Surah al-Ikhlas Teks, Maksud, dan Terjemahan

Izuan
surah al-ikhlas

Apa maksud surah al-Ikhlas?

Surah Al-Ikhlas merupakan surah ke-112 dalam Al Quran dan terdiri daripada 4 ayat. Berikut ini ialah terjemahan Surah Al Ikhlas, asbabun nuzul dan tafsirnya.

Dinamakan surah Al-Ikhlas kerana surah ini menegakkan kemurniaan tauhid kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Semoga bermanfaat selamanya!

Asbabun Nuzul

Ibnu Katsir mengutip riwayat Imam Ahmad dari Ubay bin Ka’ab mengenai asbabun nuzul Surah Al-Ikhlas. Bahwa ada orang-orang musyrik yang berkata kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, “Hai Muhammad, gambarkanlah kepada kami tentang Tuhanmu.” Maka Allah menurunkan surah Al-Ikhlas.

Riwayat lain menyebutkan, ada orang yang Badui yang datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia bertanya, “Gambarkanlah kepada kami tentang Tuhanmu.” Maka turunlah surat ini.

Tafsir Surah al-Ikhlas

Surah ini merangkumi dua aspek iaitu penafian dan penetapan (pengisbatan).

Ia menafikan pada Allah Subhanahuwata’ala itu sebarang unsur penyekutuan dan berbilang-bilang kewujudan. Sekali gus, menetapkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala itu Esa dari sudut zat-Nya dan juga  hakikat-Nya, menerusi firman-Nya:

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١
Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa.

Hati manusia yang hanya bergantung kepada Allah Yang Maha Esa, akan bebas daripada segala ikatan dan akan terlepas daripada segala belenggu.

ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢
Allah adalah Rab yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

Ini kerana Dia-lah Yang Maha Kaya, Maha Mulia dan Maha Mengasihani. Semua makhluk memerlukan-Nya. Makhluk memohon rahmat dan keperluan mereka kepada-Nya. Dia-lah Allah yang bersifat dengan segala sifat yang sempurna dan Maha Hebat. Ayat ini menafikan bahawa Allah Subhanahuwata’ala memerlukan pertolongan makhluk atau ‘tuhan’ yang lain.

Dialah Tuhan sebenar. Tiada Tuhan hakiki melainkan Dia. Tidak berlaku sesuatu melainkan dengan izin-Nya. Allah adalah Maha Esa dalam Rubbubiyyah-Nya dan Uluhiyyah-Nya, dan segala sesuatu adalah hamba bagi-Nya. Hanya Dia-lah yang dituju bagi memenuhi segala hajat. Hanya Dia-lah yang dapat memenuhi hajat.

لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣
Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan.

Menegaskan bahawa Allah Subhanahuwata’ala itu Maha Esa dan Maha Tunggal. Dia tidak melahirkan sesiapa. Allah Subhanahuwata’ala Maha Sedia Wujud sejak azali. Sifat Allah adalah sempurna dan mutlak dalam semua keadaan. Ia tidak berubah-ubah mengikut situasi dan kondisi. Ia tidak didahului oleh sifat tiada. Ia tidak berbapa. Tidak ada sesiapa yang mendahului-Nya.

Kelahiran adalah satu kemunculan baru atau kewujudan tambahan setelah kekurangan atau tiada. Hal sedemikian adalah mustahil bagi Allah Subhanahuwata’ala. Kelahiran juga, sebelumnya, memerlukan perkahwinan. Hal ini juga mustahil bagi Allah Subhanahuwata’ala.

وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤
dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia

Tidak ada sesuatu yang sejenis dengan-Nya. Tidak ada sesiapa yang menyamai-Nya atau yang menyerupai-Nya. Dia tiada teman dan tiada gandingan. Tidak ada yang sebanding atau setara dengan-Nya, samada dalam kewujudan-Nya, dalam sifat-Nya mahupun dalam penciptaan-Nya. Makhluk tidak mampu mencipta sesuatu yang sebanding atau setara dengan penciptaan Allah Subhanahuwata’ala.

Setiap penetapan (Allah Maha Esa, Allah sebagai Rab tempat bergantung, Allah tidak beranak, Allah tidak diperanakkan dan Allah, tiada sesuatu yang setara dengan-Nya) adalah asas tauhid, iaitu asas bagi aqidah Islam.

Penetapan di dalam surah al-ikhlas itu adalah sanggahan terhadap:

  • Fahaman yang mengatakan wujudnya dua tuhan bagi alam, iaitu tuhan cahaya dan tuhan kegelapan.
  • Fahaman triniti Nasrani yang mengatakan wujud tiga tuhan.
  • Golongan yang menyembah bintang
  • Kaum Yahudi yang menyatakan ‘Uzair anak Allah
  • Golongan sesat yang menyatakan malaikat adalah puteri-puteri Allah
  • Para musyrikin yang menjadikan patung berhala sebagai sekutu atau gandingan bagi Allah.

Berdasarkan penetapan tauhid di atas, Sayyid Qutub menyatakan bahawa, dari sini lahirlah manhaj kehidupan manusia yang sempurna meliputi:

  • Manhaj untuk manusia beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja dan tidak beribadah kepada selain-Nya.
  • Manhaj untuk menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja ketika berharap dan takut, ketika senang dan susah serta ketika bahagia dan derita.
  • Manhaj untuk menerima sesuatu daripada Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Iaitu menerima aqidah, tasawwur (konsepsi) kehidupan, nilai-nilai, norma-norma, syari’at, undang-undang, peraturan, adab dan tradisi.
  • Manhaj untuk bergerak dan beramal kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Iaitu untuk mendekatkan diri kepada-Nya semata-mata.
  • Manhaj yang menghubungkan hati manusia dengan segala yang wujud dengan hubungan cinta, kasih sayang, lemah lembut dan saling bertinteraksi.

Surah al-Ikhlas yang pendek ini sebanding dengan sepertiga al-Qur’an, sebagaimana disebut dalam beberapa riwayat yang sahih. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa seorang lelaki mendengar seorang lelaki lain membaca قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ berulang-ulang. Pada keesokannya ia datang kepada Nabi Sallallahu’alaihiwasallam dan melaporkan hal itu, seakan-akan ia mempersoalkannya. Kemudian Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

“Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya surah ini sebanding dengan sepertiga al-Qur’an”

Wallahua’lam

Keywords: makna surah al-ikhlas

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini