7 Adab Menghadiri Rumah Terbuka

Izuan
adab menghadiri rumah terbuka

Ketika tiba hari raya, kita digalakkan untuk menziarahi kaum kerabat dan sanak saudara untuk menyambung hubungan silaturrahim. Ini ialah beberapa adab menghadiri rumah terbuka.

Amalan menyambung silaturrahim amat digalakkan, sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Dalam kegembiraan menyambut hari raya, masih ada adab sopan dan etika yang perlu kita patuhi supaya menjaga kehormatan tuan rumah dan kita juga sebagai tetamu.

1. Mempunyai niat yang baik

Niatkan untuk memenuhi undangan dan menggembirakan perasaan sahabat kita yang telah membuat rumah terbuka. Ketika datang janganlah terlalu menunjukkan kemewahan dengan pakaian yang terlalu menonjol atau barang kemas, cukup dengan pakai pakaian yang kemas untuk menghormati majlis. Jika terlalu menunjuk harta, dikhuatiri orang ramai akan iri hati.

2. Pada waktu yang sesuai

Datang pada waktu yang sesuai tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat. Jika terlalu awal, tuan rumah tidak bersedia lagi dan akan merasa kurang selesa kerana masih melakukan persiapan rumah terbuka. Jika terlalu lewat, menyusahkan tuan rumah kerana telah berkemas kemudian kena keluarkan semula makanan untuk melayan anda.

3. Hormati tuan rumah

Ketika sampai ke majlis rumah terbuka, berilah salam kepada tuan rumah dengan penuh hormat dan mintalah izin untuk masuk sambil menghulurkan tangan kepadanya untuk bersalaman serta bertanya khabar. Begitu juga apabila pulang nanti, janganlah terus pergi begitu sahaja, bertemulah tuan rumah terlebih dahulu untuk meminta izin berundur dan bagi mengucapkan terima kasih atas jemputan dan hidangan yang disediakan serta mendoakannya supaya murah rezeki dan diberkati usia mereka sekeluarga.

4. Jaga adab makan

Di rumah terbuka pasti ada makanan yang disajikan. Sebagai tetamu, kita perlu ambil sekadarnya sahaja, jangan ambil berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Lepas makan, letakkan pinggan atau sisa makanan di tempat sepatutnya.

Jangan lupa mendoakan orang yang memberi makan :

اَللَّھُمَّ بَارِكْ لَھُمْ فِیْمَا رَزَقْتَھُمْ، وَاغْفِرْ لَھُمْ وَارْحَمْھُمْ

“Ya Allah! Berilah berkah apa yang Engkau rezekikan kepada mereka, ampunilah dan belas kasihanilah mereka.”

HR. Muslim: 3/1615

5. Menjaga percakapan

Di dalam kegembiraan suasana rumah terbuka, jagalah perkataan untuk tidak menyinggung mana-mana pihak. Jangan complain tentang keburukan rumah terbuka apabila ia tidak sesuai ekspektasi. Elakkan mengata dan mengumpat kerana akan mengurangkan pahala anda.

6. Pakaian yang sesuai

Orang-orang tua selalu pesan ” kalau datang majlis orang pakai elok-elok”, setelah dewasa baru faham bahawa ini merupakan salah satu cara untuk menggembirakan hati tuan rumah. Rasulullah SAW sendiri merupakan insan yang sentiasa rapi dan kemas.

7. Peka dengan waktu solat

Dalam kesibukan bersembang di rumah terbuka, pastikan solat dijaga. Singgahlah terlebih dahulu di masjid/surau berhampiran setelah masuk waktu solat. Jangan disebabkan ingin merapatkan hubungan dengan manusia, kita melupakan hubungan dengan Allah.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini