Dalam Sirah Nabawiyah tercatat satu peristiwa di mana Rasulullah berdakwah kepada bangsa jin. Kejadian ini terjadi ketika Baginda dalam perjalanan pulang dari Taif.
Rasulullah menyambung perjalanan pulang ke Makkah hingga Baginda sampai ke “Wadi Nakhlah” di mana Baginda tinggal di situ untuk beberapa hari, di Wadi Nakhlah atau Lembah Nakhlah terdapat dua kawasan yang sesuai untuk persinggahan, iaitu al-Sail al-Kabir dan al-Zaimah, kedua-duanya subur dan berair. Namun kami tidak mempunyai rujukan yang boleh menentu secara tepat tempat persinggahan Baginda itu.
Dalam tempoh persinggahan Rasulullah di lembah Nakhlah, Allah(s.w.t) telah mengutus beberapa jin, di mana Allah menyebut peristiwa ini di dalam dua tempat,
1. Dalam surah al-Ahqaf,
Dan (Ingatlah peristiwa) semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur’an itu dengan) memberi ingatan dan amaran. (29)
Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Qur’an) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi memandu kepada kebenaran (tauhid) dan kejalan yang lurus (Agama Islam).(30)
“Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.(31)
al-Ahqaaf: 29-31
2. Surah al-Jin
Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: ‘Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!(1)
Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepada-Nya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.(2)
al-Jin: 1-2
Penceritaannya boleh dilihat dengan jelas hingga ke ayat 15 surah al-Jin. Dari jalan penceritaan ayat-ayat ini dan juga riwayat hadith dalam hubungan tafsir ayat al-Quran mengenai peristiwa ini, ternyata bahawa Rasulullah (s.a.w) tidak menyedari tentang kehadiran beberapa jin itu, Rasulullah mengetahui setelah Allah memberitahu RasulNya mengenai kehadiran jin-jin itu, dan kehadiran kumpulan jin ini pun adalah kali pertama.
Diketahui juga bahawa jin-jin ini mendatangi majlis Rasulullah berulang kali selepas kedatangan ini, yang merupakan sokongan Allah yang diberikannya kepada RasulNya dari alam ghaib, dengan bala tenteranya yang tidak diketahui bilangannya melainkan Dia.
Maka, para sahabat tahu bahawa mereka tidak bersendirian tetapi ada juga dalam kalangan jin yang berdakwah untuk menyampaikan Islam. Perasaan Rasulullah yang sedih setelah dihalau penduduk Taif, terubat sedikit. Setelah itu, Rasulullah kembali ke Makkah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk meneruskan dakwah. Sesungguhnya inilah bukti insan yang hebat, kerana semakin berat diuji, semakin kental iman dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Wallahua’lam