Kelebihan Puasa di Bulan Ramadan Al-Mubarak

kelebihan puasa

Puasa merupakan satu ibadah yang dapat menguji kesabaran kita dalam menahan diri daripada makan dan minum. Tapi apa kelebihan puasa?

Pengertian

Puasa(صوم) dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli feqah ialah meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan disertai dengan niat.

Kelebihan Puasa Dan Bulan Ramadan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ صَامَ رَمَضانَ إيمَانًا وإحتِسَابًا غُفِرَ له مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِه

Ertinya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu.

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]


Dalam mensyarahkan Hadis ini, Imam al-Nawawi berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas. (Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Rasulullah SAW bersabda:

إذا كان أول ليلة من رمضان صفدت الشياطين ، ومردة الجن ، وغلقت أبواب النار ، فلم يفتح منها باب ، وفتحت أبواب الجنان فلم يغلق منها باب ، ونادى مناد يا باغي الخير أقبل ، ويا باغي الشر أقصر ، ولله عتقاء من النار

Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walau satu pintu, dan penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Berhentilah, dan (yang ihklas) kerana Allah SWT dibebaskan dari api neraka”.

[Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah]


Di dalam hadith ini kita dapat melihat beberapa kelebihan:

  1. Akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yang dilakukan oleh orang Mukmin pada bulan ini.
  2. Ditutup semua pintu neraka
  3. Syaitan dan jin-jin yang derhaka diikat

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah. Bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

(Surah al-Baqarah, 185)


Syeikh Tantawi dalam mensyarahkan ayat ini dengan mendatangkan kata-kata Ibnu Kathir menyatakan: “Allah SWT memuji bulan Ramadhan daripada bulan-bulan lain kerana turunnya kitab Allah SWT” (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 1/386)

Hikmah Ibadat Puasa

Sifat Ikhlas
– Ketika berpuasa ibadat itu merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya. Jika amalan-amalan lain kita boleh melihat secara zahir, tetapi ibadat puasa ini akan menguji ketaqwaan dan keikhlasannya kepada Allah SWT.

Mujadalah dan Kekentalan Jiwa
– Puasa itu merupakan perjuangan melawan hawa nafsu. Jadi dengan mengurangkan makan, kita dapat melemahkan hawa nafsu seterusnya menambah kekuatan untuk melakukan amal soleh.

Sabar
– Ketika berpuasa kita perlu banyakkan bersabar supaya, pahala puasa kita tidak berkurangan.

Memelihara Fizikal dari Maksiat
– Puasa membuatkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Prihatin dan Belas Kasihan
– Ketika berpuasa kita akan berasa lapar, perasaan inilah akan melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut.

Wallahua’lam

sumber – hmetro, mstar

1 Comment
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
1 month ago

[…] Kelebihan Puasa Ramadan […]