Sirah Nabi – Halimah as-Sadiyah Ibu Susuan Nabi

Izuan
Bani Saad

Halimah as-Sadiyah merupakan seorang ibu susuan dari kalangan Bani Saad. Dia amat bertuah kerana dapat menjadi ibu susuan Rasulullah dan menyaksikan dengan jelas segala rahmat dan keberkatan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda SAW.

Mengikut resam bangsa Arab Hadhar (bandar), mereka akan mencari ibu susuan di pedalaman, dipercayai sebagai usaha mencegah dari penyakit-penyakit yang terdapat di bandar, di samping menguatkan pembinaan jasad anak- anak, menguatkan otot, dan sebagai cara untuk membantu kefasihan bahasa Arab sejak dalam buaian lagi.

Setelah kelahiran Nabi Muhammad, Abdul Mutalib telah berusaha mencari ibu susuan untuk Rasulullah, beliau menyerahkan Muhammad kepada seorang wanita Bani Sa’ad, iaitu Halimah binti Abi Zuaib atau lebih dikenali sebagai Halimah as-Sadiyah.

Adapun saudaranya yang sepenyusuan di Bani Sa’ad adalah:

  • Abdullah bin al-Harith
  • Anisah binti al-Harith
  • Huzafah atau Jazimah binti al-Harith (iaitu al-Syaima’
  • Abu Sufian Ibn al-Harith bin Abdul Mutalib, anak bapa saudara Rasulullah.
  • Hamzah bin Abdul Mutalib, bapa saudara Rasulullah

Halimah as-Sadiyah dan Keberkatan Rasulullah SAW

Ibn Ishaq telah menceritakan:

Halimah as-Sadiyah telah berkata yang ianya telah keluar dari kampung bersama suaminya dan disertai oleh anak kecil yang masih menyusu, beliau keluar bersama-sama wanita-wanita Bani Sa’d, dalam rangka mencari anak-anak susuan dengan katanya, Ini berlaku di tahun kedua di mana kami tidak memiliki apa-apa pun katanya lagi: Aku telah keluar dengan menunggangi keldai betina “Qamra” panggilannya, bersama kami unta-unta, demi Allah unta kami itu tidak mengeluar susu setitik pun.

Ada masanya kami tidak dapat tidur kerana anak kecil kami menangis disepanjang malam lantaran kelaparan, dadaku tidak dapat mengenyangkan, unta kami tidak dapat memberi makanan, namun demikian kami masih tetap mengharapkan hujan, daku keluar dengan keldai betinaku itu, hingga pecah-pecah dan berdarah kaki kerana muatan berat, seluruh yang bermusafir itu terasa berat, lemah dan kekurusan.

Akhirnya sampai juga kami di Kota Makkah mencari anak-anak susuan, setiap dari kami telah diajukan Rasulullah untuk penyusuannya maka setiap orang pula menolaknya kerana keyatimannya, setiap kami sebagai ibu susu mengharapkan budi baik dari si bapa, setiap kami menyebut-menyebut yatim!

Apa sahaja yang boleh dilakukan oleh si ibu dan si datuknya, maka setiap kami membencinya kerana keyatimannya.

Akhirnya, telah tiba masa untuk pulang, rakan-rakanku telah berjaya menemukan anak susuan, tetapi Halimah as-Sadiyah masih belum berjaya. Aku merasa malu untuk pulang tanpa bayi susuan, dan telah berkata pada suamiku, “demi Allah aku mesti ambil si yatim tadi”.

Jawab suamiku, “tidak mengapalah untuk kau berbuat demikian, semoga Allah jua akan memberikan kita keberkatan kerananya.”

Maka, aku pergi ambil Muhammad si yatim itu, dalam keadaan terdesak. Setelah ku dukung ke tunggangan ku, dan sebaik sahaja ku letakkannya ke ribaku, terasa dadaku dipenuh susu, maka si yatim pun menghisapnya hingga puas, saudaranya pun menyusu juga hingga puas dan tertidur, sebelum ini kami tidak pernah tidur bersamanya.

Kemudian suami ku pergi ke unta, dan didapati uncang susunya penuh dengan susu, beliau memerahnya lalu diminumnya dan diberi kepada yang lain-lain kiranya kami semua puas dan kenyang, malam itu kami dapat tidur dengan nyenyak.

Halimah as-Sadiyah berkata: Suamiku telah berkata bila kami bangun di pagi hari: Demi Allah, tahu tak wahai Halimah, sebenarnya tiupan bayu keberkatan mula menghembus nafasnya, kata Halimah: Ku menjawab: Demi Allah sesungguhnya ku mengharapkan demikian.

Setelah itu kami pun bergerak keluar dari daerah Makkah, aku menunggangi keldai betina ku itu, di atasnya juga ku membawa Rasulullah, demi Allah binatang tungganganku merentasi perjalanan kiranya tidak dapat disaingi oleh keldai-keldai mereka yang lain.

Sehinggakan teman-teman ku yang lain, tertanya-tanya dan berkata: Wahai puteri Abu Zuaib apa kamu ini? perlahanlah sedikit, tidakkah tunggangan kamu itu yang naik ke sini dulu?

Jawabku kepada mereka: Bahkan demi Allah yang itulah.

Jawab mereka: Demi Allah, ianya ada keistimewaan.

Kampung Menjadi Subur

Setelah itu kami semua pun sampailah ke kampung kami iaitu persada Bani Sa’d, ku tidak pernah melihat sebuah bumi yang paling kontang dari bumi Bani Sa’d, namun setelah kami pulang dari mengambil bayi susuan kami itu nampaknya kambing-kambing kami sarat perut kekenyangan, uncang-susu dipenuh susu, kami memerahnya dan meminumnya, sedang ternakan orang lain tetap tidak menghasilkan setitik susu pun, uncang susu kekeringan.

Penduduk-penduduk yang lain menyuruh penternak-penternak mereka dengan berkata: Binasa kamu, cubalah bawa ternakan-ternakan ke tempat yang selalu puteri Abu Zuaib berternak itu, namun kambing-kambing mereka tetap kelaparan tidak mengeluar walau setitik susu pun, sedangkan ternakan kami kekenyangan uncangnya sarat dengan susu.

Beginilah seterusnya kami terus menerima limpahan kurnia dari Allah hingga berlalu dua tahun umur Baginda di mana Baginda pun tinggal susu.

Baginda membesar tidak seperti kanak-kanak lain, seblum sampai usia dua tahun Baginda telah menjadi besar segar, kata Halimah: Setelah beberapa masa kami bawa Baginda pulang kepangkuan ibunya, walau macam mana pun kami tetap prihatin agar Baginda terus tinggal bersama kami, kerana kami dapat menikmati keberkatannya, untuk itu kami pun mengemukakan harapan ini kepada ibunya, dan ku berkata kepadanya: Kalaulah puan benarkan anakku ini terus tinggal bersamaku hingga meningkat tampan, pun ada baiknya, kerana ku takut wabak-wabak di Makkah akan menyeranginya nanti, katanya lagi. Masih lagi kami merayu-rayu hingga ibunya pun membenarkannya pulang bersama kami.

Dada Rasulullah SAW dibelah.

Demikianlah halnya Rasulullah kembali tinggal kepangkuan Bani Sa’ad, hinggalah apabila Baginda meningkat empat atau lima tahun, di mana berlakunya peristiwa pembedahan dada Baginda,

Dari Anas bin Malik, bahwa Rasulullah Saw. didatangi malaikat Jibril saat beliau sedang bermain bersama anak- anak. Kemudian Jibril mengambilnya, membaringkannya, membelah hatinya, lalu mengeluarkan segumpal darah darinya seraya berkata “Ini bagian setan darimu, kemudian mencucinya dengan air zam- zam dalam bejana yang terbuat dari emas. Setelah itu menjahitnya dan mengembalikan ke tempat semula. Anak-anak berlarian mendatangi ibu susuannya, mereka berkata “Muhammad telah dibunuh”. Lalu mendatang Muhammad dalam keadaan berwajah pucat (karena ketakutan). Anas berkata aku melihat bekas jahitan tersebut di dada beliau.

Hadis riwayat Muslim

Halimah as-Sadiyah terasa takut dengan peristiwa tersebut, lalu beliau memulangkan Rasulullah kepangkuan ibunya.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini