Bulan Rejab telah tiba, maka ada di antara kita yang sudah mula meningkatkan amal kebaikan sebagai persediaan Ramadan.
Tetapi, dengan semangat yang berkobar-kobar, perlulah turut disertai dengan ilmu, kerana dikhuatiri orang awam akan beramal dengan hadis palsu yang berkaitan dengan bulan Rejab.
Antara hadith-hadith palsu yang sering dikaitkan dengan bulan Rejab ialah :
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
فَضْلُ شَهْرِ رَجَبٍ عَلَى الشُّهُورِ كَفَضْلِ الْقُرْآنِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ
Maksudnya: “Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al-Qur’an berbanding semua jenis kalam”.
Hadith ini palsu dan ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar di dalam al-Tabyin. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 85/2]
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَغْفَلُوا عَنْ أَوَّلِ جُمُعَةٍ مِنْ رَجَبٍ فَإِنَّهَا لَيْلَةٌ تُسَمِّيهَا المَلَائِكَةُ الرَّغَائِب
Maksudnya: “Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib”.
Hadith ini dusta keseluruhannya menurut Ibn al-Qayyim. [Lihat: al-Manar al-Munif, 95]
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَجَبٍ يَعْدِلُ ذَلِكَ بِصِيَامِ سَنَةٍ ، وَمَنْ صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ أُغْلِقَ عَنْهُ سَبْعَةُ أَبْوَابِ النَّارِ ، وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ نَادَىْ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ سَلْ تُعْطَهْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun, barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta)”.
Hadith ini bathil dan tiada asal baginya menurut Imam al-Syaukani. [Lihat: al-Fath al-Rabbani, 3212/6]
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ فِيْ الجَنَّةِ نَهْرًا يُقَالُ لَهُ رَجَب مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ العَسَلِ، مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَب سَقَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut”.
Hadith ini bathil menurut Imam al-Zahabi. [Lihat: Mizan al-Mu’tadil, 189/4]
Wallahua’lam
sumber – muftiwp