Kisah Perang Hunain Dalam Al-Quran

Izuan
perang hunain

Perang Hunain adalah perang yang berlaku pada tahun 8 Hijrah, tidak lama setelah pembukaan Kota Mekah(Fathu Makkah).

Walaupun perang ini tidak terkenal seperti Perang Badar, Perang Uhud atau Perang Mu’tah, tahu tak yang Perang Hunain ini disebut dalam al-Quran di dalam surah At-Taubah ayat 25 dan 26.

Perang Hunain Dalam Al-Quran

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.(25)

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.(26)

Sejarah Perang Hunain

Peristiwa Fathu Makkah berlaku dengan pantas, ia bagaikan satu pukulan mengejut kepada bangsa Arab. Walaupun banyak kabilah menyerah diri kepada Islam, masih ada beberapa kabilah yang keras kepala contohnya seperti suku Hawazin dan Thaqif. Mereka ini berat menerima kemenangan Islam, maka mereka berpakat ingin memerangi kaum Muslimin.

Kedua-dua puak ini merancang ingin menyerang Mekah dan mula berkumpul di satu kawasan bernama Autas berdekatan Lembah Hunain. Hunain terletak berdekatan dengan Taif.

Pada bulan Syawal tahun 8 Hijrah, Rasulullah pun bergerak keluar dari Mekah menuju ke Hunayn. Baginda bergerak dengan jumlah tentera Islam seramai 12 ribu orang, sepuluh ribu adalah mereka yang keluar bersama baginda ketika Fathu Makkah, selebihnya adalah penduduk Mekah, di mana kebanyakan mereka ialah baru menganut Islam.

Strategi Perang Hunain

Tentera musuh yang dipimpin oleh Malik bin Auf berjaya sampai dahulu di Hunain, beliau telah menyusun tenteranya di lembah Hunain, dengan meletakkan kelompok penyerang di sepanjang jalan dan pintu masuk malah di seluruh lereng-lereng bukit Hunain dan lorong-lorongnya, beliau memberi arahan supaya mereka memanah tentera Islam apabila mereka muncul di situ, kemudian menyerang serentak ke atas tentera Islam.

Pada awal peperangan, tentera Islam diasak dan diuji dengan pelbagai perangkap musuh. Dalam keadaan yang kacau bilau, terdapat tentera Islam yang melarikan diri. Namun, pada waktu yang genting itu terserlah keberanian Rasulullah SAW. Baginda tidak gentar dan terus mara ke hadapan.

Rasulullah SAW memerintahkan Abbas bin Abdul Mutalib yang bersuara lantang untuk berteriak memanggil kaum muslimin yang berbaiah di bawah pokok dalam Perjanjian Hudaibiah dengan menyeru, “Dimanakah mereka yang berbaiah di bawah pohon Samurah”? Kemudian Abbas juga menyeru kaum Ansar.

Apabila mendengar seruan tersebut, kaum muslimin dari setiap penjuru datang dan berkumpul semula bersama Rasulullah SAW untuk melawan pasukan musuh.

Ketika pasukan muslimin menyerang pasukan musuh, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengambil segenggam pasir, melontarnya ke arah pasukan musuh dan berdoa kepada Allah SWT untuk mengalahkan mereka.

Tidak berapa lama selepas Rasul mencampak pasir ke pihak musuh, mereka menjadi kucar kacir. Kemenangan pun berpihak kepada umat Islam.

Kisah Selepas Perang Hunain

Sebaik sahaja musuh merasai kekalahan mereka, maka sebahagian mereka segera melarikan diri ke Taif, sekumpulan yang lain lari ke Nakhlah, yang satu lagi ke Autas.

Diakatakan rampasan yang dipungut oleh kaum muslimin terdiri dari: Enam ribu (6,000) orang tawanan, dua puluh empat ribu (24,000) ekor unta, lebih empat puluh ribu (40,000) ekor biri-biri dan empat ribu (4,000) awqiyah emas. Rasulullah menyuruh dihimpunkan kesemuanya itu, dan ditempatkan di “al-Ja’ranah”, dengan melantik Mas’ud bin Amru al-Ghaffari sebagai penjaganya, tanpa membahagikannya, hinggalah selesai gerakan ghuzwah ke atas “al-Ta’if”.

Harta rampasan Perang Hunain lumayan banyak. Hal ini kerana, Malik bin Auf yang mengetuai pasukan musuh memerintahkan agar seluruh harta mereka dibawa ke medan perang bagi menyemarakkan semangat juang tentera Hawazin dan Thaqif.

Pengajaran Perang Hunain

Seperti yang diceritakan dalam ayat 25 surah at-Taubah, janganlah kita berasa megah dengan tentera yang ramai, kerana pertolongan Allah SWT itu bersama orang yang bertakwa. Berulang kali dalam sejarah dibuktikan bahawa golongan yang sedikit mampu mengalahkan golongan yang ramai selagi mana mereka yakin pada Allah dan mempunyai sifat takwa yang tinggi.

Wallahua’lam

Keywords: perang hunain tahun 6, perang hunain slide ppy

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini