6 Mitos Kisah Adam dan Hawa

Izuan
adam dan hawa

Kisah Adam dan Hawa merupakan antara kisah yang masyhur dan terkenal. Tetapi terdapat beberapa kisah yang kita perlu selidik dahulu sebelum menyeabarkannya kerana terdapat salah faham dan ada yang sekadar rekaan semata-mata.

Pasti ramai di antara kita yang menganggap turunnya Adam dan Hawa ke bumi, adalah kerana mereka berdua melanggar larangan Allah swt akibat memakan buah khuldi kerana hasutan syaitan.

Ada beberapa perkara berkaitan kisah Adam dan Hawa yang sebenarnya wujud banyak kekeliruan di antara kita dan artikel ini cuba menjelaskan serba sedikit berkenaan beberapa salah faham yang ada.

1. Kalau Nabi Adam Tidak Diturunkan ke Bumi, Kita akan Terus Hidup Di Syurga?

Salah satu mitos yang terkenal, ialah berkenaan turunnya Nabi Adam ke bumi adalah disebabkan oleh hukuman yang dikenakan ke atas mereka oleh Allah SWT sehinggakan ada yang beranggapan jika Adam dan Hawa tidak terpedaya pengaruh syaitan, manusia akan masih kekal di syurga.

Jawapan kepada persoalan ini terkandung dalam ayat Quran,

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Mu dan mensucikan Mu?” Tuhan berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah : 30)

Ayat ini menerangkan memang sejak mula penciptaan Adam lagi telah ditetapkan yang Adam as akan diturunkan untuk menjadi khalifah di bumi.

Jadi persoalan adakah Adam dan Hawa akan terus kekal di syurga, sepatutnya tidak ditimbulkan, kerana pemikiran yang menyalahkan Nabi Adam mengakibatkan manusia tidak dapat hidup di syurga, merupakan satu pemikiran yang tidak berasas. Semua terjadi sesuai dengan ketentuan Allah dan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

2. Nabi Adam Makan Buah Khuldi

Adakah anda mengetahui nama pokok larangan yang buahnya dimakan oleh Adam dan Hawa itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang nama?

Khuldi sebenarnya adalah nama yang diberikan sebagai gelaran untuk merujuk kepada pokok larangan itu oleh Iblis untuk memujuk Adam dan Hawa supaya melanggar perintah Allah swt.

Dalam al-Quran hanya terkandung satu ayat merujuk kepada ‘buah khuldi’ iaitu,

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (Surah Taha: 120)

Khuldi itu membawa makna hidup kekal atau ‘eternity’. Gelaran khuldi itu bukanlah nama sebenar pokok itu tetapi hanyalah pembohongan Ibilis untuk merosakkan pegangan Adam dan Hawa ketika itu.

3. Hawa Yang Menghasut Nabi Adam?

Ini mitos paling kerap disebarkan dan paling bahaya, sehinggakan ramai di antara kita menggunakan ini sebagai hujah untuk membuktikan wanita perlu diawasi, dan perlu berjaga-jaga dengan wanita.

Hujah untuk menjawab dakwaan ini ialah dengan rujuk balik pada ayat 120 surah at-Thaha yang dinyatakan di atas berkenaan kisah ini, sudah jelas tidak wujud sebarang bukti yang mengatakan Hawa yang memujuk Adam untuk melanggar perintah Allah swt.

Tidak cukup dengan itu, dalam surah al-A’raf ayat 20 juga dinyatakan,

“Lalu syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi.”

Jadi, jangan mempunyai mindset seolah-olah wanita itu jahat, dan mereka kuat menghasut.

4. Dari Mana Datang Kisah Adam Memujuk Hawa

Kepercayaan itu datangnya daripada kisah “Adam and Eve” melalui kitab Bible, dimana diceritakan dalam Bible, Iblis datang menyerupai ular lalu memujuk Eve (Hawa) untuk memakan buah larangan itu.

Menggunakan pujuk rayu untuk memujuk Hawa dengan menjanjikan kekuasaan yang sama seperti Tuhan. Selepas memakan buah larangan, membuatkan Eve tergoda melihat pokok larangan yang dikatakan rupanya cantik dengan buah-buahan yang segar.

Sehingga kini, wujud pelbagai perbincangan tentang isu ini dalam pengkaji agama Kristian yang mempunyai bermacam pandangan tentang adakah Eve berseorang semasa dipujuk Iblis atau Adam ada bersamanya? Adakah Eve yang makan terlebih dahulu kemudian Adam?

Hujah paling kuat menyalahkan Eve adalah melalui 1 Timothy 2:14 (King James Version) yang dengan jelas menyebut,

“Dan Adam tidak diperdaya, yang diperdaya hanya wanita itu yang melanggar peraturan Tuhan.”

5. Halkum dan Buah Dada Kesan Daripada Makn Buah Khuldi?

Ramai yang masih mempercayai halkum di tekak lelaki dan dua buah dada wanita adalah buah larangan yang tersangkut ketika di telan, bagi menunjukkan yang Hawa makan buah itu terlebih dahulu lalu sangkut di dada kemudian Adam makan, lalu sangkut di tekak.

Menurut Islam, tidak ada langsung asas kepada kepercayaan ini. Jadi, usahlah menyebarkan lagi kisah palsu ini yang langsung tidak ada asas melalui pandangan agama Islam.

6. Nabi Adam dan Hawa Telanjang Di Dalam Syurga?

Tidak! Adam dan pasangannya sudah diberitahu berpakaian ketika hidup di dalam syurga melalui ayat,

“Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersesatlah dia.” (Surah Taha : 121)

Hanya selepas termakan pujukan Iblis, baharulah terserlah aurat sesama mereka yang memerlukan Adam dan pasangannya menggunakan daun-daun untuk menutup aurat mereka berdua.

Dakwaan bahawa Adam dan Hawa tidak memakai pakaian ialah pemahaman orang Kristian sahaja.

image 1
Sekadar gambar hiasan

Jadi, elakkanlah diri anda daripada kerap kali tersalah apabila membayangkan kisah Adam dan Hawa, kerana apa yang selalu tergambar dalam fikiran kita adalah dua manusia yang hidup dalam taman yang indah, tanpa berpakaian seurat benang pun, seperti apa yang selalu divisualkan oleh pelukis bukan Muslim.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini