Wali nikah adalah seorang yang mempunyai peranan penting ketika pernikahan.
Siapa yang tiada wali, tak boleh nikah tau sebab wali termasuk dalam rukun nikah.
Dalil Wali Nikah
Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا
Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”
Riwayat al-Daraqutni (3/227) Ibn Majah (1882) dan rijalnya thiqah
Isi Kandungan
Maksud Wali Nikah
Wali Nikah merujuk kepada seorang lelaki yang diberi kuasa oleh syarak untuk menikahkan perempuan dengan seorang lelaki.
Syarat-syarat Wali
- Islam
- Lelaki (sebelah bapa)
- Baligh
- Tidak cacat akal fikiran, terlalu tua dan sebagainya
- Merdeka
- Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
- Bukan dalam ihram haji atau umrah
- Adil (tidak fasik)
- Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya
Jenis-jenis Wali
Wali Perkahwinan terbahagi kepada tiga :
1. Wali Mujbir
Wali nasab yang boleh menikahkan anak atau cucu perempuan yang masih gadis tanpa meminta izin peremuan itu terlebih dahulu. Wali mujbir terdiri daripada bapa, datuk sebelah bapa dan ke atas.
2. Wali Bukan Mujbir
Wali nasab selain bapa, datuk sebelah bapa dan ke atas. Mereka tidak boleh menikahkan perempuan tersebut yang masih gadis(anak dara) tanpa meminta keizinan terlebih dahulu.
Wali nasab terpecah kepada 2 kategori iaitu:
i. Wali Aqrab : Wali yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali
ii. Wali Ab’ad : wali yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali
Wali aqrab diutamakan dan tidak boleh suka hati mendahulukan wali ab’ad dahulu, melainkan atas beberapa alasan.
3. Wali Hakim / Wali Raja
Wali yang ditauliahkan oleh sultan atau raja untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab atau apabila berlaku salah satu daripada sebab-sebab berikut:
- Tiada wali nasab
- Wali yang tidak memenuhi syarat wali
- Wali enggan/ingkar tanpa sebab yang munasabah
- Wali ghaib (hilang) tidak dapat dikesan
- Wali ditahan dan tidak dapat dihubungi
- Anak tidak sah taraf
List Wali Nikah Yang Sah Mengikut Susunan
- Bapa kandung
- Datuk sebelah bapa dan ke atas
- Saudara lelaki seibu sebapa(adik beradik)
- Saudara lelaki sebapa(adik beradik sebapa)
- Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa dan ke bawah(anak saudara)
- Anak lelaki daripada saudara sebapa dan ke bawah(anak saudara)
- Bapa saudara sebelah bapa (seibu sebapa)
- Bapa saudara sebelah bapa (sebapa)
- Anak bapa saudara (sepupu) sebelah bapa seibu sebapa
- Anak bapa saudara (sepupu) sebelah bapa sebapa
- Datuk saudara belah ayah(seibu sebapa)
- Datuk saudara belah ayah(sebapa)
- Anak saudara lelaki kepada bapa seibu sebapa(sepupu kepada bapa)
- Anak saudar lelaki kepada bapa sebapa(sepupu kepada bapa)
- Wali hakim / wali raja
Syarat perpindahan wali aqrab kepada wali ab’ad
- Wali aqrab belum baligh
- Wali aqrab gila
- Wali aqrab fasik
- Wali aqrab cacat akal fikirannya
- Wali aqrab berlainan agama dengan bakal isteri tersebut
- Wali aqrab meninggal dunia
Sebab Untuk Guna Wali Hakim
- Keengganan wali dalam pernikahan
- Ketiadaan wali nasab
- Wali aqrab (yang terhampir) tidak cukup syarat-syarat menjadi wali dan ketiadaan wali ab’ad
- Wali aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau wali dalam keadaan berihram haji atau umrah
Penjelasan penuh tentang penggunaan wali hakim -> https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4136-irsyad-al-fatwa-siri-ke-408-hukum-nikah-menggunakan-wali-hakim-walaupun-ada-wali-nasab
Soal Jawab Masalah Wali Nikah
Siapa wali nikah perempuan jika ayah meninggal?
Wali nikah perempuan selain bapak boleh rujuk di atas di bahagian list wali nikah yang sah mengikut susunan.
Jika ayah kandung tidak mau menjadi wali nikah?
Jika wali enggan walaupun wali merupakan bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Hal ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali. Jika mereka enggan menunaikan tanggungjawab, maka hakimlah yang perlu melaksanakannya.
Menurut Imam al-Nawawi:
فإن فقد المعتق وعصبته زوج السلطان. وكذا يزوج إذا عضل القريب والمعتق وإنما يحصل العضل إذا دعت بالغة عاقلة إلى كفء وامتنع
Maksudnya: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang.
[Lihat: Minhaj al-Tolibin hal. 207]
Wali aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau wali dalam keadaan berihram?
Berkata Imam Abi Ishak al-Syirazi:
إن غاب الولي إلى مسافة تقصر فيها الصلاة زوجها السلطان ولم يكن لمن بعده من الأولياء أن يزوج لأن ولاية الغائب باقية ولهذا لو زوجها في مكانه صح العقد وإنما تعذر من جهته فقام السلطان مقامه
Maksudnya: Sekiranya tidak ada wali (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu. Dan tidak boleh wali yang seterusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali mengahwinkan perempuan itu dengan menggantikan tempat wali, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerna ada keuzuran daripada wali maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali). [Lihat: al-Muhazzab 2/429]
Begitu juga jika wali dalam keadaan ihram, maka hakim akan mengambil tempatnya untuk mengahwinkan perempuan tersebut kerana hak wali masih kekal kepada wali aqrab dan tidak berpindah kepada wali yang seterusnya.
Apa hukum kahwin kat Thailand, sah ke?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:
1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.
4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim,
Apa rukun nikah?
1. Pengantin Lelaki (suami)
2. Pengantin Perempuan (isteri)
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Ijab dan Kabul
Wallahua’lam