Hadis Mujaddid Setiap 100 Tahun, Apa Maksudnya?

Izuan
mujaddid

Masyhur di kalangan kita membincangkan siapakah akan menjadi mujaddid(reformis) pada setiap 100 tahun. Kehadiran mereka dinanti-nanti dan tidak kurang yang membuat prediksi kerana inginkan agama Islam dipimpin oleh orang yang hebat seterusnya membawa kepada kebangkitan Islam.

Hadis berkenaan perkara ini, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)” 

Riwayat Abu Daud (3740) dalam Kitab al-Malahim, Bab Apa yang Disebut pada Kurun ke-100,  dan al-Hakim (4:522) dalam al-Mustadrak. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani (599) dalam Silsilah-nya,

Pengertian Mujaddid

Kata mujadid berasal dari kata bahasa Arab mujaddu yang berarti seorang alim yang membawa pembaruan atau pembaharuan.

Dalam budaya Islam, mujaddid sendiri adalah orang yang mengembalikan ajaran Islam ke jalan yang benar ketika penyimpangan Al-Qur’an dan hadis dirasa menjamur.

Mujaddid bisa saja dari kalangan ulama, pemimpin, atau bahkan cendekiawan. Namun, yang pasti, mereka adalah orang yang berpengaruh besar dalam menegakkan agama Islam pada zamannya

Tugas seorang mujaddid adalah membangkitkan, memperbaiki, dan meluruskan kembali ajaran Islam yang telah dinodai dari kekufuran dan sebagainya.

Makna Lafaz “ مَن ” di dalam hadith di atas

Para ulama’ dan ahli ‘ilmu berpendapat ketika menafsirkan hadith ini, lafaz “man” (من) itu adalah “isim mausul” (اسم موصول) yang membawa maksud itlaq (إطلاق) samada seorang atau lebih. Ini kerana, terdapat golongan yang mengatakan hanya seorang yang akan menjadi reformis setiap seratus tahun. Pendapat yang mengatakan bahawa lafaz “man” itu menunjukkan lebih daripada seorang disokong oleh beberapa ulama’ hadith yang terkenal, antaranya ialah:

  • Ibn Hajar : “Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan.” [Fath al-Bari, 13:295]
  • Ibnu Kathir : “Hadith ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardhu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu.” [al-Bidayah wa al-Nihayah, 9:303]
  • Al-Zahabi : “Aku berpendapat lafaz “man” di dalam hadith tersebut menunjukkan jama’ dan bukannya mufrad”.[Tarikh al-Islam, 7:99]

Mujaddid setiap abad

Imam Suyuthi menulis satu kitab khusus yang berbicara tentang para mujaddid setiap abad dengan judul: [التنبئة بمن يبعث الله على رأس كل مئة]

  1. Abad Pertama, Umar bin Abdul Aziz (w. 101 H)
  2. Abad kedua, Muhammad bin Idris As-Syafi’i (w. 204 H)
  3. Abad ke-3, Imam Ibnu Suraij (w. 306 H) atau Abul Hasan Al-Asy’ari (w. 324H).
  4. Abad ke-4, Abu Hamid Al-Isfirayini (406 H) atau Imam Sahl bin Abi Sahl As-Sho’luqi atau Abu Bakar Al-Baqillani (w. 403 H). Imam Ibnu Asakir lebih memilih yang terakhir.
  5. Abad ke-5, Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghozali (w. 505 H). Beliau juga termasuk mujaddid yang disepakati oleh para ulama.
  6. Abad ke-6, Imam Fakhruddin Ar-Razi (w. 606 H) atau Imam Rofi’i (w. 623 H).
  7. Abad ke-7, Imam Ibnu Daqiq Al-I’ed (w. 702 H). Beliau juga mujaddid yang disepakati.
  8. Abad ke-8, Imam Sirojuddin Al-Bulqini (w. 805 H) atau Imam Iroqi (w. 806 H).
  9. Abad ke-9, Imam Suyuthi (w. 911 H). Imam Suyuthi menganggap diri beliaulah mujaddid di abad ini.
  10. Abad ke-10, Imam Syamsuddin Ar-Romli (w. 1004 H).
  11. Abad ke-11, Ibrahim bin Hasan Al-Kurdi (w. 1101 H).
  12. Abad ke-12, Sayyid Murtadho Az-Zabidi (w. 1205 H).

Dan seterusnya sampai hari kiamat, Imam Suyuthi menyebutkan bahwa di akhir abad umur dunia ini, Nabi Isa yang menjadi mujaddid terakhir.

Pemilihan para ulama terhadap beberapa orang ini tentu bukan asal-asalan, tapi ada kriteria yang harus dipenuhi, pastinya bukan ulama biasa.

Semoga kita semua berazam untuk mendidik anak-anak kita agar menjadi mujaddid di masa akan datang.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini