7 Kelebihan Sedekah
25 April 2022
Sadaqah atau sedekah adalah daripada perkataan (Bahasa Arab: صدقة) yang bermaksud benar.
Makna sedekah dari segi istilah pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang kelebihan bersedekah.
1. Allah melipatgandakan pahala orang yang bersedekah.
Allah SWT berfirman:
Ayat Al-Quran
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
2. Allah akan membalas sedekah itu.
Ayat Al-Quran
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
“Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”
3. Allah SWT memuliakan orang yang bersedekah.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اليد العليا خير من اليد السفلى
Al-yadul-‘ulya khairum minal-yadis-sufla.
Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.
4. Dapat menghapuskan dosa.
Hadis daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
والصدقةُ تُطفِيءُ الخطيئةَ كما تُطفِيءُ الماءُ النارَ
Wash-shadaqatu tuthfi’ul-khathi’ata kama tuthfi’ul-ma’un-nar.
Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.
Namun demikian, penghapusan dosa di sini mestilah disertai dengan taubat atas dosa yang telah dilakukan.
5. Harta tidak akan berkurang.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّه
Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.
6. Orang yang bersedekah akan mendapatkan naungan di hari akhirat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari akhirirat salah satunya adalah:
ورجلٌ تصدَّق بصدقةٍ فأخفاها حتى لا تعلمَ شمالُه ما تنفقُ يمينُه
Wa rajulun tashaddaqa bishadaqatin fa-akhfaha hatta la ta‘lama syimaluhu ma tunfiqu yaminuhu.
Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.
Inilah cara sedekah paling afdhal, iaitu kita menyembunyikan sebaik mungkin sedekah kita daripada pandangan manusia untuk mengelak perasaan riya’ dan takbur.
7. Terdapat pintu syurga khusus.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ومن كان من أهل الصدقة دُعي من باب الصدقة
Wa man kana min ahlish-shadaqati du‘iya min babish-shadaqah.
Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.
Wallahua’lam



