Solat Isyraq ialah solat sunat yang dilakukan pada pagi hari sebagai tanda syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada kita untuk bangkit lagi pada hari itu. Selagi kita hidup di dunia, peluang bertaubat sentiasa terbuka.
Isi Kandungan
Kelebihan Solat Sunat Isyraq
Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ
“Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi dan , ath-Thabrani r.a.)
Setelah mengetahui fadhilat Solat Sunat Isyraq, jom kita cuba amalkan sama-sama.
Waktu Solat Isyraq
Solat Sunat Isyraq dua rakaat ini dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), untuk lebih selamat, kira-kira 10 minit setelah terbit matahari.
Tidak boleh serta merta solat sunat setelah waktu Syuruk(tamat waktu Subuh/terbit matahari) supaya ia tidak menyamai orang yang menyembah matahari. Waktu ini juga adalah haram untuk melakukan sebarang solat berdasarkan dalil di bawah,
Dari Abdullah bin ‘Umar r.a.,katanya Rasulullah shallallahu’ alaihi wa sallam bersabda: “Waktu Subuh adalah sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Apabila matahari terbit, berhentilah solat kerana dia terbit antara dua tanduk syaitan.” (Hadis Riwayat, Muslim r.a.)
Waktu solat ini lebih kurang 30 minit, setelah itu dikira waktu Dhuha. Kadangkala orang menggelarnya solat sunat syuruk 2 rakaat.
Cara Solat Sunat Isyraq
Rakaat solat Isyraq ialah dua.
Tatacara solat sama seperti solat lain iaitu bermula dengan niat solat sunat Isyraq,
“Sahaja aku solat sunat isyraq dua rakaat kerana Allah Taala”
Kemudian baca surah al-Fatihah, surah lazim, rukuk, iktidal, sujud seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
Doa Solat Sunat Isyraq
Anda boleh juga membaca al-Ma’thurat atau zikir pagi yang anda biasa amalkan.
Setelah itu jika ada masa lapang, boleh teruskan dengan solat Dhuha pula. Solat Dhuha merupakan satu amalan yang bagus untuk menjemput rahmat Allah agar urusan harian kita dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.
Wallahua’lam
rujukan – akuislam, shafiqolbu, mufti wilayah