Beza Istisyarah dan Istikharah

Izuan
istisyarah istikharah

Apa beza Istisyarah dan Istikharah?

Dalam kehidupan seseorang manusia, tiada yang akan terlepas daripada membuat pilihan. Cuma, yang menjadi persoalan ialah keputusan manakah yang terbaik? Soal jodoh dan pasangan, kerja, pendidikan dan macam-macam lagi setiap orang pasti mahukan yang terbaik.

Islam mengajar kita cara membuat pilihan dengan bijak.

Melalui perbincangan para alim ulama dalam bab istikharah, disimpulkan bahawa terdapat dua jalan atau kaedah untuk membuat sesuatu keputusan.

Pengertian Istisyarah dan Istikharah

Maksud Istisyarah adalah mendapatkan keputusan sesuatu isu selepas sesi perbincangan dengan pakar yang berkelayakan dalam bidang tertentu. Dalilnya:

Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (Surah an-Nahl ayat 43)

Maksud Istikharah: Menurut Ibnu Hajar Al-Asqolani (852 H), “Istikharah ialah memohon jawapan bagi dua pilihan yang terbaik, bagi orang yang hanya boleh memilih salah satu darinya sahaja.”

Kenapa Perlu Istisyarah

Muhammad bin Sholeh Al-Uthaimin (1421 H) berkomentar dalam Syarah Riyadhus Sholihin[3],

“Istikharah itu bersama Allah. Manakala Istisyarah itu bersama pakar dalam bidang dan berkelayakkan. Ia dibuat kerana kemampuan manusia itu lemah dan kurang. Manusia sememangnya dicipta dengan penuh kelemahan, jadi dia menjadi ragu-ragu dalam banyak perkara. Lalu, apa yang patut dia lakukan?

Kami menjawab, dia mempunyai dua jalan. Jalan pertama, dia memohon pilihan dari Allah yang mengetahui apa yang telah terjadi, yang akan terjadi, dan yang tidak akan terjadi. Jalan kedua, dia berbincang dengan kumpulan pakar, berkelayakan, dan amanah.”

Yang Mana Dulu?

Para ulama telah bersepakat bahawa hukum Istikharah dan Istisyarah ialah sunat berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan di atas.

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan yang mana harus didahulukan. Berbincang atau memohon petunjuk Allah?

Pandangan pertama : Istikharah hendaklah didahulukan.

Muhammad bin Sholeh Al-Uthaimin berkata,

“Apabila seseorang bimbang tentang satu perkara kerana dia tidak tahu akibat dan apa yang akan berlaku (disebabkan keputusannya), maka hendaklah dia berIstikharah … sehinggalah lapang dadanya. Seandainya belum lapang lagi, maka hendaklah dia mengulang buat kali kedua dan ketiga. Jika masih belum lapang dadanya, maka hendaklah dia berbincang dengan orang pakar dan berkelayakan. Setelah itu buatlah pilihan, InsyaAllah ia pilihan yang terbaik.”

Pandangan kedua: Istisyarah hendaklah didahulukan.

Imam An-Nawawi (676 H) berkata,

“Digalakkan untuk mendahulukan Istisyarah sebelum Istikharah dari orang yang mengetahui nasihat, bantuan, dan pengalaman. Dalam keadaan orang itu hendaklah dipercayai dari sudut agama dan pengetahuannya. Allah Taala berkata, “dan berbincanglah dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan kamu)..” (Ali Imran, 159). Selepas berbincang lalu jelaslah keputusannya, maka berIstikharah lah kepada Allah Taala.”

Tiada kata putus samada yang mana satu lebih afdhal didahulukan. Sebaiknya amalkan kedua-duanya maka lengkaplah ia sepertimana diajarkan Nabi SAW. Kerana Istikharah tidak boleh ada tanpa Istisyarah. Istisyarah tidak boleh ada tanpa Istikharah.

Syarat Ahli Dalam Istisyarah

  1. Merujuk kepada mereka yang baik agamanya.
  2. Merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidangnya.
  3. Proses istisyarah tidak tergesa gesa.

Wallahua’lam

Rujukan : https://www.ustazusa.com/2013/11/istikharah-dan-istisyarah.html

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini