Imam Ahmad dan Ishaq bin Rahawayh

Izuan
imam ahmad dan ishak

Pada artikel sebelum ini, telah ditampilkan hujah bahawa kisah Imam Ahmad dan penjual roti yang kerap beristighfar itu, tidak dijumpai sumbernya. Namun ada satu kisah yang mirip kisah tersebut iaitu antara Imam Ahmad dan Ishak bin Rahawayh.

Imam Ibn al-Jauzi telah menukilkan riwayat daripada Abdullah bin Ahmad yang menceritakan bahawa apabila ayahnya telah dibebaskan daripada Mihnah (Khalq al-Quran). Beliau risau sekiranya Ishak bin Rahawayh (terlebih dahulu) datang menemuinya.

Oleh itu, beliau telah berangkat pergi kepadanya. Apabila beliau sampai di sebuah bandar yang bernama al-Rai, beliau telah masuk ke dalam masjid. Ketika itu, hujan turun sangat lebat. Apabila hari semakin lewat malam, Imam Ahmad telah diarahkan untuk keluar daripada masjid tersebut kerana mereka (penjaga masjid) mahu menutupnya (menguncinya).

Imam Ahmad pun lantas berkata : “Ini adalah masjid Allah dan aku adalah hamba Allah.” Kemudian, dikatakan kepadanya : “Mana yang lebih kamu suka, dikeluarkan atau kamu keluar berjalan sendiri dengan kaki kamu?” Imam Ahmad pun memberi salam kepada mereka dan terus keluar dari masjid tersebut dalam keadaan hujan masih turun dengan lebatnya bersama dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung. Beliau tidak tahu ke mana yang hendak dituju.

Kemudian, seorang lelaki telah keluar daripada rumahnya dan bertanya kepada Imam Ahmad: “Wahai saudara, kemanakah kamu mahu pergi pada waktu ini?”. Jawabnya : “Aku tidak tahu kemana mahu pergi”. Kemudian, lelaki tersebut telah berkata kepada Imam Ahmad : “Masuklah!”. Dan dia telah membawa masuk Imam Ahmad ke dalam rumahnya dan memberinya pakaian ganti yang kering serta menanggalkan pakaian yang basah. Kemudian, Imam Ahmad telah berwuduk untuk menunaikan solat.

Kemudian, Imam Ahmad telah dihidangkan pula dengan makanan dan dijemput makan bersama dengan mereka (lelaki tadi bersama ahli keluarganya). Beliau pun makan bersama mereka. Lelaki itu, bertanya kepada Imam Ahmad : “Kamu datang daripada mana?”. Jawabnya : “Aku daripada Baghdad”. Lelaki itu bertanya lagi : Adakah kamu kenal seorang lelaki yang bernama Ahmad bin Hanbal? Jawabnya : “Akulah Ahmad bin Hanbal”. Dan lelaki itu pula berkata : “Dan aku pula Ishak bin Rahawayh.” (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 512)

Imam al-Zahabi telah menilai kisah ini sebagai hikayat palsu dan mengkritik Imam Ibn al-Jauzi kerana memasukkan kisah ini (dalam kitab beliau). (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 11/321-322)

Wallahua’lam

sumber – mufti wilayah

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini