Hadis Ibu Tiga Kali, Kemudian Bapa

Izuan
ibu 3 kali

Pernah tak terbaca tentang hadis yang mengutamakan ibu 3 kali lebih daripada bapa.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.

Riwayat Muslim (2548)

Mengapa Ibu?

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan kata-kata Imam al-Nawawi yang menukilkan pendapat para ulama yang menjelaskan sebab-sebab didahulukan seorang ibu dengan kata mereka: ‘’Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (16/79).

Manakala Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: ‘’Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah S.W.T:

حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan.

Surah Al-Ahqaf (15)

Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang terkhusus dengan seorang ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi’’. Rujuk Mirqaat al-Mafatiih, Mulla Ali al-Qari (7/3079).

Jom banyakkan doa kepada ibu bapa kita:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibubapa ku) sebagaimana mereka mendidik aku semasa aku kecil. (Surah Al-Isra’ : 24)

Wallahua’lam

Rujukan :

  1. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3281-al-kafi-1203-mengapakah-didahulukan-berbuat-baik-kepada-ibu-sebanyak-tiga-kali
  2. https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/02/power-seorang-insan-bergelar-ibu/
Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini