Solat Sunat Subuh

Izuan
Solat sunat subuh

Apakah kelebihan solat sunat Subuh? Biasa kita dengar yang solat sunat sebelum subuh dua rakaat lebih baik dari dunia dan seisinya, betul ke?

Solat sunat Subuh juga dikenali sebagai solat sunat fajar atau solat sunat qabliah subuh.

Hukum solat sunat Subuh ialah sunat muakkad dan merupakan salah satu daripada solat sunat Rawatib.

Kelebihan Solat Sunat Subuh

solat sunat sebelum subuh jakim

Solat sunat yang paling dituntut antara solat-solat sunat rawatib yang lain adalah dua rakaat solat sunat fajar. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang melaziminya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith:

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

Maksudnya: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar”. [Riwayat al-Bukhari (1116)]

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. [Riwayat Muslim (725)]

Niat Solat Sunat Sebelum Subuh

Niat solat sunat subuh
Usolli Sunnatas Subhi Rak’ataini lillahi Ta’ala

“Sahaja aku solat sunat Subuh dua rakaat kerana Allah Ta’ala”

Cara Solat Sunat Subuh

Solat sunat Subuh dilakukan bila?

Solat ini dilakukan pada waktu Subuh, sebelum menunaikan solat fardu Subuh. Cara melakukannya sama seperti solat sunat yang lain.

Dilakukan sebanyak dua rakaat, dibaca :

  • Rakaat pertama : surah al-Kafirun
  • Rakaat kedua : surah al-Ikhlas

Bolehkah solat sunat Subuh di rumah? Boleh je, tidak semestinya di masjid. Bahkan lebih afdhal jika dilakukan di rumah jika jarak rumah ke masjid itu berdekatan.

Doa Selepas Solat Sunat Subuh

Doa selepas solat sunat subuh

Qadha Solat Sunat Subuh

Kadangkala ada orang yang terlepas melakukan solat sunat Subuh, maka digalakkan untuk mengqadha solat sunat ini. Lihat pada pendapat kedua,

Isu qadha solat sunat telah dibahaskan oleh para ulama’. Menurut Imam al-Nawawi, solat sunat itu terbahagi kepada dua:

  1. Yang tidak terikat dengan waktu, dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid. Solat sunat jenis ini tidak boleh diqadha jika tertinggal.
  2. Terikat dengan waktu, contohnya solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib, dan terdapat tiga pandangan bagi solat sunat jenis kedua ini. Pandangan yang paling tepat ialah sunat untuk qadha jika tertinggal.

Daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

MaksudnyaSiapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.

Kesimpulannya, solat sunat Subuh merupakan amalan yang perlu kita jaga dan usaha agar istiqamah melakukannya sebagai tanda cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Wallahua’lam

sumber – mufti wilayah

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini