Persaudaraan Muhajirin dan Ansar

Izuan
muhajirin dan ansar

Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar merupakan antara perkara penting yang dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah.

Maksud Muhajirin dari segi bahasa ialah Penghijrah, secara istilahnya bermaksud pengikut awal Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Maksud Ansar (Arab: الأنصارPembantu) merujuk kepada penduduk asal Madinah yang memeluk Islam serta membantu perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. menegakkan negara Islam di Madinah. Golongan Ansar terdiri daripada dua kaum utama, Aus dan Khazraj.

Mengikut catatan Ibn al-Qayyim:

Setelah itu Rasulullah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan al-Ansar. Majlis ini diadakan di rumah Anas bin Malik, yang hadir sembilan puluh orang kaum lelaki, separuh darinya al-Muhajirin dan separuhnya pula ialah kaum Ansar. Rasulullah mempersaudarakan sesama mereka, untuk bantu-membantu, mewarisi harta pusaka selepas mati yang bukan dari golongan Zawi al-Haram iaitu tiada kaitan kekeluargaan. Amalan ini berlaku hingga berlaku peperangan Badar, dengan terturunnya ayat Allah yang bermaksud:

“Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu adalah lebih berhak terhadap sesamanya” (al-Anfal: 75)

Dengan itu, hak pewarisan harta pusaka dikembalikan kepada yang berhak mengikut syara’ dan bukan lagi berdasarkan kepada persaudaran tadi.

Tujuan dari persaudaraan ini, sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad al-Ghazali ialah untuk mencairkan asabiah jahiliah hingga yang tinggal hanya ruh Islam sahaja dan supaya perbezaan keturunan, warna kulit dan kedaerahan semua dihancurkan dan yang tinggal hanya Islam, tiada suatu pun yang boleh membanggakan seseorang atau merendahkannya kecuali dengan ketaqwaan sahaja.

Kemuliaan Orang Ansar

Imam al-Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan:

Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah terus mempersaudarakan antara Abdul Rahman bin Auf dengan Sa’d bin al-Rabi’, sehingga beliau berkata kepada Abdul Rahman: Sebenarnya aku ini orang Ansar yang terbanyak hartanya, di sini aku hendak bagi dua, isteriku pun dua kau pilinlah mana seorang dari mereka yang berkenan dihati kau, dan aku hendak ceraikan, selepas selesai iddahnya kau kahwinlah dengannya.

Kata Abdul Rahman: “Semoga Allah memberkati kau pada keluarga dan harta kau, cuma aku hendak tahu di mana pasar kamu di sini?” Dengan itu kaum Ansar pun menunjuk pasar Banu Qainuqa’, selepas majlis itu beliau pun terus ke sana membawa barang-barang keperluannya yang lebih untuk dijual di pasar seperti minyak sapi dan mentega, seterusnya hingga ke esok hari.

Di suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah, kelihatan kesan ceria dan Rasulullah pun bersuara: Ehem! Terus Abdul Rahman menjawab: “Sebenarnya daku sudah pun berkahwin”. Tanya Rasulullah: “Berapa maharnya?” Jawab Abdul Rahman: “Sebungkal emas”.

Riwayat dari Abu Hurairah menyebut: Maka berkata kaum Ansar kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah bahagikan ladang-ladang tamar kami itu sesama saudara kami al-Muhajirin”. Kata Rasulullah: “Tidak”. Kata mereka: “Kami boleh membantu memelihara tamar, kemudi air kita berkongsi pada buahnya”. Jawab al-Muhajirin: “Kami mendengar dan kami patuhi”.

Hikmah Persaudaraan Muhajirin dan Ansar

Kesemuanya itu menggambarkan kemuncak kemurahan kaum Ansar terhadap saudara mereka, kaum Muhajirin. lanya adalah sebahagian dari pengorbanan, sifat mengutamakan orang lain, kemesraan dan ketulusan hati. Disebaliknya pula kaum Muhajirin tahu pula menghargai kemurahan hati Ansar itu, di mana tidak pula mereka mengambil kesempatan, yang mereka terima ala kadar setakat yang mereka perlukan sahaja.

Sesungguhnya, persaudaraan ini merupakan hikmat yang paling tepat, menunjukkan kebijaksanaan Rasulullah, ianya satu siasah(politik) yang amat kena pada masa, keadaan dan tuntutan suasana, ianya adalah penyelesaian yang cemerlang bagi beberapa masalah dan persoalan yang dihadapi oleh kaum muslimin, seperti mana yang telah kita perkatakan.

Wallahua’lam

Rujukan:

Subscribe
Notify of
1 Comment
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
anonymous
11 months ago

harapnya penulis dapat letak tarikh artikel dipublish , boleh jadi rujukan untuk student