Terdapat pelbagai hadis dan riwayat yang menceritakan tentang kelebihan Surah Al-Waqiah.
Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke-56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat.
1. Terelak Daripada Kefakiran
Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya
Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)
2. Surah Kekayaan
Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:
سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.
(Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)
3. Menjadi Orang Yang Lebih Bersyukur
Jika diamati maksud ayat dalam Surah Al-Waqiah, di dalamnya menceritakan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir, dan tentang kekuasaan Allah.
Tiada ayat yang khusus menceritakan tentang kekayaan, secara tersiratnya Surah Al-Waqiah mengajarkan kita untuk bersyukur atas segala nikmat yang ada di dunia ini kerana, nikmat dan kekayaan yang sebenar ialah di akhirat.
Semoga dengan mengamalkannya, kita akan dikurniakan kelebihan surah al-Waqiah dan kekayaan jiwa.
Wallahua’lam
Artikel berkaitan: