Kisah Imam Ahmad Dan Penjual Roti, Rekaan Palsu?

Izuan
penjual roti

Saya pernah lihat sebuah video youtube dan ceramah tentang kisah Imam Ahmad dan penjual roti yang kerap beristighfar, tetapi adakah kisah itu benar atau hanya rekaan?

Selepas membuat sedikit carian dan semakan, ternyata kisah itu tidak diketahui asalnya.

Berikut saya tampilkan hujah dari artikel mufti wilayah persekutuan berkenaan kisah ini.

Kisah penjual roti bertemu dengan Imam Ahmad

Secara ringkasnya, diceritakan bahawa Imam Ahmad ketika dalam permusafiran telah singgah di sebuah kota. Beliau ingin berehat dan tidur di sebuah masjid tetapi telah dihalang oleh penjaga masjid yang meminta untuk beliau keluar. Penjaga masjid berkenaan tidak mengenali Imam Ahmad.

Lalu, Imam Ahmad pun keluar dan mahu berbaring di luar masjid, namun tetap dilarang oleh penjaga masjid tadi. Dari kejauhan, ada seorang penjual roti yang sedang memerhatikan kejadian itu, lalu memanggil beliau ketika beliau melalui tempat dia berniaga. Di sapanya Imam Ahmad dan menjemputnya untuk beristirehat di tempatnya. Imam Ahmad masih memperkenalkan dirinya sebagai Musafir.

Sepanjang berada di tempat rehat yang disediakan iaitu berdekatan dengan si penjual roti, beliau mendengar penjual roti ini sering beristighfar. Pada setiap tindakannya ketika membuat roti itu, dia melafazkan istighfar. Imam Ahmad bertanya kepada penjual roti berkenaan : ”Apakah kesan daripada perbuatanmu ini?” Maka lelaki tadi menjawab : “Semua permintaanku dikabulkan Allah kecuali satu iaitu aku memohon kepada Allah untuk mempertemukanku dengan Imam Ahmad.” Mendengar jawapannya itu, Imam Ahmad bertakbir lalu berkata : “Aku didatangkan ke sini kerana istighfarmu.” Lelaki tadi bertahmid memuji Allah kerana permintaannya telah pun dikabulkan.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami tidak menjumpai kisah Imam Ahmad bersama penjual roti sebagaimana yang diceritakan di atas di dalam Manaqib al-Imam Ahmad oleh Imam Ibn al-Jauzi. Juga daripada mana-mana kitab muktabar yang lain. Malah, Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil turut menyatakan bahawa kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab al-Tarajum dan al-Manaqib. Khususnya kitab-kitab yang menceritakan berkenaan biografi Imam Ahmad bin Hanbal seperti Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, Tabaqat al-Hanabilah, Siyar A’lam al-Nubala’, Tarikh Baghdad, al-Bidayah wa al-Nihayah dan lain-lain kitab yang ada menceritakan mengenai kehidupan Imam Ahmad.

Walau bagaimanapun, terdapat kisah yang hampir serupa sebagaimana di atas. Namun, kisah tersebut bukanlah dengan penjual roti tetapi dengan Ishak bin Rahawayh.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menyebutkan mengenai kelebihan dan fadhilat istighfar. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakan istighfar dan seterusnya menjadikannya sebagai zikir yang kita lazimi dalam kehidupan seharian kita. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita semua tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang banyak beristighfar (memohon keampunan kepada-Nya). Ameen.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini