Apa maksud sedekah Jumaat?
Hari Jumaat ialah penghulu segala hari, dan pada hari itu terdapat beberapa amalan yang digalakkan antaranya ialah bersedekah.
Secara umumnya, tentang sedekah disebutkan dalam Al-Quran.
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 261)
Terdapat dalil hadis berkenaan sedekah iaitu :
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ومن كان من أهل الصدقة دُعي من باب الصدقة
“Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)
Walaupun tiada dalil sedekah Jumaat yang khusus, sebahagian para ulama’ menukilkan keutamaannya pada kitab mereka.
Ibn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan:
“Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.”
Pada zaman sekarang, selain sedekah di masjid, sedekah Jumaat boleh juga dilakukan secara online. Selain duit, kita boleh sedekah Jumaat dengan memberi makanan seperti nasi bungkus, besar pahalanya. Jika tak mampu, cukup sekadar senyuman.
Walaupun sedekah tidak terbatas oleh waktu, antara kelebihan sedekah Jumaat ini ialah kita memudahkan kita istiqamah kerana kita telah tetapkan suatu waktu untuk bersedekah.
Wallahua’lam