Mus’ab bin Umair ialah duta Islam pertama dilantik khas oleh Rasulullah SAW. Tugasnya ialah mengajar syariat Islam, membimbing mendalami ilmu agama(Tafaqquh fi al-Din) dan menyebarkan dakwah Islam.
Kejayaan Di Madinah
Semasa di Madinah, Mus’ab menumpang di rumah As’ad bin Zurarah. Mereka berdua giat menyebarkan agama di kalangan penduduk Yathrib.
Antara kejayaan terbesar dakwah Mus’ab bin Umair di Madinah ialah mengislamkan satu kabilah bernama Bani al-Asyhal.
Kisahnya bermula begini, pada suatu hari Mus’ab ibn Umair dan As’ad ibn Zurarah telah sampai ke perkampungan Bani al-Asyhal dan Bani Zafar. Ketika itu dua tokoh Bani al-Asyhal iaitu Sa’ad bin Muaz dan Usaiyid bin Hudhair berada di sana. Kehadiran mereka tidaklah disenangi kerana ada khabar angin tentang dua orang pemuda yang cuba mempengaruhi orang ramai untuk menganut agama baru.
Maka, Usaiyid pergi bertemu Mus’ab dan As’ad dengan membawa tombak. As’ad berkata kepada Mus’ab “Usaiyid itu adalah ketua kabilahnya, jika dia datang kemari, aku harap kau boleh jelaskan padanya tentang kebenaran Allah.”
Mus’ab menyambut kedatangan Usaiyid dan mengajaknya berdialog. Beliau menawarkan untuk menceritakan dahulu risalah Islam kepada Usaiyid dan setelah itu, terserah kepada Usaiyid untuk menentukan apa yang perlu dibuat. Islam diperkenalkan dan bacaan Quran diperdengarkan kepada Usaiyid.
Alhamdulillah, Usaiyid terbuka hatinya untuk menerima Islam. Kemudian dia pulang ke tempat Sa’ad bin Muaz. Kepulangan Usaiyid berbeza dengan keadaan ketika dia pergi tadi. Sa’ad dapat merasakan sesuatu yang tidak kena, maka dia sendiri pergi bertemu Mus’ab bin Umair dan As’ad bin Zurarah sambil membawa tombak.
Ketika kedatangan Sa’ad bin Muaz, As’ad memberitahu Mus’ab bin Umair “Yang datang ini ialah ketua kabilah ini, di belakangnya terdapat ramai pengikut, jika dia ini mengikuti kamu, nescaya tiada satu orang pun akan tertinggal”.
Maka perkara yang sama dilakukan Mus’ab, beliau telah memperkenalkan Islam dan membaca Al-Quran. Ketika itu terlihat perubahan pada wajah Saad yang kelihatan berminat dengan Islam. Sa’ad pun memeluk Islam dan kembali kepada kaumnya.
Di hadapan kaumnya, beliau terus bertanya “Wahai Bani Abd al-Asyhal, siapakah diriku di kalangan kamu?
Jawab mereka: “Tuan adalah ketua kami dan orang yang terwaras di antara kami dan sebaik-baik pemimpin”
Jawab Sa’d “Demi sesungguhnya, apa- apa perkataan yang diungkapkan oleh kaum lelaki atau perempuan di kalangan kamu adalah tidak wajar bagiku untuk ku mendengarnya, selagi mana kau tidak beriman dengan Allah dan RasulNya”.
Dengan ucapannya itu, dalam tempoh sehari sahaja seluruh Banu al-Asyhal menganut Islam, kecuali seorang sahaja iaitu al-Usayram yang telah menangguh penerimaannya, hingga ke hari peperangan Uhud, namun pada hari itu beliau terus mengucap dua kalimah syahadah dan terus ke medan jihad dan berjuang bersama kaum muslimin yang lain, namun Allah tetap mengurniakan kepadanya mati syahid.
Memberi Berita Baik kepada Rasulullah
Sebelum ketibaan musim haji berikut iaitu tahun ketiga belas kebangkitan Rasulullah, Mus’ab telah membawa bersama beliau satu jemaah ke Makkah, dengan berita yang mengembirakan iaitu berita kemenangan, beliau memperihalkan kepada Rasulullah segala sesuatu mengenai qabilah yang menetap di Yathrib, dilapornya segala kebaikan yang sedang menanti di sana, diceritakan seluruh kekuatan dan potensi yang sedang menunggu di sana.
Tidak lama selepas itu, terjadilah Perjanjian Aqabah kedua.