Adab Masuk Rumah Orang Yang Ramai Lupa

Izuan
adab masuk rumah orang

Amalan ziarah menziarahi merupakan amalan yang dituntut dalam Islam kerana dapat merapatkan sillaturahim. Tapi, zaman sekarang, ramai sudah lupa adab masuk rumah orang.

Di artikel ini saya akan kongsi tentang waktu ziarah rumah orang, bila waktu dilarang datang rumah orang dan adab sebagai tetamu.

Waktu Ziarah Rumah Orang

Sebaik-baiknya, MAKLUMKAN TERLEBIH DAHULU. Bagitahu tuan rumah sebelum kita datang rumah, lebih lebih lagi kalau kita nak tumpang tidur. Bila kita bagitahu, boleh la tuan rumah kemas rumah dan sedia apa yg patut untuk kita.

Selain itu, kita perlu pilih waktu yang sesuai supaya tidak menggangggu tuan rumah. Dalam Islam, ada panduan tentang 3 waktu dilarang datang rumah orang.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِيَسْتَـْٔذِنكُمُ ٱلَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ وَٱلَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا۟ ٱلْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَـٰثَ مَرَّٰتٍۢ ۚ مِّن قَبْلِ صَلَوٰةِ ٱلْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِيرَةِ وَمِنۢ بَعْدِ صَلَوٰةِ ٱلْعِشَآءِ ۚ ثَلَـٰثُ عَوْرَٰتٍۢ لَّكُمْ ۚ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

(Surah an-Nur: 58)

Dalam surah an-Nuur ayat 58, terdapat tiga waktu aurat:

  1. Sebelum solat Subuh
  2. Ketika orang berehat waktu tengah hari
  3. Selepas solat Isyak

Jika dilihat waktu tersebut adalah untuk berehat. Kita sendiri mahu ruang untuk diri sendiri dan privasi, begitu juga orang lain, kann.

Adab Berkunjung Ke Rumah Orang Dalam Islam

  1. Memberi salam terlebih dahulu.
  2. Mengetuk pintu perlahan-lahan dan tidak melebihi tiga kali.
  3. Berdiri bersebelahan pintu kerana dibimbangi jika yang membuka pintu itu adalah orang yang bukan mahram.
  4. Tidak masuk melainkan setelah mendapat keizinan.
  5. Tidak mengintai atau mengendap ke dalam rumah.
  6. Duduk di tempat yang disediakan kerana tuan rumah lebih maklum tentang keadaan rumah mereka.

Dalil Memuliakan Tetamu

Firman Allah :

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya :  Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

(Surah Al-Dzariyat : 24-27)

Ayat ini merakamkan perbuatan Nabi Ibrahim AS menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun Baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun Baginda tetap melayannya.

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya :” Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”

Riwayat Al-Bukhari (6136)

Adab Sebagai Tetamu

Walaupun dilayan dengan baik oleh tuan rumah, jangan lupa diri. Ada adab tetamu 3 hari sahaja seeloknya jika menetap di rumah orang.

Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk. Nabi SAW pernah memperingatkan kita tentang perkara ini. Sabda Nabi SAW :

منْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ جَائِزَتُهُ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ وَالضِّيَافَةُ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ فَمَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ صَدَقَةٌ وَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَثْوِيَ عِنْدَهُ حَتَّى يُحْرِجَهُ

 Maksudnya :” Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan adalah selama sehari dan semalam.Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih daripada itu ialah sedekah. Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (6135)

Kata orang tua-tua, “Masuk rumah orang butakan mata, keluar daripadanya jadi bisu”. Ayat ni bermaksud tentang ‘adab’ sebagai tetamu. Walaupun nampak simple, adab ini dapat kita praktikkan ketika beraya dan adab menumpang rumah orang.

Masuk menjadi buta maksudnya mata kita tidak melilau melihat setiap pelosok rumah. Dan tidak cuba mencari kekurangan dan membandingkan dengan rumah orang lain.

Keluar menjadi bisu bermaksud tidak bercerita tentang keadaan rumah yang kita ziarah itu. Tidak semua orang suka jika rumahnya dihebahkan kepada orang ramai, jadi kita perlu hormati privasi mereka.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini