Mari kita lihat bagaimana cara Rasulullah bergurau.
Bergurau merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan. Ia sudah menjadi warna-warni dalam hidup seseorang dengan gurauan-gurauan sama ada bersama adik beradik, kawan-kawan atau sesiapa sahaja bertujuan mahu menceriakan suasana.
Rasulullah SAW juga merupakan manusia biasa seperti kita, kadangkala Baginda SAW bergurau dengan isteri dan sahabatnya.
Anas bin Malik berkata:
Rasulullah pernah berkata kepada Anas bin Malik, “Wahai pemilik dua telinga.”
(Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تُدَاعِبُنَا قَالَ: «إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَا حَقًّا»
Abu Hurairah berkata:
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?” Rasulullah menjawab, “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.”
(Diriwayatkan oleh Tirmizi)
Hasan al-Basri berkata:
Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah dan berkata,”Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada Allah agar aku dapat masuk ke syurga.” Rasulullah menjawab, “Wahai ibu Fulan! Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua.” Mendengar jawapan Rasulullah, wanita itu pergi dari situ sambil menangis.
Rasulullah berkata, “Beritahu kepada wanita itu, dia tidak akan masuk ke syurga dengan usia tua.
Kemudian Rasulullah membaca firman Allah di dalam Surah al-Waaqi’ah ayat 35-37 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
(Diriwayatkan oleh Tirmizi)
Betapa mulianya Rasulullah SAW sehinggakan beliau tidak pernah berbohong ketika bergurau. Jika kita ingin bergurau elakkan beberapa perkara ini:
Isi Kandungan
Jangan menipu ketika bergurau
Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah bagi orang yang berdusta untuk berbicara untuk membuat satu kaum ketawa, celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya.” (Riwayat Abu Daud)
Jangan menghina dan menjatuhkan maruah seseorang ketika bergurau
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.”
Dilarang menakutkan orang lain
Jangan pula jenaka itu menyebabkan ketakutan dan memberi kebimbangan kepada orang lain kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” (Riwayat Abu Daud)
Kesimpulan
Bergurau dan ketawalah dengan kadar yang diterima oleh fitrah sejahtera. Islam menegah sikap berlebihan dan keterlaluan dalam semua perkara termasuk ibadah apatah lagi dalam soal bergembira, berhibur serta bergurau-senda.
Alangkah indahnya kehidupan jika kita bersandarkan kepada hikmah Al- Quran dan uswah hasanah Baginda SAW.
Wallahua’lam
sumber – mstar, al-ahkam.net