8 Asnaf Penerima Zakat

Izuan
asnaf

Asnaf ialah pihak yang layak menerima bantuan Zakat yang dikutip daripada orang Islam.

Golongan asnaf ini disebut dalam al-Quran pada Surah at-Taubah, ayat 60 :

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ٦٠

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berutang, untuk jalan Allah, dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

8 Golongan Asnaf

1. Fakir

Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

2. Miskin

Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

3. Amil

Individu atau institusi yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada mengurus dan mentadbir hal ehwal pungutan, pengagihan atau yang mengawasi urusan kewangan zakat.

4. Muallaf

Mereka yang hatinya baru berjinak–jinak dengan agama Islam dan mendapat hidayah menganuti Islam supaya mereka merasakan adanya tempat bergantung bagi menghadapi cabaran yang  mendatang.

5. Al-Riqab

Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

6. Al-Gharimin

Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.

7. Fisabilillah

Orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

8. Ibnu Sabil

Orang yang terputus bekalan ( perbelanjaan ) semasa perjalanan (safar) dan orang yang hendak memulakan perjalanan yang diharuskan oleh Syarak.

Wallahua’lam

Rujukan – zakat.com, maij, easnaf muip

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini