Perang Najd terjadi selepas Perang Bani Nadhir. Perang Najd bukanlah perang besar yang melibatkan ramai tentera, ia lebih kepada operasi ketenteraan terhadap suku Arab yang berani-berani menunjukkan belang.
Dengan kemenangan yang dicapai oleh umat Islam di dalam peperangan Bani Nadhir tanpa pengorbanan yang banyak, kini kedaulatan pemerintahan mereka di Madinah kembali kukuh.
Kaum munafiqin mula menabirkan diri untuk tidak berterang-terangan memusuhi dan menipu helah terhadap kaum muslimin. Kini Rasulullah boleh menumpu sepenuh tenaga untuk membendung Arab-arab Badwi yang cuba melanggar kaum muslimin terutamanya selepas peristiwa Uhud seperti serangan mereka ke atas golongan pendakwah dengan cara terkutuk dan kotor, malah mereka ini sampai ke peringkat berani hendak melanggar Madinah.
Sebelum Rasulullah bergerak di dalam operasi pengajaran ke atas mereka yang mencabuli dan mengkhianati kaum muslimin, telah sampai ke pengetahuan Rasulullah, di mana kabilah-kabilah Arab Badwi dan kabilah-kabilah Banu Muharib dan Banu Tha’labah dari suku Ghatafan telah mengerah tenaganya, maka dengan segera Rasulullah keluar terlebih dahulu memburu mereka di pendalaman Najd, di dalam rangka menakut-nakutkan kabilah-kabilah berkenaan yang degil, supaya tidak mengulangi perbuatan mereka yang terkutuk itu.
Dengan itu Arab Badwi di pendalaman yang bermaharajalela dengan mencuri dan menyamun, kini bila sahaja mendengar kedatangan kaum muslimin di daerah mereka terpaksa berhati-hati dan ada yang lari ke kemuncak gunung, demikian cara umat Islam menimbulkan ketakutan dan kegerunan di kalangan kabilah-kabilah yang biasa membuat serangan, kini Madinah kembali kepada keadaan sejahtera.
Ahli sirah dan peperangan telah menyebut sehubungan dengan ini satu peperangan tertentu telah dilakukan oleh kaum muslimin di bumi Najd di dalam bulan Rabiulakhir atau permulaan Jamadilawal di tahun 4 hijrah, ahli sirah menamakan peristiwa ini dengan Ghazwah Zat al-Riqa’ kejadiannya tidak syak lagi memang di dalam lingkungan masa ini, kerana inilah suasana yang meminta Madinah bertindak sedemikian, terutamanya musim perang Badar Dua sudah hampir tiba. Seperti yang dijanji-janjikan atau lebih tepat yang diugut oleh Abu Sufian semasa beliau beredar diri dari kancah Uhud. Jadi membiarkan Madinah terdedah kepada suku-suku Arab Badwi dan pedalaman dengan penderhakaan dan kemaharajalelaan mereka, bukanlah satu strategi peperangan yang baik. Malah harus dipatah-patahkan kekuatan mereka, dan dicegah kenakalan serta penderhakaan mereka itu terlebih dahulu, sebelum menghadapi peperangan besar yang mereka menduga kepastiannya.
Wallahua’lam