Rasulullah Kahwin Ketika Umur Aisyah 9 Tahun?

Izuan
umur aisyah

Berapa umur Aisyah R.Anha ketika Nabi Muhammad kahwin dengannya?

Persoalan ini sering kali menjadi buah mulut sebahagian pihak yang liberal, termasuk orang yang bukan Islam. Walaupun agak sensitif, tetapi sebagai umat Islam kita perlu tahu perkara ini supaya tidak berlaku salah faham terhadap Baginda SAW.

Jika tidak difahami dengan betul, perkara ini boleh menggugat keimanan seseorang. Segelintir pihak yang ekstremis mendakwa Rasulullah seorang yang pedophile, atas tindakan ini. Tidak cukup dengan itu ada pihak yang mempersoalkan kenapa Rasulullah boleh kahwin ramai melebihi empat orang.

Nauzubillah.

Siapa Aisyah R.Anha

Ummu al-Mukminin Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq RA, beliau ialah puteri kepada khalifah pertama umat Islam. Kuniyyah beliau ialah Ummu Abdillah iaitu dengan nama anak saudaranya iaitu Abdullah bin Zubair. Beliau dilahirkan di Kota Mekah empat tahun sebelum Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai Rasul dan beliau telah memeluk Islam ketika masih kecil.

Di samping itu, beliau merupakan antara isteri yang sangat disayangi dan dicintai  oleh baginda SAW sebagaimana diceritakan oleh Amr bin al-Asr RA:

Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW : “Siapakah manusia yang paling engkau kasih ? Rasulullah SAW menjawab : Aisyah RA. Aku bertanya lagi : Kalau dalam kalangan lelaki ? Rasulullah SAW menjawab : Ayahnya (Abu Bakar RA)”.

Selain itu, beliau merupakan salah seorang isteri Rasulullah SAW yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1210 hadith. Ini kerana, beliau juga merupakan tempat rujukan para sahabat RA yang besar dalam bertanya soalan berkaitan agama seperti fiqh, faraidh dan perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan Rasulullah SAW ketika berada di dalam rumah. Hal ini diceritakan oleh Urwah bin Zubair RA:

“Aku tidak pernah melihat orang yang lebih faqih di dalam ilmu agama, perubatan dan syair berbanding Aisyah RA”.

Walaupun saidatina Aisyah RA memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, beliau turut bersama-sama para sahabat yang lain memainkan peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan masyarakat ketika itu. Rasulullah SAW wafat ketika usianya 18 tahun dan beliau hidup selepas kewafatan Baginda selama 40 tahun.

Hadis Umur Aisyah Ketika Berkahwin

Antara hadith-hadith yang menceritakan berkaitan umur Aisyah RA adalah:

Diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ لِسِتِّ سِنِيْنَ . وَبَنَى بِيْ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2547]

تَزَوَّجَنِي النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Nabi SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 3605]

تَزَوَّجَنِي وَأَنَا بِنْتُ سَبْعٍ أَوْ سِتٍّ

Maksudnya: “Telah menikahiku (Nabi SAW) ketika umurku tujuh atau enam (tahun)”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 4285][Imam Abu Daud tidak memberi komentar terhadap hadith ini]

Terdapat segelintir pihak yang cuba menegakkan benang yang basah dan mempersoalkan kredibiliti hadith-hadith di atas, dan tidak boleh terima tindakan Nabi Muhammad SAW yang kahwin ketika umur Aisyah 6-7 tahun. Berikut ialah beberapa hujah ulama’ berkenaan perkara ini.

Hujah Para Ulama’ Yang Mengatakan Bahawa Aisyah RA Mengahwini Rasulullah SAW Ketika Berusia Enam Tahun Atau Tujuh Tahun
  • Hadith yang menceritakan berkaitan umur Aisyah RA ini terdapat di dalam Sahihayn iaitu Sahih al-Bukhari dan Muslim yang telah disepakati oleh umat Islam akan kesahihan kedua buah kitab tersebut.
  • Hadith ini mempunyai jalur-jalur yang lain dan ia (hadith) bukan datang daripada Hisyam bin Urwah sahaja dan juga bukan datang melalui jalur orang Iraq sahaja sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian pihak.
  • Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasaie, Aisyah RA menceritakan bahawa “aku masih bermain-main dengan budak perempuan yang kecil”. Ini menunjukkan bahawa pada ketika itu, umur Aisyah RA masih kecil.
  • Di dalam kitab-kitab sejarah yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah, al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, Usd al-Ghabah, Siyar al-A’lam al-Nubala’ dan lain-lain lagi menyatakan bahawa umur Aisyah RA ketika mengahwini Nabi SAW adalah enam tahun seperti yang kami nyatakan di atas.
  • Riwayat ini diceritakan sendiri oleh Aisyah RA dan bukannya daripada orang lain. Ini kerana, Aisyah RA yang lebih tahu akan dirinya berbanding orang lain.

Kesimpulan

Saya mengikut pendapat mufti wilayah berkenaan isu ini:

Setelah kami melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa Aisyah RA telah dikahwini oleh baginda Rasulullah SAW ketika berumur enam atau tujuh tahun berdasarkan hadith-hadith yang terdapat di dalam Sahihayn (al-Bukhari dan Muslim) dan juga di dalam al-Sunan al-Arba’ah. Di samping itu, beliau telah bersama dengan Rasulullah SAW ketika berumur sembilan.

Walaupun pada zaman sekarang isu ini agak kontroversi dan seolah-olah melawan fitrah dan adat, tetapi perlu difahami bahawa perkara ini berlaku 1400 tahun yang lepas. Perkahwinan di usia yang muda bukanlah merupakan perkara atau tradisi yang ganjil pada waktu itu. Jika benar Rasulullah SAW telah melakukan perkara yang dianggap melanggar adat, tradisi dan suasana pada waktu itu, nescaya Rasulullah SAW akan dihina dan dikeji oleh masyarakat dan kaum mushrikin pada waktu itu disebabkan perbuatan baginda SAW.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat syurga Allah SWT.

Wallahua’lam

rujukan :

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini