Israk Mikraj merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Israk bermaksud Baginda menunggang Buraq bersama Jibril dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis di Palestin kini manakala Mikraj bermaksud perjalanan Baginda dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Peristiwa Israk Mikraj ini terjadi setelah kematian Abu Talib dan Siti Khadijah, dan beberapa ketika sebelum hijrah ke Madinah. Betapa pentingnya peristiwa ini sehinggakan tercatat dalam Al-Quran yang mulia.
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Jerusalem), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al Israa’: 1
Perjalanan Malam / The Night Journey
Para Imam al-Hadith meriwayatkan huraian lanjut mengenai Israk Mikraj ini “berdasarkan hadith sahih”, di sini kami memuatkan ringkasannya: Ibnu al-Qayim telah menyebut: Rasulullah telah diisra’kan dengan jasadnya dari masjid al-Haram ke Baitui Maqdis dengan menunggang buraq, ditemani oleh Jibril (a.s), Rasulullah turun ke Baitul Maqdis dengan mengimami sembahyang, bersama para Anbiya’ yang terdahulu, buraq ditambat di halaman masjid al-Aqsa.
Setelah itu Rasulullah dimi’rajkan di malam yang sama dari Baitul Maqdis ke langit terdekat, lalu Jibril meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibukanya, di sana Rasulullah telah melihat Adam (a.s) bapa sekalian manusia, Baginda pun memberi salam kepadanya, Baginda dialu-alukan dan membalas salam dan Baginda diperakukan dengan kenabiannya. Allah memperlihatkan kepada Baginda roh-roh para syuhada’ di sebelah kanannya dan roh-roh yang terseksa di sebelah kirinya.
Kemudian Baginda dibawa naik ke langit kedua, Jibril meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibuka mereka memasukinya di sana didapati nabi Yahya bin Zakaria dan Isa Ibni Mariam, diberinya salam lalu dijawab satam dan dialu-alukan mereka, di samping memperakui kenabian Muhammad (s.a.w).
Setelah itu Jibril membawa Rasulullah ke langit ketiga di sana mereka bertemu dengan Nabi Yusuf, setelah salam diberi dan disambut Baginda dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
Seterusnya Rasulullah dibawa ke langit keempat di sana Baginda berjumpa dengan Nabi Idris (a.s), Rasulullah memberi salam kapadanya dan beliau menjawab, Baginda dialu-alukan dan diakui kenabian Baginda.
Lepas itu Baginda dibawa ke langit kelima di sana Baginda bertemu dengan nabi Harun bin Imran, Baginda menjawab salam yang diberi, Baginda dialu-alukan dan diakui kenabiannya.
Kemudian Baginda dimi’rajkan ke langit keenam di sana Baginda bertemu dengan Musa bin Imran, Baginda memberi salam dan dijawab maka dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Setelah Rasulullah berlepas dari Musa, Musa pun menangis, lalu ditanya Musa apa yang membawa kau menangis? Jawab Musa: Aku menangis kerana orang yang diutuskan selepasku, umatnya memasuki Syurga lebih ramai dari umatku.
Seterusnya Rasulullah dimi’rajkan ke langit ketujuh, padanya Baginda menemui Ibrahim (a.s), setelah salam diberi dan dijawab, Baginda dialu-alukan dan diakui kenabiannya.
Sesudah itu Baginda dimi’rajkan ke Sidrah al-Muntaha dan dibawa ke al-Bait al-Ma’mur.
Akhirnya Baginda dimi’rajkan ke hadapan Allah al-Jabbar Jalla Jalaluh, Baginda menghampiriNya paling terdekat, maka difirman dan diwahyukan kepada hambaNya Muhammad segala sesuatu, difardukan ke atas Baginda lima puluh waktu solat, dengan itu Baginda pun turunlah untuk pulang ditengah jalan Baginda melalui Musa bin Imran yang bertanyakan kepada Rasulullah:
Dengan apa kau diperintahkan? Jawab Baginda: Daku difardukan dengan lima puluh waktu solat, jawab Musa: Umat kau tidak akan mampu, kembalilah kepada Tuhan pohon kepadaNya pengurangan, demi untuk umat engkau,
Baginda berpaling kepada Jibril bagaikan untuk mendapat pandangan, maka Jibril pun memberi persetujuan dengan pendapat Musa itu, dengan itu Jibril membawa semula hingga ke hadapan Tuhan Rabul Jalil, justeru itu Allah pun mengurangkan hingga tinggal sepuluh waktu sahaja.
Maka Baginda turun, semasa itu sekali lagi Baginda melewati Musa (a.s), Baginda mencerita apa yang berlaku, maka kata Musa sekali lagi sebagai menasihati, Ayuh pulang semula kepada Tuhanmu mintakan agar dikurangkan lagi, demikianlah Rasulullah berulang-alik di antara Allah Rabul Jalil dan Musa, hingga tinggal menjadi lima waktu solat sahaja, masih lagi Musa menyuruh Rasulullah memohon pengurangan lagi,
Kemudian Rasulullah mengatakan “Sesungguhnya aku terasa malu, malah setakat ini aku merelai dan menerima perintahNya itu”.
Betul ke Nabi Muhamad SAW, melihat Allah?
Seperti yang kita tahu, bila Rasulullah SAW sampai ke Sidratul Muntaha. Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT dan diturunkan perintah solat fardu 50 waktu. Tapi bila Nabi turun dan berjumpa dengan Nabi Musa AS, Nabi disuruh minta pada Allah supaya dikurangkan jumlah solat itu. Lepas naik dan turun, akhirnya jadilah solat fardu kepada 5 waktu sehari semalam.
Akan tetapi, ada persoalan yang dibangkitkan iaitu Adakah Nabi melihat Allah ketika di Sidratul Muntaha? Mengenai perkara ni, ia dibahaskan oleh para ulama dan kebanyakan sahabat kata yang Nabi tak melihat Allah SWT.
“Dalam Bukhari, Muslim dan sebagainya, Aisyah ra mengatakan ‘Kalau ada sesiapa yang mengatakan Nabi telah melihat tuhan, (maka itu) bohong’.
Cuma dalam hadis ada sebut, (bila) ditanya ‘Adakah engkau (Rasulullah) melihat tuhan pada malam Mikraj itu? Nabi kata, ‘Cahaya, yang aku nampak’. Bukannya tuhan, tapi setakat cahaya, itu sahaja. Bukan tuhan itu bercahaya dan cahaya tu je yang nampak, bukan (begitu).
Tapi cahaya yang lainlah, seperti yang dikatakan dalam hadis, ‘Diselebungi oleh warna-warna yang aku (Rasulullah) sendiri tidak tahu hakikatnya’.” – Dipetik dari ceramah Maulana Asri Yusoff.
Bagaimanapun, ada riwayat dari Ibnu Abbas yang mengatakan Rasulullah melihat Allah, tapi hanya dengan mata hati. Walau apapun, perdebatan sama ada Nabi melihat Allah atau tak ini hanyalah satu perkara yang tak perlu dipanjangkan. Cukuplah untuk kita mengambil pengajaran dari peristiwa agung yang dikurniakanNya kepada Rasulullah SAW ini
Wallahua’lam