Kisah Sahabat – Mus’ab ibn Umair

Izuan
Musab ibn umair

Mus’ab ibn Umair atau dikenali juga sebagai Mus’ab al-Khayr ialah salah seorang sahabat Nabi. Beliau dari Banu Abd al-Dar yang merupakan di bawah suku Quraisy. Beliau memeluk Islam pada awal penyebarannya.

Antara jasa terbesar beliau ialah menjadi duta Islam pertama yang dihantar oleh Rasulullah ke Yathrib(Madinah) untuk mengajar tentang Islam. Saat-saat akhir kehidupan beliau digunakan untuk berjuang di jalan Allah, dan akhirnya terkorban dalam Perang Uhud.

Pengenalan

Mus’ab ibn Umair tergolong dalam bangsa Quraisy. Beliau merupakan cahaya mata kepada golongan bangsawan iaitu Umair ibn Hasyim dan Khunaas Bint Malik. Tahun lahir yang tepat tidak diketahui, tetapi dijangkakan lebih kurang 594 hingga 598 Masihi, kerana dia masih muda ketika memeluk Islam pada tahun 614 Masihi.

Masuk Islam Secara Sembunyi

Mus’ab mula mengenali Islam ketika di rumah Al-Arqam. Kesan daripada mendengar alunan al-Quran dan dakwah Nabi Muhammad, dia masuk Islam.

Pada mulanya, beliau merahsiakan keislaman kerana khuatir respon yang akan diberikan oleh emaknya. Namun, pada suatu hari, seorang Quraisy telah nampak beliau pergi ke rumah al-Arqam. Berita ini tersebar sehingga ke pengetahuan ibunya. Mus’ab ibn Umair kemudian dikurung oleh ibunya di rumah dengan harapan Mus’ab akan sedar dan meninggalkan Islam. Alhamdulillah, Mus’ab mempunyai keimanan yang kuat dan tetap berpegang teguh dengan Islam. Kemudian beliau telah dinasihati oleh Rasulullah agar berhijrah ke Abyssinia supaya tidak didera lagi.

Misi Ketenteraan

Beliau terlibat dalam perang Badr al-Kubra, bersama-sama dengan Ali, Hamzah, Zubair al-Awwam, Ammar ibn Yasir dan Abu Dzar al-Ghifari.

Dalam Perang Uhud, beliau ditugaskan oleh Rasulullah untuk memegang panji Islam. Ketika perang semakin sengit, tentera Muslim merasakan hampir kalah lalu meninggalkan medan peperangan. Keadaan ini membuatkan lokasi Rasulullah terdedah dan mudah untuk diserang musuh. Mus’ab yang dapat membaca situasi ini, dengan serta merta mengibarkan bendera dengan penuh semangat dan melaungkan takbir (Allahuakbar), supaya tentera musuh pergi ke arahnya. Tentera musuh datang dan memotong tangan kanannya, Mus’ab tetap membaca ayat Quran, dan memegang bendera dengan tangan kiri pula. Tangan kiri pula dipotong, Beliau kemudian memeluk bendera dengan sisa lengan yang ada. Akhirnya, beliau telah ditusuk lembing yang direjam oleh Ibn Kami’ah lalu mati syahid.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini