Solat Sunat Aidilfitri

Izuan
solat sunat aidilfitri

Solat Sunat Aidilfitri dilakukan pada pagi 1 Syawal setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Antara soalan yang sering ditanya ialah berapa bilangan takbir solat hari raya? Jom kita belajar sama-sama.

Maksud Solat Sunat Aidilfitri

Fitrah bererti asal kejadian atau kejadian semulajadi sesuatu benda. Dan dinamakan Aidilfitri kerana zakat fitrah diwajibkan ke atas orang Islam pada hari tersebut.

Dalil Solat Aidilfitri

Hukum solat hari raya adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang sangat dituntut melaksanakannya. Mazhab Syafi’e dan Maliki menghukum solat sunat hari raya sebagai sunat muakkad.

Bahawa Rasulullah SAW keluar pada Hari Raya Korban (Aidiladha) dan Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Baginda memulai dengan solat. Setelah selesai solat dan memberi salam, Baginda berdiri menghadap orang ramai yang masih duduk di tempat solat mereka masing-masing.

Jika Baginda mempunyai hajat yang ingin disampaikan, Baginda tuturkannya kepada orang ramai ataupun ada keperluan lain, maka Baginda akan memerintahkan mereka mengerjakannya.

Baginda selalu bersabda: ‘Bersedekahlah! Bersedekahlah! Bersedekahlah!

Baginda merupakan orang yang paling banyak bersedekah kepada kaum wanita. Kemudian Baginda beredar pulang

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim)

Waktu Solat Raya Aidilfitri

Waktu solat sunat aidilfitri ialah sesudah terbit matahari, lebih kurang jam 8.00 pagi waktu Malaysia (Semenanjung) sehinggalah kepada sebelum masuk waktu zohor.

Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari daripada al-Barra’ r.a bahawa dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan bersabda:

Perkara pertama yang akan kita lakukan pada hari ini ialah mengerjakan solat.

Cara Solat Sunat Aidilfitri

Jumlah rakaat ialah dua.

Rukun solat sama sahaja seperti solat fardu, cumanya ada sedikit perbezaan pada bilangan takbir.

Lafaz Niat Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri

Jika berjemaah :

أصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ اِمَامًا / مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Bahasa rumi: Usalli sunnatan idil fitri rak’ataini imaman / makmuman lilla’hi ta’ala

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Aidil Fitri dua rakaat sebagai  imam / makmum kerana Allah Ta’ala

Jika seorang :

أصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bahasa rumi: Usalli sunnatan idil fitri rak’ataini lilla’hi ta’ala

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Aidil Fitri dua rakaat kerana Allah Ta’ala

Rakaat Pertama

Di mulai dengan lafaz takbirratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.

Membaca doa iftitah

Kemudian, lafaz takbir tujuh kali di selangselikan dengan bacaan tasbih

image 25

Membaca surah al-Fatihah

Membaca surah al–Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)

Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama

Rakaat Kedua

Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)

Lafaz takbir lima kali di selangselikan dengan bacaan tasbih seperti di atas

Membaca surah al-Fatihah

Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)

Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua

Memberi salam

Khutbah Hari Raya

Imam akan memperdengarkan Khutbah tentang zakat fitrah dan pengertian sambutan Aidilfitri sesudah solat di samping membacakan berturut-turut takbir   (اَلله ُ أَكْبَرُ) Allahu Akbar;

1.     Pada pendahuluan khutbah pertama – 9 kali takbir.

2.     Semasa memulakan khutbah ke-dua – 7 kali takbir.

Diikuti dengan bacaan:

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَالله ُ أَكْبَرُ، اَلله ُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala kepujian.

Muat Turun Panduan Solat Sunat Aidilfitri

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini