Hukum Gosok Gigi di Bulan Puasa

Izuan
hukum gosok gigi

Apa hukum gosok gigi di Bulan Puasa?

Ramai yang tertanya-tanya berkenaan hukum berus gigi masa puasa, sebab risau batal puasa.

Jangan risau di artikel ini saya akan kongsikan jawpannya.

Hukum Asal Gosok Gigi

Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ

“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku  ataupun manusia nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jadi hukum sikat gigi ialah sunat pada asalnya.

Hukum Berus Gigi Masa Puasa

Ramai orang dilema kerana dalam sebuah hadis sahih, Nabi SAW bersabda;

لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْك

Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jadi bagaimana? Adakah kita tidak perlu gosok gigi langsung dan biarkan saja ia ‘busuk’ sebab nak beramal dengan hadis di atas?

Ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Hukum bersiwak atau gosok gigi selepas gelincir matahari adalah khilaf. Sebahagian memakruhkannya dan sebahagian yang lain mengharuskannya. Pendapat yang sahih dan rajih adalah harus. Dalil tidaklah menetapkan waktu. Ini kerana bau mulut yang melampau juga tidak disenangi oleh rakan-rakan yang berhampiran.

Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu, jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

Apa hukum gosok gigi selepas sahur?

Sama seperti dijelaskan di atas, harus hukumnya.

Ubat gigi ada rasa, batal puasa?

Adapun dakwaan bahawa ubat gigi yang ada sekarang tidak boleh digunakan kerana ada rasa tertentu, ini tidak kukuh kerana kayu sugi zaman dahulu juga ada rasa yang tersendiri. Selagi mana ia tidak masuk ke dalam perut dengan sengaja maka ia tidak membatalkan puasa.

Hukum cungkil gigi ketika puasa?

Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur tidak membatalkan puasa sekiranya susah untuk membezakan dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Hal ini jika sekiranya sedikit. Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan banyak, maka ia membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab Maliki, Syafie, Hanbali, Abu Yusuf dan Zufar. Inilah pendapat yang kami cenderung.

Dipetik dari – https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/2021-sisa-makanan-di-celah-gigi

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini