10 Persediaan Ramadhan

Izuan
persediaan ramadhan

Jom kita buat persediaan Ramadhan supaya dapat memanfaatkan bulan Ramadan dengan sepenuhnya.

1. Berdoa

Para Salafussoleh ketika tiba sahaja bulan Rejab, mereka akan mula membuat persediaan Ramadhan dari segi amal soleh dan kekuatan mental untuk menghadapi bulan Ramadan. Bahkan ada riwayat yang mengatakan persediaan dibuat 6 bulan sebelum Ramadan. Kita juga boleh cuba amalkan doa ini :

image 3

2. Bertaubat

Banyakkan bertaubat kerana bulan Ramadhan merupakan ladang untuk amal kebaikan. Mereka yang mempunyai banyak maksiat akan merasa berat untuk beribadat, oleh sebab itu bersihkan diri kita dari dosa dahulu.

3. Tingkatkan kualiti dan kuantiti ibadat

Semakin hampir dengan bulan Ramadhan, kita perlu mula memperbanyakkan bacaan al-Quran, jika lancar membaca, boleh lah kita mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan.

Yang lelaki boleh mula pergi ke masjid untuk solat berjemaah. Jika 5 waktu terlalu payah, mula dengan satu atau dua waktu solat.

4. Berpuasa sunat

Berpuasa selama 30 hari secara berterusan bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu latih badan kita dengan berpuasa sunat dahulu seperti puasa Isnin Khamis atau puasa Ayyamul Bidh(hari 13,14 dan 15 mengikut bulan Islam) supaya tidak terjadi penyakit seperti gastrik.

5. Merancang

Sebagai mukmin yang bijak kita perlu membuat perancangan teliti bagaimana caranya untuk memanfaatkan bulan Ramadhan dengan sepenuhnya. Kita boleh cuba menggunakan planner atau membuat jadual dan set target contohnya, baca satu juz sehari, solat 5 waktu di masjid dan solat tarawih 21 rakaat.

Tempoh masa bulan Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isilah setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى

6. Tidur lebih awal

Sahur merupakan antara waktu penting untuk orang berpuasa. Oleh itu, tidur awal amat penting supaya kita dapat bangun awal dan sahur. Jika kita bangun awal dengan keadaan segar, kita boleh memanfaatkan waktu itu untuk bertahajjud, membaca al-Quran dan solat Subuh berjemaah.

7. Pelajari Hukum Berkaitan Ramadhan

Sesuatu ibadat itu mestilah dijalankan berdasarkan ilmu. Lebih banyak ilmu yang kita ada berkenaan sesuatu ibadat, lebih sempurna pelaksanaannya.

Antara ilmu yang kita boleh pelajari ialah hukum berpuasa, perkara yang membatalkan puasa, cara solat tarawih, sejarah Nuzul al-Quran dan macam-macam lagi.

Firman Allah سبحانه وتعالى :

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah Al-Anbiya’ 21 : 7)

8. Berubah

Jika kita lihat diri kita sebagai orang yang jahat dan tiada harapan, ketahuilah bahawa ketika Ramadhan pintu taubat dibuka seluas-luasnya oleh Tuhan Yang Maha Pengampun. Jadi berazamlah untuk membuka lembaran baru dan terus bersangka baik kepada Allah SWT.

9. Menjaga kesihatan

Jaga pemakanan supaya badan sihat dan bertenaga sepanjang Ramadhan. Elakkan makan berlebihan kerana perut yang kenyang akan menyebabkan kita berat untuk melakukan kebaikan.

10. Memaafkan orang lain

Persediaan Ramadhan seterusnya ialah belajar memaafkan orang lain supaya hati kita menjadi lapang, dan lebih tenang. pada bulan ini, kita kurangkan fikir tentang orang lain dan sibukkan diri dengan ibadat dan meraih cinta Allah.

Wallahua’lam

sumber – alaf21, theasianparent

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini