Peranan Kaum Munafiq Dalam Perang Bani Mustaliq

Izuan

Perang Bani Mustaliq disertai golongan munafik seperti mana yang digambarkan oleh Allah di dalam firmanNya:

لَوْ خَرَجُوا فِيكُم مَّا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ

“Kalau sekiranya mereka keluar bersama kamu, tiadalah mereka menambah selain dari kebinasaan dan mereka bersegera di antara kamu membuat fitnah.” (At-Taubah: 47)

Mereka mengenalpasti orang-orang yang boleh dipengaruhi dengan fitnah-fitnah mereka, melaluinya mereka juga menimbulkan kekacauan di dalam saf kaum muslimin dan propaganda jahat terhadap peribadi Rasulullah (s.a.w). Contohnya:

Kenyataan kaum munafiqin “Demi jika kami kembali ke Madinah nescaya orang-orang yang mulia di antaranya akan mengusir orang-orang yang hina”.

Setelah selesai peperangan Bani Mustaliq, Rasulullah pun berhenti di al-Muraisi’ di situ kaum muslimin pun singgah dan mengambil air di kawasan berkenaan, bersama-sama Saidina Umar seorang suruhan bernama Jahjah al-Ghaffari, orang suruhan ini berasak-asak di tempat air tadi dengan Sinan Ibnu Wabar al-Juhani, membawa kepada pergaduhan dan pukul memukul, oleh si al-Juhani, beliau melaung membangkitkan sentimen perkauman dengan katanya; “Wahai orang-orang Ansar”.

Dan si Jahjah pun melaung membangkitkan sentimen perkauman dengan katanya: “Wahai kalian Muhajirin”. Rasulullah pun menyuara kepada sekalian hadirin: ” Apakah kamu rela menyeru dengan seruan jahiliah ini sedang aku masih bersama di kalangan kamu ini? Tinggalkanlah semua seruan itu, ianya suatu yang lapuk”.

Kejadian ini sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubai Bin Salul, yang pada ketika itu bersama sekumpulan orangnya termasuk seorang oemuda Zaid bin Arqam, dan beliau berkata dengan marah: “Apakah ini boleh mereka lakukan, sudahlah mereka ketepikan kita setelah berasak-asak di negeri kita, demi Allah kita dan mereka tak ubah seperti kata orang tua-tua dahulu: Seperti melepas anjing tersepit. Demi Allah apabila kita pulang ke Madinah nanti, golongan yang mulia akan menghalau keluar golongan hina”.

Dan beliau berkata kepada orang di sekelilingnya; “Inilah akibat tindakan kamu sendiri, yang telah membenarkan mereka memasuki negeri kamu, kemudian berkongsi harta pula dengan mereka, demi Allah sekiranya di hari ini kamu pegangkan kemakmuran kamu itu nescaya mereka ini akan berpindah ke tempat lain”.

Zaid bin Arqam yang berada di majlis mereka itu segera memberitahu kepada bapa saudaranya, kemudian bapa saudaranya pula segara memberitahu kepada Rasulullah, kebetulan Saidina Umar pun berada di samping Rasulullah, lantas Umar pun berkata: “Wahai Rasulullah suruh sahaja Ubbadah bin Bishr membunuh si bedebah itu”, tapi jawab Rasulullah: “Bagaimana Umar, nanti orang akan bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri, ini tidak mungkin. Rasulullah kemudian mengarahkan tenteranya bergerak.

Ketika itu bukanlah masa kebiasaan orang berjalan, namun demikian kesemua orang mula bergerak, di masa itu Usaiyid bin Hadhir mengucap salam kepada Rasulullah sambil berkata: “Wahai Rasulullah, tuan hamba berjalan di luar masa kebiasaan”. Maka jawab Rasulullah: “Tidakkah sampai ke pengetahuan kau yang telah diperkatakan oleh kawan-kawan itu”, tanya Usaiyid: “Apa yang beliau cakap ya Rasulullah”? Jawab Rasulullah: “Katanya: Beliau menyangka sekiranya beliau pulang ke Madinah nanti pasti orang termulia akan menghalau yang hina”.

Jawab Usaiyid: “Engkau wahai Rasulullah yang akan menghalaunya keluar sekiranya Rasulullah mahu, demi Allah dialah yang hina dan dikau wahai Rasulullah yang mulia, kemudian katanya lagi: Biarlah dan berlembutlah dengannya wahai Rasulullah, demi Allah Dialah Tuhan yang telah membawa tuan hamba kepada kami semua, beliau itu sebelum ini sudah disediakan dengan persalinan sutera untuk ditabalkan sebagai ketua, beliau menyangka tuan hambalah yang telah merampas hak takhtanya itu”.

Rasulullah bergerak dengan semua orang sepenuh hari hingga lewat kepetangnya, dan dari malamnya hingga ke pagi hari, dan berhenti di hari itu ketika matahari terik membakar mereka semua, setelah itu barulah Rasulullah berhenti, dan barulah mereka terasa kerehatan bila memijak bumi, semua mereka keletihan dan terus tertidur. Rasulullah berbuat demikian supaya semua orang sibuk dan tak ada masa untuk bercakap-cakap.

Bila Ibnu Ubai menyedari bahawa Zaid bin Arqam telah memberitahu percakapannya tadi, terus beliau datang menemui Rasulullah dan bersumpah dengan nama Allah yang beliau tidak bercakap sedemikian dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata seperti itu, malah katanya: “Wahai Rasulullah boleh jadi si anak itu telah menyangka yang bukan-bukan dari percakapanku dahulu dan boleh jadi beliau sendiri tidak dapat mengingatkan sangat percakapan orang tua-tua”, Rasulullah pun mengiyakan apa yang disebut oleh Ibnu Ubai itu. Di hari itu kata Zaid: “Aku terasa sugul dan berdukacita kerana belum pernah ku rasa kesedihan seperti hari itu, aku duduk saja di dalam rumah hinggalah Allah menurunkan Surah al-Munafiqun, ayat 1-8 :

  1. Apabila orang-orang munafik datang kepadamu.mereka berkata: “Kami mengakui bahawa kamu benar-benar Rasulullah”. Dan Allah mengetahui bahawa kamu benar-benar Rasul-Nya, dan Allah juga mengetahui bahawa orang Munafik itu adalah orang-orang yang dusta.
  2. Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalang manusia dari jalan Allah.Sesungguhnya amat buruklan amalan mereka kerjakan.
  3. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir, lalu hati mereka dikunci mati kerana itu mereka tidak mengerti.
  4. Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?
  5. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah beriman. agar Rasulullah meminta keampunamu” Mereka memaling muka dan kamu lihat mereka berpaling sedangkan mereka sombong.
  6. Sama saja bagi mereka kamu mintakan ampun atau tidak bagi mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.
  7. Mereka yang mengatakan (kepada orang Ansar): “Janganlah kamu memberi belanja kepada orang Muhajirin yang ada di sisi Nabi supaya mereka meninggalkan Rasulullah “.Pada halperbendaharaan Allah adalah langit dan bumi, tetapi mereka tidak memahami.
  8. Mereka berkata; “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah,benar-benar orang yang kuat akan mengusirkan orang-orang yang lemah daripadanya “. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(al-Munafiquun: 1-8

Rasulullah menghantar orang untuk membaca ayat yang baru turun itu kepadaku, dan katanya: “Sesungguhnya Allah telah membenarkan cakap-cakap kau itu”

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini