Nabi Ayub a.s. Kesabaran dalam Kesakitan

Izuan
nabi ayub

Nabi Ayub a.s. ialah seorang nabi dan rasul Allah yang diutuskan untuk meneruskan dakwah menyeru manusia kepada kebenaran Tauhid. Nabi Ayub diutuskan setelah Nabi Yusuf a.s.

Ayub a.s. merupakan seorang yang sangat penyabar. Sehingga Allah mengiktiraf kesabarannya di dalam al-Quran.

إِنَّا وَجَدْنَـٰهُ صَابِرًۭا ۚ نِّعْمَ ٱلْعَبْدُ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌۭ

“Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyūb) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan-nya)”

(Surah Sad : 44)

Ujian Nabi Ayub

Diceritakan oleh Ibnu Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya’: Para ulama tafsir, sejarawan dan yang lainnya berkata: Nabi Ayyub AS adalah pemilik harta melimpah dibandingkan dengan orang-orang yang semisal dengannya, antaranya binatang ternakan, hamba sahaya, dan tanah yang luas di al-Tsaniyah (الثَّنية) di daerah Huran (حُورَانَ). Ibnu ‘Asakir menceritakan bahawa tanah itu semuanya milik Nabi Ayyub AS. Beliau memiliki ramai anak dan isteri.

Tetapi, keimanan kepada Allah memerlukan pembuktian, bukan sekadar kata-kata. Sampai suatu masa Allah ingin menguji Nabi Ayub, untuk melihat sejauh mana keyakinan dan kesabarannya kepada tuhan.

Ayub a.s ditimpa ujian yang berat di mana semua kekayaannya hilang, tanamannya rosak dan anaknya pula meninggal dunia. Ujian terbesarnya ialah terkena satu penyakit yang tiada penawarnya.

Allah berfirman dalam Q.S Al-Anbiya ayat 83,

۞ وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Artinya: “Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”.

Penyakit itu terlalu teruk sehingga tiada orang yang ingin mendekatinya, semua orang menjauh dan memandang hina terhadapnya. Hanya seorang sahaja yang setia bersama iaitu isterinya.

Dikatakan ujian yang hebat itu berlangsung selama belasan tahun. Namun, tidak pernah suatu saat pun Nabi Ayub mengeluh dan bersangka buruk kepada tuhan. Akhirnya, melihat kepada kesabaran Ayub a.s. yang luar biasa, Allah mengangkat kembali ujian itu, kerana sesungguhnya Ayub a.s. telah lulus.

ٱرْكُضْ بِرِجْلِكَ ۖ هَٰذَا مُغْتَسَلٌۢ بَارِدٌ وَشَرَابٌ

Artinya:” (Allah berfirman): “Hantamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum”. (Q.S Shad: 42)

وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ أَهْلَهُۥ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنَّا وَذِكْرَىٰ لِأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ

Artinya: “Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Q.S Shad: 43)

Semasa dalam tempoh sakit, Nabi Ayub a.s. terjadi suatu kejadian yang tidak menyenangakan antara Ayub a.s. dan isterinya sehinggakan beliau terlanjur bernazar untuk menyebat isterinya 100 kali. Tetapi setelah sihat, Allah swt memberikan keringanan terhadap nazar itu,

وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَٱضْرِب بِّهِۦ وَلَا تَحْنَثْ ۗ إِنَّا وَجَدْنَٰهُ صَابِرًا ۚ نِّعْمَ ٱلْعَبْدُ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌ

Artinya: “Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan-nya).” (Q.S Shad: 44)

Pengajaran

Rasulullah SAW bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ

Maksudnya“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”

Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776)

Ketika seolah-olah dunia ini tiada jawapan terhadap masalah hidupmu yang bertalu-talu, memohonlah kepada Allah dengan penuh kesabaran dan yakinlah bahawa tiada yang mustahil bagi-Nya. Ujian Allah itu tidaklah melainkan sebagai kifarah dosa atau ingin menguji kamu supaya diangkat darjatmu.

Wallahua’lam

Sumber – merdeka, detik, muftiwp

Keywords : nabi ayyub, doa nabi ayub, sakit nabi ayub

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini