Adab masuk rumah merupakan amalan yang kelihatan simple, tapi kelebihannya amat besar.
Disunahkan mengucapkan Bismillah, memperbanyak ucapan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam apabila memasuki sebuah rumah, baik ada orang atau tidak ada di dalamnya:
Allah SWT berfirman:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَدْخُلُوْا بُيُوْتًا غَيْرَ بُيُوْتِكُمْ حَتّٰى تَسْتَأْنِسُوْا وَتُسَلِّمُوْا عَلٰٓى اَهْلِهَاۗ ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.
(Surah An-Nur Ayat 27)
Berdasarkan ayat di atas antara adab masuk rumah orang ialah meminta izin terlebih dahulu dan memberi salam.
Isi Kandungan
1. Memberi Salam
Disunnahkan memberi salam ketika ingin masuk ke rumah sendiri ataupun rumah orang.
Jika tidak berpenghuni beri salam kepada diri sendiri dengan bacaan:
السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين
Ertinya: “Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang sahih.”
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda kepadaku yang maksudnya, “Wahai anakku! Apabila engkau masuk (ke rumah) ahli keluargamu berilah salam nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atasmu dan ahli keluarga rumahmu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
2. Doa Masuk Rumah
بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِیُسَلِّمْ عَلَى أَھْلِه
“Dengan nama Allah, kami masuk (ke rumah), dengan nama Allah, kami keluar (darinya) dan kepada Tuhan kami, kami bertawakkal”. Kemudian mengucapkan salam kepada keluarga-nya.
3. Membaca Al-Quran
Seterusnya memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Surah Al-Baqarah adalah pendinding rumah seperti sabda Nabi s.a.w :
“Janganlah menjadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan / jin akan lari dari suatu rumah yang dibacakan di dalamnya surat Al Baqarah” (HR. Muslim)
4. Masuk Kaki Kanan
Mendahulukan anggota badan yang kanan ketika melakukan sesuatu merupakan anjuran agama. Islam. Nampak mudah, tapi ini antara sunnah masuk rumah yang ramai orang lupa.
Kelebihan Memberi Salam, Adab Masuk Rumah Yang Paling Utama
Sabda Nabi SAW yang maksudnya,
“Tiga golongan yang kesemua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup diberi kecukupan dan jika dia mati masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad)
Berdasarkan beberapa hadis yang disebutkan tadi, nyatalah kepada kita akan kehebatan fadilat memberi salam khususnya memberi salam sebelum masuk rumah. Dengan ucapan salam, rumahtangga akan diliputi keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, diberi kecukupan dan terhindar dari gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya akan hidup dalam keadaan tenang, tenteram dan rukun damai.
Selain diri kita manusia yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar ini, di dalam rumah kita kadang-kadang terdapat penghuni lain terdiri daripada makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dengan ucapan salam kadang-kadang terbukti mereka yang memusuhi kita boleh menjadi baik dan tidak mengganggu kita.
Inilah sebahagian daripada adab dan sopan santun dalam Islam yang wajar dijadikan amalan seharian dalam hidup kita.
Wallahua’lam
sumber – mediapermata
[…] sedikit perbezaan dengan adab masuk rumah yang biasa kerana kita masuk tempat yang tiada penghuni, ada beberapa perkara yang perlu diambil […]