Sirah Nabi – Hijrah Pertama ke Madinah

Hijrah pertama ke madinah

Hijrah pertama ke Madinah terjadi setelah Perjanjian Aqabah Kedua. Hasil perjanjian itu, Madinah secara rasminya menjadi tempat perlindungan bagi orang Islam.

Hijrah bermaksud perpindahan. Keputusan untuk berhijrah bukanlah sesuatu yang mudah, kerana memerlukan pengorbanan yang tinggi. Perlu berkorban harta benda, demi menyelamatkan diri sendiri sahaja, ditambah pula dengan ancaman yang bakal diterima dalam perjalanan ke Madinah. Kaum muslimin nekad untuk berhijrah, dan mereka sedar tentang semua kemungkinan yang bakal berlaku.

Manakala pihak musyrikin tidak akan membiarkan arus penghijrahan itu terus berlaku tanpa disekat dan dihalang, kerana mereka sudah menjangkakan merbahaya akan mengugat mereka nanti.

Cabaran Hijrah

Abu Salamah berpisah dengan isterinya Ummu Salamah

Orang terawal melangkah kaki ke Madinah sebagai penghijrah pertama ialah Abu Salamah bersama-sama isteri dan anaknya iaitu setahun sebelum baiah al-‘Aqabah al-Kubra, ini adalah mengikut riwayat Ibnu Ishak, setelah beliau membuat keputusan untuk berhijrah, mertuanya bertemu dengan beliau dan berkata “Cukuplah kau seorang, mengapa harus libatkan anak kami?”

Kamu ingat kami akan membiarkan kau membawanya hanyut ke negeri orang?

Dengan itu mereka ambil isterinya. Keluarga Abu Salamah naik marah dengan tindakan keluarga isterinya lalu berkata “Kami tidak boleh membiarkan kamu merampas si anak Salamah dengan semudah itu”.

Maka jadilah perebutan ke atas anak Salamah di antara dua keluarga menyebabkan si anak tercabut tangannya lantaran rentapan dua belah pihak.

Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, menyebabkan Ummu Salamah keseorangan setelah pemergian suaminya dan kehilangan anak kesayangan, menjadikan beliau setiap pagi keluar ke pinggir kota menangis hingga ke petang.

Bila keadaan berlarutan hingga hampir setahun, salah seorang keluarganya kasihan dan berlembut hati, dan menyuarakan perkara ini kepada keluarganya “Tidakkah kamu hendak melepaskan Si Merana ini? Sudahlah kamu pisahkannya dari suami dan anaknya, kini kamu siksanya pula”,

Jawab mereka “Ayuh pergilah untuk menemui suamimu itu kalau kamu ingin”.

Ummu Salamah mendapat kembali anaknya dari keluarga suaminya, terus beliau keluar menuju ke Madinah, perjalanan kira-kira lima ratus kilometer, tiada siapa pun menemaninya, namun di tengah perjalanan Uthman bin Talhah Ibnu Abi Talhah menemuinya, kerana mengetahui perihalnya, beliau menawar diri untuk menemaninya hingga ke Madinah.

Suhaib al-Rumi meninggalkan semua hartanya

Semasa Suhaib al-Rumi hendak berhijrah, para kafir Quraisy menemuinya dan berkata “Kamu semasa datang ke sini sebagai seorang tak berharta, kemudian harta kamu menjadi banyak dan menjadi orang yang terbilang, kini kamu hendak keluar dari sini dengan membawa diri kamu sekali dengan harta-harta kamu yang kamu kumpulkan di sini? Ini tak mungkin berlaku!”

Jawab Suhaib “Apa pendapat kamu semua, kalau aku serahkan semua hartaku kepada kamu, boleh tak kamu beri laluan kepada ku?”

Jawab mereka sebulat suara: Ya!

Kata Suhaib: “Sekarang aku serahkan hartaku kepada kamu”.

Sebaik sahaja beliau sampai ke Madinah, beliau terus berjumpa dengan baginda Rasulullah yang menyambut kedatangan beliau dengan berkata, “Sungguh beruntung perniagaan Suhaib.”

Amalan Suhaib itu telah dimaklumkan oleh Allah kepada Rasulullah yang membawa kepada turunnya ayat 207, surah al-Baqarah :

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَّشْرِيْ نَفْسَهُ ابْتِغَاۤءَ مَرْضَاتِ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ رَءُوْفٌۢ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba-Nya.

Kesimpulan

Walaupun demikian rupa keadaan yang menghalang kaum muslimin namun arus hijrah tetap tidak dapat disekat, atau dihalang, dua bulan dan beberapa hari selepas baiah al-‘Aqabah al-Kubra arus hijrah terus bergerak hingga tidak tinggal di Makkah, kecuali Rasulullah, Abu Bakr dan Ali, kerana kehendak Rasulullah, dan yang terkecuali juga ialah mereka yang dipegang oleh kaum musyrikin.

Sebelum ini Abu Bakr bersiap untuk berhijrah tetapi Rasulullah bersuara kepadanya dengan sabdanya: “Bertenang, aku ini belum diizinkan lagi”.

Kata Abu Bakr: “Apakah tuan hamba berharap demikian, ya Rasulullah?

Jawab Rasulullah: “Ya demikian”.

Abu Bakr menenangkan hatinya dan menangguhkan perjalanannya untuk menemani Rasulullah, beliau menyediakan dua tunggangan yang dimilikinya, dengan daun yang dipungut sebagai makanan selama empat bulan.

Wallahua’lam

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini