Perang Khaibar terjadi pada tahun 7 Hijriah(629 M) pada bulan Muharram. Persitiwa ini terjadi setelah Perjanjian Hudaibiyah
Khaibar ialah sebuah kota besar dikelilingi tembok berbenteng dan taman-taman, jaraknya ke Madinah enam puluh (60) atau lapan puluh (80) batu di sebelah utara.
Isi Kandungan
Penyebab Perang Khaibar
Perang Khaibar adalah perang antara Nabi Muhammad dan umat Islam terhadap kaum Yahudi Khaibar. Seperti biasa walaupun kaum Yahudi tidak menunjukkan secara jelas penentangan terhadap Rasulullah, mereka bagaikan gunting dalam lipatan. Senyap-senyap merancang konspirasi untuk menjatuhkan umat Islam.
Sebelum ini, Yahudi Bani Khaibar tidak menunjukkan sebarang sikap permusuhan terhadap kaum Muslimin, sehinggalah para pemimpin yahudi bani Nadhir datang ke Khaibar setelah dihalau oleh Rasulullah dari kampung halaman mereka di sekitar Madinah akibat sikap jahat mereka sendiri.
Antara pemimpin bani Nadhir yang tinggal di Khaibar ialah Salam bin Abu Haqiq, Kinanah bin Abu Haqiq dan Huyay bin Akhtab.
Menuju Ke Khaibar
Sekembalinya dari al-Hudaibiah, Rasulullah tinggal di Madinah. Baginda tinggal di sana pada sebahagian dari bulan Zulhijjah dan Muharam. Di akhir bulan Muharam Baginda keluar ke Khaibar.
Ahli tafsir mengatakan: Bahawa Khaibar itu adalah janji yang telah dibuat oleh Allah (s.w.t) di dalam firmanNya yang bermaksud:
Allah menjanjikan kamu rampasan-rampasan yang banyak kamu mengambilnya namun Allah menyegerakan bagi kamu yang ini. (iaitu perjanjian al-Hudaibiah manakala rampasan-rampasan yang banyak ialah Khaibar).
(al-Fath: 20)
Mengikut beberapa sumber, tentera Islam terdiri daripada 1,400 ke 1,800 orang dan antara 100 dan 200 ekor kuda. Beberapa wanita Muslim (termasuk Ummu Salamah) juga menyertai angkatan Islam dengan niat untuk merawat mereka yang tercedera. Berbanding dengan angkatan tentera Khaibar yang mempunyai kekuatan seramai 10,000 orang tentera, kontinjen Muslim kecil; namun ini membawa beberapa kelebihan kepada pihak Muslim.
Abdullah Bin Ubai Menghasut Bani Khaibar
Abdullah bin Ubai selaku kepala munafiqin telah menghantar utusan untuk bertemu dengan kaum Yahudi Khaibar dengan peringatan: “Bahawa Muhammad telah bergerak menuju ke arah kamu, berwaspadalah kerananya, justeru itu janganlah kamu gentar, persenjataan dan bilangan kamu lebih banyak, sedang Muhammad hanya satu kelompok yang kecil sahaja dengan tangan kosong tak Bersenjata, senjata yang mereka miliki sangat sedikit.
Sebaik sahaja penduduk Khaibar mengetahui hal ini, lantas mereka mengutus Kinanah bin Abi al-Haqiq dan Hauzah bin Qais kepada bani Ghatafan, meminta bantuan dari mereka, kerana Ghatafan adalah sekutu Yahudi yang memusuhi kaum muslimin. Yahudi telah menjanjikan Ghatafan untuk menyerah separuh hasil Khaibar sekiranya mereka dapat mengalahkan kaum muslimin.
Rasulullah SAW mengetahui gerakan pasukan Ghathafan ini, karena itu beliau segera mengirim pasukan yang bertugas untuk menyerang rumah-rumah mereka. Ketika pasukan Ghathafan mengetahui hal ini, mereka segera kembali ke tempat semula untuk menyelamatkan keluarga dan harta bendanya, dan tentunya meninggalkan Khaibar untuk menentukan nasibnya sendiri.
Strategi Perang Khaibar
Bilangan relatif kecil ini membolehkan tentera Muslim bergerak dengan pantas dan senyap menghala ke Khaibar (mengambil masa hanya tiga hari), sekali gus mengejutkan kota itu. Ia juga membuat pasukan pertahanan Khaibar terlalu yakin.
Hasilnya, orang Yahudi gagal membuat pertahanan yang teratur dan setiap keluarga terpaksa mempertahankan kubu masing-masing tanpa mendapat bantuan daripada pihak kawan. Perasaan terlalu yakin terhadap kebolehan tentera Muslim ini membenarkan Nabi Muhammad SAW menakluk dengan mudah setiap kubu satu persatu, dan dengan itu merampas makanan, persenjataan dan tanah semasa mara.
Kaum muslimin tidur di malam akhir sebelum bermulanya peperangan di pagi harinya, berhampiran dengan kota Khaibar, tanpa disedari oleh kaum Yahudi. Kebiasaan Rasulullah apabila hendak memerangi sesuatu kaum sedang suasana masih malam maka Baginda tidak rnenghampiri tempat itu hinggalah di waktu subuh.
Kiranya apabila masuk sahaja waktu subuh terus Rasulullah bersembahyang fajar disamar-samar pagi, seluruh tentera pun siap memacu tunggangan masing-masing, penduduk Khaibar keluar di pagi hari untuk ke tempat kerja masing-masing, membawa peralatan mereka, tanpa menyedari
kehadiran tentera Islam.
Sebaik sahaja mereka sampai ke tempat kerja tiba-tiba mereka melihat tentera Islam terus mereka memekik: “Muhammad, demi Allah Muhammad dengan unit-unit tenteranya. Terus mereka lari ke dalam kota, maka laung Rasulullah: “Allahu Akbar! Musnah Khaibar, Allahu Akbar! musnah Khaibar. Sesungguhnya apabila kami turun ke halaman sesuatu kaum maka nahaslah pagi hari kaum yang diperingatkan itu”.
Kubu Perang Khaibar
Pertamanya, kita perlu tahu yang Kota Khaibar mempunyai banyak kubu pertahanan.
Khaibar terbahagi kepada dua kelompok, satu kelompok ialah:
- Kubu Naim
- Kubu al-Saab bin Muaz
- Kubu Qaladah al-Zubair
- Kubu Ubai
- Kubu al-Nizar
Tiga kubu yang pertama terletak di kawasan yang dikenali sebagai al-Nutah yang dua lagi terletak di kawasan yang dikenali sebagai al-Syaq.
Kelompok kedua dikenali dengan nama al-Katibah, terdapat tiga kubu sahaja.
- Kubu al-Qamus ianya kubu qabilah Abu al-Haqiq keturunan Banu al-Nadhir.
- Kubu al-Watih
- Kubu al-Salalim
Namun demikian di Khaibar masih terdapat kubu-kubu dan tembok-tembok lain, selain dari lapan yang tersebut, cuma ianya kecil tidak segagah dan perkasa seperti yang lapan itu.
Perang Khaibar Bermula
Saidina Ali bin Abi Talib dilantik sebagai panglima perang dalam perang ini.
Kubu Na’im merupakan kubu pertama di antara lapan kubu yang diserang, ianya merupakan barisan pertahanan Yahudi pertama kerana kedudukannya yang strategik, ianya kubu pahlawan Yahudi yang bernama “Marhab”, pejuangnya adalah ribuan.
Satu demi satu kubu musuh berjaya ditawan. Kubu yang terakhir ialah kubu al-Qamus. Ada yang mengatakan ia dibuka melalui peperangan, ada yang berkata ia dibuka melalui rundingan. Wallahua’lam.
Akhirnya selesailah penyerahan semua kubu-kubu kepada tentera Islam, dan sempurna sudah pembukaan seluruh Khaibar.
Harta Rampasan Perang Khaibar
Perang Khaibar adalah antara perang yang memberikan harta rampasan perang yang terbanyak antara perang-perang lain.
Bukti yang menunjukkan betapa banyaknya rampasan Khaibar ialah apa yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Ibnu Umar dengan katanya: Kami tidak pernah kenyang kecuali setelah kami buka Khaibar, dan riwayat Aisyah dengan katanya: Selepas pembukaan Khaibar kami semua menyebut-nyebut: “Sekarang ini kita boleh kenyang dengan tamarnya”.
Pada permulaannya Rasulullah hendak mengosongkan Khaibar dari kaum Yahudi, tetapi mereka menawar kepada Rasulullah dengan kata mereka: “Hai Muhammad biarlah kami yang mengerjakan ladang-ladang ini, kami mengusahakannya, kerana kami lebih mengetahui mengenainya dari kamu. Kebetulan Rasulullah dan para sahabat di masa itu tidak ada prang-orang atau anak-anak suruhan untuk bekerja di ladang itu, orang Yahudi tidak pernah mengosongkan ladang itu malah setiap masa diusahakannya. Maka sebab itu Rasulullah membenarkan mereka mengusahakan ladang itu dengan syarat hasil dari setiap tanaman dibahagikan dua, dan Rasulullah (s.a.w) berhak memberikan mereka setiap tuaian yang Baginda perakuinya, Abdullah bin Rawahah dilantik sebagai penyelia mereka.
Rasulullah membahagikan semua tanah Khaibar kepada 36 bahagian dan setiap bahagian itu dibahagikan kepada seratus bahagian kecil.
Maka jumlah tanah Khaibar mengandungi tiga ribu enam ratus (3,600) bahagian kecil, sebanyak seribu lapan ratus(1,800) bahagian adalah peruntukan khusus kepada Rasulullah dan tentera Islam, ini mewakili separuh bahagian. Separuh bahagian lagi untuk wakil Muslimin yang mengurus urusan-urusan kaum Muslimin.
Pengajaran Perang Khaibar
- Pada perang ini juga nikah mut’ah mulai diharamkan.
- Rasulullah melarang kaum Muslimin untuk mengambil harta rampasan perang sebelum diserahkan pada baginda dan dibahagi secara adil.
- Menghargai kaum wanita. Seramai 20 orang wanita berhati waja telah menyertai peperangan ini.
- Kebijaksanaan Rasulullah merebut peluang dalam peperangan Khaibar dengan tentera yang sedikit.
- Adalah kesalahan besar jika membiarkan musuh beristirahat, mempunyai waktu yang cukup untuk mempersiapkan persenjataan, dan membentuk kekuatan untuk menyerang. Umat Islam harus memanfaatkan kesempatan yang tepat untuk menyerangnya sebelum mereka mulai menyerang
Wallahua’lam
Nak tahu kisah lengkap perang Khaibar –> https://pts.com.my/buku/perang-khaibar
Keywords : perang khaibar pdf, perang khaibar tahun 5 rumaysho