Apa Hukum Sambut Tahun Baru Cina?

hukum sambut tahun baru cina

Apa hukum sambut Tahun Baru Cina?

Negara Malaysia mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan etnik.

Sempena Raya Cina yang semakin dekat ini, kita sebagai umat Islam pasti tertanya adakah kita boleh merayakan Raya Cina atau mengucapkan ucapan selamat kepada rakan-rakan kita yang berbangsa Cina

Jom belajar sama-sama!

Sejarah Tahun Baru Cina

Tiada sumber yang jelas berkenaan ini, tetapi antara legenda yang terkenal ialah,

Pada zaman dahulu, Nián (年) ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan, yang muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud “menyambut tahun baru”, membawa erti harfiah “meredah raksasa Nian”.

Islam & Toleransi Dalam Beragama

Islam tidak pernah menafikan hak agama yang lain bahkan pada zaman Rasulullah SAW sendiri, Baginda hidup bersama masyarakat Yahudi, Nasrani dan juga kaum musyrikin. Secara asasnya Islam menyuruh umatnya berwala’ kepada Islam dan barra’ dari kekufuran serta merasa bangga dengan pegangan Islam serta menampilkan jati diri muslim sehingga keperibadian dan corak kehidupan dapat dibezakan dari golongan kafir. Firman Allah SWT:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”.

(Fussilat: 33)

Melihat kepada hakikat sambutan tahun baru Cina, ianya merupakan satu perayaan adat yang tidak ada kaitannya dengan permasalahan akidah. Ianya semata-mata menyambut tahun baru mengikut kalendar lunar Cina.

Hukum Sambut Tahun Baru Cina

Kesimpulannya, BOLEH tetapi selagi tidak melampaui batasan agama.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Beberapa garis panduan digariskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
  4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
  5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Wallahua’lam

sumber – muftiwp

1 Comment
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
Nasreen Hakim
3 months ago