Sirah Nabi – Dakwah Secara Terang-Terangan

Izuan
Dakwah secara terang-terangan

Terdapat tiga peringkat strategi dakwah Rasulullah di Makkah. Pada tahap kedua, Nabi Muhammad SAW mula berdakwah secara terang-terangan.

Jika berminat ingin tahu tentang strategi dakwah tahap pertama, iaitu secara sembunyi, boleh baca artikel ini.

Mengapa Dakwah Secara Terang-Terangan

Dakwah secara tersembunyi telah berlaku selama 3 tahun sejak dilantik menjadi Rasul. Setelah itu, seiring dengan keadaan semasa umat Islam yang semakin kuat dengan bertambahnya jumlah penganut agama Islam saban hari, telah turun ayat Quran yang memberi petanda supaya mula berdakwah secara terang-terangan.

وَاَنْذِرْ عَشِيْرَتَكَ الْاَقْرَبِيْنَ

Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu (Muhammad) yang terdekat,

Surah asy-Syuara’ : 214

Di dalam surah al-Syuara’, diawalnya dikisahkan Musa a.s, bermula dari kebangkitan sebagai nabi hinggalah hijrahnya bersama Bani Israel. Kemudian kejayaan mereka terlepas dari Firaun dan tenteranya. Firaun telah tenggelam bersama-sama tenteranya ke dalam laut. Kisah ini mengandungi tahap-tahap dakwah nabi Musa yang dilaluinya dalam usaha mengajak Firaun dan kaumnya untuk beriman dengan Allah.

Jika diamati, kisah Nabi Musa yang dikisahkan secara terperinci ini bertujuan sebagai petanda kepada nabi Muhammad s.a.w untuk berdakwah kepada kaumnya. Agar kisah ini menjadi teladan dan panduan, di mana suatu masa nanti mereka akan menghadapi pendustaan dan penyiksaan semasa mereka mengisytiharkan dakwah secara terang-terangan dan supaya dari awal-awal lagi mereka mempunyai ain basirah terhadap kerja yang bakal mereka laksanakan nanti.

Dari sudut yang lain surah ini juga menyebut kesudahan mereka yang engkar dengan utusan Allah, mereka terdiri dari kaum Nuh, ‘Aad, Thamud, kaum Ibrahim, kaum Lut, penghuni al-Aikah – selain dari Firaun dan kaumnya, agar mereka mengambil periktibaran, bahawa kesudahan mereka pun sama juga sekiranya mereka terus mendustai Rasulullah dan kaum Mukminin akan mengetahui bahawa balasan yang baik sedang menunggu mereka.

Dakwah Kepada Keluarga Terdekat

Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah sebaik sahaja turun ayat mengenai seruan ini ialah dengan menjemput anggota Bani Hasyim, mereka seramai empat puluh lima orang, yang juga terdiri dari keluarga Bani al-Mutalib bin Abdul Manaf.

Dalam majlis ini Abu Lahab memulakan percakapan dengan katanya,

“Mereka ini semua bapa-bapa saudara dan anak-anak saudara kamu, ayuh bercakaplah tetapi tinggalkan persoalan al-Saba’ah keluar agama, kau mesti tahu di mana seluruh bangsa Arab bangsa kamu juga, mereka ini tidak berkuasa, dan aku lebih berhak memegang kamu, untuk kamu memadai setakat anak pinak bapa kamu, sekiranya kau berhenti setakat yang telah kamu lakukan itu, maka itu lebih senang diterima oleh kesemua qabilah-qabilah Quraisy, dan disokong oleh bangsa-bangsa Arab. Setakat hari ini aku belum pernah bertemu dengan seorang lelaki yang telah membawa keburukan ke atas kaumnya, seperti yang kau lakukan ini.”

Kata-kata Abu Lahab

Rasulullah s.a.w hanya berdiam diri dan langsung tidak berkata-kata apa pun, di dalam majlis itu. Kemudian, sekali lagi Rasulullah menjemput mereka dan berkata: Segala puji-pujian bagi Allah daku lafazkan, denganNya daku memohon pertolongan, denganNya daku beriman, ke atasNya daku bertawakkal, daku bersaksi sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya.

Rasulullah kemudian berkata, “Demi Allah tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya daku adalah pesuruh Allah, kepada kamu secara khusus dan untuk manusia secara umum.

Demi Allah sesungguhnya kematian kamu hanya bagaikan tidur kamu dan kamu akan dibangkitkan semula sama seperti kamu dijagakan dari tidur ini. Sesungguhnya kamu akan dihitung di atas segala amalan yang kamu lakukan, balasannya itu samada ke syurga selama-lamanya atau ke neraka selama-lamanya”.

Abu Talib bangun menyahut Rasulullah dengan berkata,

“Tidak ada suatu pun yang Allah suka bagi kami selain dari membantu kamu, menerima nasihat kamu, mempercayai kata-kata kamu itu, mereka yang berkumpul ini adalah anak keluarga bapa engkau, aku ini cuma salah seorang dari mereka tetapi aku lebih segera untuk menerima apa yang kamu senangi itu.

Ayuh, teruslah dengan sesuatu yang telah diperintahkan ke atas kamu itu, demi Allah aku ini masih Iagi menjaga dan mempertengahkan kamu, namun jiwaku masih tidak berupaya dan sanggup untuk berpisah dengan agama Abdul Muttalib itu”.

Segera dicelah oleh Abu Lahab dengan katanya: Demi Allah ini adalah salah satu keretakan, pegang tangannya sebelum dia dipertahankan oleh orang lain.

Jawab Abu Talib, demi Allah kami akan mempertahankannya selagi hayat dikandung badan.

Tidak lama selepas itu terjadi pula peristiwa dakwah nabi di bukit al-Safa.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini