Pengajaran Kisah Ashabul Kahfi

Izuan
kisah pemuda ashabul

Kisah ashabul Kahfi adalah sebuah kisah yang masyhur dan sarat dengan pengajaran di dalamnya. Ini kerana, al-Quran juga terkandung di dalamnya kisah-kisah umat terdahulu untuk menjadi pengajaran kepada kita. Berdasarkan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran”. [Yusuf:111]

Antara pengajaran yang boleh dipetik daripada kisah Ashabul al-Kahfi ini adalah;

Membuktikan Kerasulan Nabi Muhammad SAW

Kisah Ashabul al-Kahfi membuktikan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W bagi menjawab pertanyaan kaum Quraisy yang mengutus al-Nadhr bin al-Harith dan Uqbah bin Abi Muith bertemu Pendeta Yahudi di Madinah. Imam Jalaluddin as-Sayuthi dalam kitab Asbabun Nuzul menyatakan ; Lalu berkatalah pendeta itu kepada utusan Quraisy: ”Tanyalah kepada Muhammad akan tiga perkara. Jika dia dapat menjawabnya, maka dia adalah seorang Nabi yang diutuskan. Akan tetapi jika dia tidak dapat menjawabnya, maka dia hanyalah orang yang mengaku menjadi nabi. Tanyalah kepadanya tentang para pemuda pada zaman dahulu yang bermusafir dan apa yang terjadi kepada mereka kerana cerita tentang pemuda itu sangat menarik. Tanyalah kepadanya tentang seorang pengembara yang sampai ke masyrik dan maghrib dan apa pula yang terjadi padanya dan tanyakan kepadanya tentang roh, apakah roh itu?”

Pertanyaan tentang kisah Ashabul al-kahfi dikisahkan oleh Allah S.W.T dalam ayat 9 hingga 26 surah al-Kahfi. Surah al-Kahfi turun selepas lima belas hari Nabi Muhammad S.A.W ditanya oleh utusan kaum Quraisy. Penjelasan Nabi Muhammad S.A.W berkenaan kisah Ashabul al-Kahfi menjelaskan bahawa baginda adalah sebenarnya utusan Allah S.W.T kepada umat manusia.

MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH S.W.T

Kisah Ashabul al-Kahfi adalah antara perkara yang menakjubkan sebagai tanda yang membuktikan kekuasaan Allah S.W.T. Selain itu, banyak lagi perkara yang membuktikan kekuasaanNya yang lebih menakjubkan seperti kejadian langit dan bumi serta segala isinya. Allah S.W.T boleh mengubah hukum alam yang biasa berlaku dan boleh menjadikan kejadian luar biasa mengikut kehendakNya. Allah berkuasa mengatur dan mengawal masa, sama ada melewat atau mempercepatkannya.

Allah S.W.T berkuasa menidurkan mereka dengan nyenyak selama 309 tahun, tanpa makan dan minum dan badan mereka juga tidak hancur atau musnah. Kisah ini juga sebagai bukti janji Allah S.W.T menghidupkan semula manusia dengan ruh dan jasadnya di hari akhirat nanti untuk di balas segala perbuatan mereka. Sebagai umat Islam kita perlu meyakini bahawa janji Allah adalah benar. Allah S.W.T sentiasa bersama orang yang beriman untuk melindungi, menjaga dan menolong mereka. Hidayah juga adalah milik Allah S.W.T, Dia berhak memberi kepada sesiapa pun yang dikehendakinya.

MENJELASKAN KEPENTINGAN MENJAGA IMAN

Keimanan kepada Allah S.W.T adalah penting bagi seseorang Muslim. Sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan yang kental, segala dugaan yang menimpa hidupnya akan ditempuhi dengan tabah kerana semua perkara adalah dugaan daripada Allah S.W.T kepada setiap hambanya yang beriman dan beramal soleh. Keimanan seseorang juga boleh bertambah dan berkurang. Seseorang yang mempunyai tahap keimanan yang tinggi dalam dirinya akan mematuhi dan mentaati perintah Allah di setiap masa dan ketika. Jika menghadapi tekanan yang sukar untuk mempertahankan iman seperti yang berlaku dalam kisah Ashabul al-Kahfi ini yang dipaksa menyembah berhala, maka dibolehkan melarikan diri ke tempat yang selamat bertujuan untuk menyelamatkan iman kepada Allah S.W.T, begitulah juga sirah yang berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat baginda yang terpaksa berhijrah ke Madinah kerana tekanan dan penindasan yang melampaui batas musyrikin Quraisy.

Kisah ini juga menjelaskan syirik, kufur dan murtad adalah dosa-dosa besar yang boleh merosakkan akidah yang perlu dijauhi oleh setiap umat Islam. Kita juga hendaklah mengucapkan perkataan Insyaallah sebagai adab seorang hamba dengan Allah S.W.T apabila hendak melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan masa akan datang.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini