Nabi Muhammad Dakwah Di Taif

Izuan
Dakwah di taif

Peristiwa dakwah di Taif terjadi setelah kematian Abu Talib dan Khadijah, kerana tiada siapa lagi yang mampu mempertahankan Rasulullah daripada gangguan Musyrikin Makkah. Umat Islam pula semakin teruk ditindas.

Ini menyebabkan Rasulullah mengambil inisiatif untuk berdakwah di kawasan luar Makkah untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan. Tempat yang dipilih ialah Taif, jaraknya lebih kurang 100km dari Makkah. Baginda berharap para pembesar daripada Bani Thaqif akan menerima baginda dengan baik. Bani Thaqif mempunyai hubungan dengan Bani Hashim, iaitu keturunan baginda.

EDE02A7C 303D 47AA BBA3 3D2A03B0F477

Perjalanan Dakwah di Taif

Pada bulan Syawal tahun kesepuluh kerasulan, lebih kurang 619M, bermula perjalanan Nabi ke Taif bersama pembantunya Zaid bin Harithah. Mereka pergi ke sana dengan berjalan kaki. Setiap qabilah yang Baginda lewati dalam perjalanan ke Ta’if Baginda menyeru mereka kepada Islam, namun usaha Baginda itu tidak seorang pun yang menyahutinya.

Apabila sampai di Taif, mereka sangat kagum dengan keindahan daerah itu. Tanaman hidup subur dan binatang ternakan sangat sihat.

Rasulullah dan Zaid pergi menemui para pembesar daerah itu yang terdiri daripada tiga adik beradik daripada Bani Thaqif. Rasulullah menyeru mereka kepada Islam dan menyampaikan hasrat ingin dakwah di Taif.

Malangnya, pembesar itu menghina dan menghalau Rasulullah SAW. Rasulullah kemudian pergi meneruskan dakwah di Thaif selama sepuluh hari kepada penduduknya. Tiada seorang pun yang menerima dakwah Nabi di Taif. Bahkan penduduk Taif menghina dan menghalau Baginda SAW. Hamba sahaya pula beratur di sepanjang jalan Taif dan melemparkan batu dan ranting, tetapi dihalang oleh Zaid bin Harithah daripada mengenai Nabi Muhammad.

Diriwayatkan Rasulullah cedera parah sehinggakan kasut Baginda berlumuran darah. Baginda keluar dari Taif dalam keadaan lemah, dan berehat di bawah sepohon anggur di pinggir kota Taif. Indahnya akhlak Rasulullah kerana baginda tidak menyimpan dendam terhadap penduduk Thaif bahkan sempat berdoa,

“Tuhanku kepada Engkau ku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan, kehinaanku di hadapan manusia, wahai Maha Penyayang Lagi Mengasihani. Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenci daku atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku?

Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, namun afiat dari Mu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. Engkaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, atau turun kemarahanMu, bagi kau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhan “

Kisah Penduduk Taif Hampir Dihempap Gunung

Imam al-Bukhari melalui sanadnya menceritakan dengan panjang lebar hadith dari Urwah Ibn al-Zubair bahawa ‘A’isyah (r.a) telah meriwayat hadith kepadanya di mana beliau telah berkata kepada Rasulullah, Adakah pernah di suatu hari tuan hamba merasa lebih berat dari peperangan Uhud?

Jawab Rasulullah “Daku telah menerima pelbagai penyiksaan dari kaumku, yang terlebih berat ku tanggungnya ialah peristiwa hari al-Aqabah di hari itu ku telah memperkenalkan diriku kepada anak Abdul Yalii bin Abdul Kalal(pembesar Taif), namun mereka tetap tidak menyahut seruanku itu, ku beredar dari situ, membawa diri penuh kehibaan dan duka nestapa, tanpa menyedari kecuali setelah sampai ke Qarn al-Tha’alib yang dikenali sebagai Qarn al-Manazil ku mendongak ke langit.

Tiba-tiba sahaja ku melihat awan mendung memayungi daku, ku renung lagi, ku dapati Jibril, beliau menyeru daku dengan katanya: Sesungguhnya Allah telahpun mendengar kata-kata kaum itu dan segala jawapan dan penolakan mereka terhadapmu itu, justeru itu maka Allah telah mengutus malaikat penguasa gunung-ganang untuk kau perintahkannya bertindak terhadap kaum kau itu.

Malaikat penguasa gunung-ganang tadi memanggil Baginda serta memberi salam pada aku dan berkata “Wahai Muhammad, itu dia bukit-bukit, apa yang kau mahu, sekiranya kau mahu aku tangkupkan mereka dengan bukit al-Akhsyabain itu, nescaya ku lakukan. Al-Akhsyabain ialah dua buah bukit di Makkah, iaitu bukit Abu Qubais dan bukit Qaiqa’an.

Jawab Rasulullah “Tapi apa yang ku harapkan ialah agar Allah mengeluarkan zuriat dari keturunan mereka itu benih-benih yang akan menyembah Allah yang Esa tanpa mempersekutukan Allah sesuatu apa pun”.

Di dalam jawapan Baginda kepada Jibril dan Malaikat berkenaan, memperlihatkan keperibadian Rasulullah yang luar biasa dan memperlihatkan kemuliaan akhlak Rasulullah yang tidak dapat diduga keagungannya.

Episod dakwah Rasulullah ini menjadi salah satu peristiwa terpenting dalam sejarah Taif. Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dari sirah Taif.

Wallahua’lam

Keywords: kisah taif, peristiwa di taif

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini