Siapakah Nabi Khidir?
Adakah beliau seorang nabi atau orang soleh yang bertaraf wali Allah, jom belajar serba sedikit fakta tentang Nabi Khidir.
Isi Kandungan
Biodata Nabi Khidir
Khidir diperdebatkan terkait nama, nasab, kenabian, dan apakah masih hidup sampai sekarang. Ada sejumlah pendapat yang akan kami sebutkan berikut ini, insya Allah.
Asal Usul Nama Khidir
Sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا سُمِّيَ الخَضِرَ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ
Maksudnya: “Sesungguhnya dinamakan Khidir kerana dia telah duduk di atas tanah putih (tanah yang kering tanpa tumbuhan), lalu bergoncang di belakangnya dan menjadi berwarna hijau (subur dengan tumbuhan).”
Riwayat al-Bukhari (3402)
Pelbagai pandangan ulama berkaitan nama sebenar Nabi Khidir AS, ada yang menyatakan bahawa nama Nabi Khidir AS adalah Iliya bin ‘Amil, Alfah bin Malkan, Balyan dan Armiya. Namun menurut pandangan yang lebih sahih, nama Baginda adalah Balya bin Mulkan.
Adakah Khidir Seorang Nabi
Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa Khidir adalah salah seorang nabi daripada nabi-nabi Allah. Pendapat ini dipegang oleh al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam ibn Hajar al-Haitami, Imam ibn Hazm al-Andalusi, Imam Syihabuddin ar-Ramli, Imam asy-Syatibi, Imam al-Qurtubi, Imam ibn ‘Atiyyah al-Andalusi, Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Sheikh Abdul Razzaq al-‘Afifi Rahimahumullah, Sheikh Yusof al-Qaradhawi Hafizahullah dan ulama’-ulama’ selain daripada mereka.
Antara dalil-dalil yang menjadi hujah bahawa Khidir ialah Nabi Allah,
Firman Allah SWT:
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا
Maksudnya: “Lalu mereka (Nabi Musa AS dan pembantunya) mendapati seorang hamba (Khidir) dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami”.
(Surah al-Kahfi: 65)
Telah berkata Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti Rahimahullah: “Ulama berbeza pandangan adakah Khidir seorang nabi, atau wali, atau malaikat, tetapi dapat difahami daripada ayat-ayat tersebut bahawa rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat kenabian dan ilmu ladunni adalah wahyu yang diberikan kepada Khidir” Rujuk Adwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Qur’an bi al-Qur’an (3/323).
Jika ingin penjelasan yang lebih terperinci, boleh lihat di artikel mufti wilayah ini
Nabi Khidir Masih Hidup Atau Wafat?
Ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’, yang pertama Nabi Khidir masih hidup, yang kedua Nabi Khidir sudah meninggal dunia.
Terdapat pelbagai kisah dan pandangan yang telah disampaikan oleh para ulama, namun tidak ada dalil yang khusus dan nas yang jelas di dalam permasalahan ini. Malah tidak menjadi sebarang masalah sekiranya berpegang pada mana-mana pandangan yang diyakini dan dirasakan selesa, namun perlu diingat bahawa isu ini merupakan titik yang diperselisihkan oleh para ulama, maka setiap muslim perlu bersikap lapang dada dalam menghadapi isu-isu khilaf yang muktabar.
Telaga Nabi Khidir
Imam Ibnu Hajar menjelaskan bahawa status kisah Nabi Khidir AS yang meminum Ain al-Hayah(air mata kehidupan) merupakan kisah yang dinukilkan daripada kisah-kisah israilliyyat, ia juga disebutkan oleh Wahab bin Munabbih dan selainnya.
Dari sudut hukum, menjadikan kisah israiliyyat sebagai sumber dan menukilkannya adalah dengan tidak membenarkannya dalam masa yang sama tidak menolaknya. Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya, bahawasanya golongan ahli kitab membaca kitab taurat dalam bahasa ibrani lalu diterjemahkannya ke dalam bahasa arab dan disampaikan kepada masyarakat Muslim. Justeru itu, Nabi SAW bersabda:
لاَ تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ، وَلاَ تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا {آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا} وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ الآيَةَ
Maksudnya: “Janganlah kamu membenarkan (kisah-kisah) dari ahli kitab dalam masa yang sama janganlah kamu menolak (kisah-kisah) mereka. Kemudian katakanlah: {Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran),} dan apa yang diturunkan kepada kamu”.
Riwayat al-Bukhari (7362)
Wallahua’lam
sumber – mufti wilayah