak kepada Musyrikin Makkah.

Antara gelaran beliau ialah Panglima Qadisiyah, ini kerana Saad dilantik menjadi panglima perang ketika Perang Qadisiyah.

Peperangan al-Qadisiyyah telah berlaku pada tahun ke-14 Hijrah. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang sangat hebat di antara tentera Islam di era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA dan dipimpin oleh panglima perang yang disegani, Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bertembung dengan tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum bin Farrukhzad al-Armani. Tarikh at-Tobari (3/487).

Kemenangan umat Islam dalam peperangan ini menjadi titik tolak kepada kejatuhan empayar Parsi serta penguasaan umat Islam terhadap negeri-negeri di bawah taklukan kerajaan Parsi dan kawasan sekitarnya.

Berdakwah di Negara China

Menurut catatan rasmi dari Dinasti Tang yang berkuasa pada 618-905 M dan berdasarkan catatan serupa dalam buku A Brief Study of the Introduction of Islam to China karya Chen Yuen, Islam pertama kali datang ke China sekitar tahun 30 H atau 651 M.

Disebutkan, Islam masuk ke China melalui utusan yang dikirim oleh Khalifah Usman bin Affan (23-35 H / 644-656 M). Menurut catatan Lui Tschih, penulis Muslim China pada abad ke-18 dalam karyanya Chee Chea Sheehuzoo (Perihal Kehidupan Nabi), Islam dibawa ke China oleh rombongan yang dipimpin Saad bin Abi Waqqas.

Saad berlayar melalui Samudera Hindi ke Laut China menuju pelabuhan laut di Guangzhou. Kemudian ia berlayar ke Chang’an atau kini dikenal degan nama Xi’an melalui laluan yang kemudian dikenal sebagai Jalan Sutera. Bersama para sahabat, Saad datang dengan membawa hadiah dan diterima dengan baik oleh kaisar Dinasti Tang, Kao-Tsung (650-683). Namun Islam sebagai agama tidak langsung diterima oleh sang kaisar.

Setelah melalui proses penyelidikan, sang kaisar kemudian memberikan izin bagi pengembangan Islam yang dirasanya sesuai dengan ajaran Konfusius. Namun, sang kaisar merasa bahwa kewajiban shalat lima kali sehari dan puasa sebulan penuh terlalu berat baginya hingga akhirnya ia tidak jadi memeluk Islam.

Namun begitu, ia mengizinkan Saad bin Abi Waqqas dan para sahabat untuk mengajarkan Islam kepada masyarakat di Guangzhou. Oleh orang Cina, Islam disebut sebagai Yi si lan Jiao atau agama yang murni. Kota Makkah disebut sebagai tempat kelahiran Buddha Ma-hia-wu (atau Rasulullah Muhammad SAW).

Saad bin Abi Waqqas kemudian menetap di Guangzhou dan ia mendirikan Masjid Huaisheng yang menjadi salah satu tonggak sejarah Islam paling berharga di China. Masjid ini menjadi masjid tertua yang ada di daratan Cina dan usianya sudah melebihi 1300 tahun. Ianya teletak di jalan Guang Ta Lu.

Agama Islam berkembang di China sehingga hari ini, berkat daripada pengorbanan Saad ibn Abi Waqqas dan para sahabatnya.

Wallahua’lam

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini