Kenali Imam Hassan al‑Banna (1906‑1949): pengasas Ikhwanul Muslimin, reformis sosial‑politik Mesir, penyokong Palestin, dan pemikir Islam yang menekankan jihad & negara Islam. Biografi penuh & kontribusi beliau
Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin adalah dua nama yang tidak dapat dipisahkan. Begitu bertenaga sekali gerakan tersebut sehingga pengaruhnya bukan saja merebak di Mesir, tetapi telah
meresapi seluruh Dunia Arab. Gerakan Ikhwan telah mencetuskan kebangkitan Islam dan roh Islam di Dunia Arab.
Biografi Hassan al-Banna
Hasan Ahmad Abdul Rahman Muhammad Al-Banna, atau lebih dikenali sebagai Hasan Al-Banna, dilahirkan pada 25 Syaaban 1324H (14 Oktober 1906) di desa Al-Mahmudiyyah, Al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir.
Ibunya bernama Fudhla, manakala bapanya, Ahmad bin Abdul Rahman Al-Banna (juga dikenali sebagai As-Saa‘ti), merupakan seorang ulama lulusan Universiti Al-Azhar, imam, guru, dan penulis beberapa kitab hadis dan fikah, di samping bekerja sebagai tukang membaiki jam untuk menyara keluarga sambil mengajar ilmu agama kepada penduduk setempat.
Hasan Al-Banna ialah anak sulung daripada tujuh beradik: Fatimah, Muhammad, Abdul Basit, Zainab, Ahmad Jamaluddin, Fauziah, dan Faridah. Muhammad meninggal dunia pada Mac 1990, manakala Zainab meninggal semasa kecil.
Pendidikan Hassan al-Banna
Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang membimbingnya menghafal Al-Quran dan mendalami ilmu Islam. Beliau kemudiannya bersekolah di Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah di bawah bimbingan ulama Muhammad Zahran. Selepas sekolah itu bertukar pengurusan, beliau berpindah ke Madrasah A’adadiyah, sebuah sekolah menengah agama.
Apabila sistem sekolah A’adadiyah diambil alih kerajaan Mesir, Hasan Al-Banna dihadapkan dengan dua pilihan: memasuki Maahad-i-Dini (jalur Al-Azhar) atau Pusat Latihan Guru Damanhur. Beliau memilih untuk menjadi guru dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kaherah (Darul Ulum), yang terkenal sebagai ‘Al-Azhar kecil’.
Di Kaherah, beliau aktif dalam pertubuhan Jamaiatul Makarimul Akhlaq, yang berperanan membanteras kemungkaran. Selepas tamat pengajian dengan cemerlang, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Ismailiyyah.
Penubuhan Ikhwanul Muslimin
Pada Mac 1928, Syeikh Hassan al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin di bandar Ismailiyyah ketika beliau berusia 23 tahun. Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, beliau melaksanakan matlamatnya dengan memberi kelas malam kepada keluarga anak muridnya. Beliau juga berceramah di masjid, malah di kedai kopi, yang pada masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya.
Pada tahun 1933, Imam Hassan Al-Banna meminta ditukarkan ke Kaherah. Beliau ingin menjadikan Kaherah sebagai gerakan Ikhwanul Muslimin.
Ikhwanul Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan (“persaudaraan”) dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian, Ikhwanul Muslimin membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, dan seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas.
Ikhwan Muslimin merupakan antara sumbangan Hasan al-Banna yang terbesar kerana berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, apabila gerakan itu turut bertanding dalam kancah politik.
Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa’di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang pemberontakan menjatuhkan kerajaan. Bahkan ada dakwaan yang mengatakan bahawa beliau sesat.
Tidak cukup dengan itu, ada mata-mata yang memerhati dan merancang pembunuhan terhadap beliau.
Falsafah & Ideologi
- Menegaskan Islam sebagai sistem menyeluruh (agama, politik, ekonomi, sosial), berlandaskan Al‑Quran & Sunnah
- Menolak sekularisme dan nasionalisme sempit—menekankan persaudaraan Islam universal
- Kritikan kuat terhadap materialisme Barat & imperialisme British.
- Menekankan perlunya jihad bersenjata sebagai persiapan menentang penjajah, namun menolak keganasan membabi buta .
Pembunuhan Hasan al-Banna
Pada 12 Februari 1949, Hasan Al-Banna meninggal dunia setelah ditembak mati oleh pembunuh upahan. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital, dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.
Syeikh Muhammad Al-Ghazali, seorang ulamak besar Mesir, telah memuji Hasan Al-Banna dengan berkata:
‘Peluru telah menembusi jasad Hasan Al-Banna yang kurus dan lemah kerana banyak bersolah dan berzikir kepada Allah. Jasadnya itu juga penuh dengan debu lantaran pengembaraannya di jalan Allah. Dahinya melambangkan kebiasaannya dalam memberi pengorbanan-pengorbanan yang besar. Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda yang bermaksud; “Apabila seorang Mukrnin meninggal dunia, dia dibebaskan dari dunia dan dipindahkan ke dunia lain yang penuh nikmat dan kegembiraan.”
Selepas kematiannya pada tahun 1949, beliau dikenali dengan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna.
Warisan & Legasi
- Pemikiran beliau membentuk dasar gerakan islamis global: Muslim Brotherhood, Jamaat-e-Islami, serta pemimpin seperti Sayyid Qutb, Sayyid Ramadan dan Tariq Ramadan.
- Menjadi acuan organisasi Islam politik; menerapkan dakwah, politik, dan reformasi sosial dalam satu rangka.
- Tulisan beliau, terutama tentang jihad dan negara Islam, terus dikaji oleh pengkaji sejarah dan pemikir Islam kontemporari .
Wallahua’lam
Keywords : Hasan al-Banna quotes, Hassan al-Banna tingkatan 5,