Hukum Mengumpat Dalam Islam

Izuan
mengumpat

Apa hukum mengumpat?

Mengumpat, mengata, bergosip atau dalam english dipanggil badmouthing. Semua orang pernah melakukannya dalam kehidupan mereka tanpa sedar atau pun tidak.

Apatah lagi di era media sosial ini. Apa sahaja yang tidak disukai boleh disampaikan terus kepada orang lain dengan sekali klik. Lagilah perbuatan terkutuk ini semakin menjadi-jadi.

Definisi Mengumpat

Maksud mengumpat atau al-Ghibah ialah

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” [Riwayat Muslim (2589)]

Hukum Mengumpat

Firman Allah SWT

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

al-Hujurat:12

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 139-140/26]

Beradarkan ayat di atas bayangkan berapa besar dosa mengumpat…

Keadaan Dibolehkan Mengumpat

Sungguhpun begitu, terdapat juga beberapa keadaan yang mana ghibah atau mengumpat dibenarkan dan diharuskan. Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam al-Nawawi menerusi kitabnya.

Menurutnya, terdapat enam jenis mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’ie :

  1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  2. Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  3. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  4. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik, dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 432-433]

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. [Lihat: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173]

Kesimpulan

mengumpat orang

Kesimpulannya, mengumpat adalah satu perbuatan yang haram melainkan dengan sebab-sebab yang diizinkan syara’ sepertimana yang telah kami jelaskan di atas. Selain itu, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia. Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia. Amin.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini