Keadaan Yang Boleh Buka Puasa Ketika Ramadan

Izuan
boleh buka puasa

Apakah keadaan yang menyebabkan seseorang itu boleh buka puasa?

Puasa Bulan Ramadan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf, meninggalkannya tanpa uzur adalah berdosa besar, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“ Sesiapa yang berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadan tanpa uzur atau sakit ia tidak akan mendapat kelebihan yang sama dengan satu hari bulan Ramadan sekalipun ia  mengqadhakannya semula sepanjang tahun”

(H.R. Bukhari)(Fiqhu al Sunnah :1/267)

Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang membenarkan umat Islam boleh buka puasa di siang hari. Antaranya :

1. Orang yang sakit

Orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa, boleh berbuka dan wajib qadha semula sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadan.

2. Orang yang bermusafir

 Orang yang dalam musafir yang diharuskan dengan jaraknya sah sembahyang Qasar iaitu lebih kurang 90 km, boleh berbuka dan wajib qadha semula sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadan. Namun jika tidak menghadapi kesusahan dalam musafir, berpuasa lebih baik daripada berbuka.

3.  Orang yang sedang mengandung atau menyusu

Terdapat 2 keadaan :

a – Jika bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan diri mereka sendiri, atau diri dan anak mereka, boleh berbuka dan wajib qadha semula sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadhan.

b – Jika bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan anak mereka, boleh berbuka dan wajib qadha semula serta membayar fidyah satu cupak sehari sebanyak bilangan hari yang ia tinggalkan itu selepas bulan Ramadan.

4. Orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh

Golongan ini yang tidak mampu berpuasa boleh berbuka dan wajib membayar fidyah satu cupak sehari sepanjang bulan Ramadhan. (al Fiqhu al Manhaji:1/92-94 dan Fiqhu al Sunnah:1/271-272)

Kesimpulan

Kesimpulannya Haram berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa uzur. Bagi orang yang uzur pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu: 

  1. Boleh berbuka dan wajib Qadha sahaja, iaitu orang yang musafir, orang yang sakit, orang yang mengandung dan orang yang menyusu yang bimbang terhadap keselamatan diri mereka, atau diri dan anak mereka.
  2. Boleh berbuka dan wajib Qadha serta membayar fidyah iaitu orang yang mengandung dan orang yang menyusu yang bimbang terhadap keselamatan anak mereka.
  3. Boleh berbuka dan wajib membayar fidyah sahaja iaitu orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.

Wallahua’lam

sumber – muftiterengganu

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini