Abu Lahab Penghuni Neraka

Izuan
Abu lahab

Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza bin Abdul Muthalib (Abdul Uzza dengan makna hamba kepada berhala Uzza). Nasabnya adalah seperti berikut: Abdul Uzza bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab.

Lebih dikenal dengan nama Kunyah: Abu Lahab berbanding nama sebenarnya. Maksud Abu Lahab adalah menyala-nyala. Ada yang mengatakan bahawa yang memberi gelaran Abu Lahab adalah ayahnya, Abdul Muttalib, kerana Abu Lahab wajahnya sangat cerah dan kemerah-merahan.

Dia mempunyai isteri bernama Urwah bin Harb atau lebih dikenali sebagai Ummu Jamil. Suami isteri ini amat memusuhi Rasulullah SAW dan selalu bertindak melampaui batas terhadap Nabi Muhammad SAW.

Kisah Abu Lahab di Neraka

Abu Lahab terkenal dengan sifat memusuhi agama Allah. Cukuplah kalimah beliau mencelakan Nabi SAW, maka Allah SWT menurunkan Surah al-Masad:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ

MaksudnyaBinasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. – Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.

(Surah al-Masad: 1-5)

Abu Lahab Jahat Terhadap Rasulullah

Abu Lahab tinggal tidak jauh dengan Rasulullah. Hampir setiap hari, dia akan meletakkan kotoran dan benda busuk di hadapan Rasulullah SAW.

Suatu ketika semasa Nabi Muhammad berdakwah di bukit Safa, Abu Lahab turut ikut serta. Ketika Rasulullah menyeru kepada orang ramai untuk mentauhidkan Allah, tiba-tiba Abu Lahab bersuara lantang, “Apakah hanya untuk ini kamu mengumpulkan kami? Celakalah kamu!” Tidak berapa lama kemudian turunlah surah al-Masad yang mencela tindakan Abu Lahab.

Ketika musim haji, pembesar Quraisy yang diketuai oleh Walid ibn al-Mughirah merancang menyebarkan fitnah terhadap Rasulullah SAW. Yang bersemangat melaksanakan tugas jahanam itu ialah Abu Lahab, kerana apabila Rasulullah mengikuti sesetengah orang di musim itu ke kediaman mereka, ke pasar Ukaz, Mijannah dan Zul Majaz untuk mendakwah mereka ke agamanya, Abu Lahab akan mengekori dari belakangnya dan memberi tahu kepada mereka, ”Jangan kamu percaya dia, dianya seorang yang sudah keluar agama serta pendusta”.

Isteri Abu Lahab iaitu Ummu Jamil selalu membawa batang-batang duri untuk menjerangkap samar dijalan-jalan yang dilalui Rasulullah, malah di malam hari beliau datang ke hadapan rumah Rasulullah dengan meletakkan batang-batang duri di hadapan pintu rumah Rasulullah (s.a.w). Selain dari itu lidahnya juga tidak kurang bisanya memaki hamun Baginda, mulutnya lancang membuat fitnah dan penipuan terhadap Baginda, memarakkan api fitnah, beliau adalah batu api menimbulkan perkelahian terhadap Rasulullah.

Bagaikan pepatah bapa borek anak rintik, Anak Abu Lahab yang bernama ‘Utaybah dan ‘Utbah pernah mengahwini puteri Baginda SAW. Walau bagaimanapun, disebabkan agama Islam yang dibawa Muhammad, si ‘Utbah kemudian menceraikan Ruqayah dan si ‘Utaybah menceraikan Ummu Kalthum.

Hamba Abu Lahab seorang wanita bernama Thuwaibah al-Aslamiyah pernah menjadi ibu susuan Nabi.

Kematian Abu Lahab

Ketika saat-saat akhir kehidupannya, kesihatan dia merosot. Dikatakan Abu Lahab tidak hadir dalam peperangan Badar kerana usianya sudah tua tetapi apabila mendengar berita kekalahan Quraisy, beliau amat berdukacita.

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan kisah yang berlaku selepas perang Badar di Kota Mekah:

Abu Rafi’ ialah seorang hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW.

Beliau berkata: Dahulu aku adalah hamba milik al-Abbas. Ketika itu Islam telah sampai kepada seluruh Ahli Bait. Al-Abbas masuk Islam, kemudian aku dan Ummu Fadhl juga masuk Islam. Namun al-Abbas menyembunyikan keislamannya. Ketika itu aku seorang yang lemah. Aku bekerja membuat anak panah. Aku merautnya di dalam sebuah bilik yang berhampiran telaga zamzam.

Demi Allah, ketika aku sedang duduk meraut anak panahku di sana, sementara Ummu Fadhl duduk berhampiran denganku dan kami sedang bergembira kerana berita kemenangan tentera Islam yang sampai kepada kami, tiba-tiba Abu Lahab datang dengan menyeret kedua-dua kakinya, sehingga dia duduk tepat di hadapan kain penutup bilik dan belakangnya bersandar pada belakangku. Ketika dia sedang duduk, orang ramai berkata, “Inilah Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Muttalib. Dia datang.”

Maka Abu Lahab berkata: “Ke marilah! Dekatilah aku! Engkau pasti membawa banyak berita.” Abu Sufyan lantas duduk berhampiran dengannya, sementara orang ramai berdiri di hadapannya. Abu Lahab bertanya, “Hai anak saudaraku, beritakanlah kepadaku apa yang terjadi.”

Abu Sufyan menceritakan, “Tiada lain kecuali pasukan mereka berhadapan dengan kami, lalu kami menyerahkan belakang kami kepada mereka. Mereka membunuh orang-orang kita semahu mereka. Mereka juga menawan orang-orang kita sesuka hati mereka. Demi Allah, walaupun begitu, aku tidak mengancam siapa pun, sebab kami berhadapan dengan orang-orang yang berpakaian putih yang turun memakai kuda belang di antara langit dan bumi. Demi Allah, kuda-kuda itu tidak meninggalkan jejak sedikit pun dan tidak berpijak pada apa-apa pun.”

Abu Rafi’ meneruskan, “Kubuka kain penutup bilik dengan kedua-dua tanganku, lalu aku berkata, “Demi Allah, itu malaikat.”

Mendadak Abu Lahab mengangkat tangan, lalu memukul wajahku dengan kuat. Aku menerkamnya, tetapi dia mengangkat tubuhku, lalu membalingku di tanah. Kemudian dia berlutut di atas tubuhku sambil memukulku. Waktu itu aku orang yang lemah sehingga Ummu Fadhl mengambil salah satu tiang penyangga bilik, lalu digunakannya untuk memukul Abu Lahab sehingga kepalanya luka parah. Ummu Fadhl berkata, “Kau berani menyeksa orang ini semasa tuannya tidak ada?”

Abu Lahab beranjak pergi dengan kepala tertunduk. Demi Allah, dia hanya hidup tujuh hari selepas itu, sehingga Allah menimpakan pada lukanya bernanah yang biasanya membuatkan orang ramai Arab berasa jijik, lalu kesan itu membunuhnya.

Tidak ada saudaranya yang mahu mengurusnya, sehingga mayatnya dibiarkan begitu sahaja selama tiga hari tanpa dikuburkan. Disebabkan khuatir akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, maka barulah mereka menggalikan liang kubur untuknya. Kemudian mereka menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu, lalu melemparnya dengan batu-batu dari jauh sehingga jasadnya tertimbun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 335-336)

Begitulah pengakhiran hidup Abu Lahab, orang yang kuat memusuhi Islam dan menentang dakwah Rasulullah SAW semasa hidupnya.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini