Selalu kita dengar “kita dah usaha, hanya mampu tawakal kepada Allah”. Hakikat bertawakal kepada Allah, maksudnya dia telah berusaha sedaya upaya, sehinggakan tiada lagi yang mampu dilakukan selain hanya berharap kepada Allah.
Maksud tawakal mengikut dewan bahasa dan pustaka ialah berserah kpd Tuhan setelah berikhtiar, percaya dgn sepenuh hati kpd Tuhan (dlm penderitaan, kesusahan, dll)
Tawakal tanda keyakinan kepada Allah SWT
Tawakal itu merupakan ciri orang beriman, dalam surah Ali-Imran, ayat 122,
وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
“dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”
Apabila hati mukmin berpegang kepada Allah dalam urusan dunia dan akhirat maka keikhlasan akan terbit dan hubungannya dengan Allah makin kukuh. Keyakinan dan kepercayaan kepada Allah makin bertambah. Allah SWT menyuruh hamba-Nya bertawakal melalui beberapa ayat seperti berikut:
Salah Faham Tentang Tawakal
Adakah tawakal dalam Islam tidak perlu kepada usaha?
Mengambil sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung itu pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah)
Imam Suyuthi dalam menjelaskan hadis ini ia bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan bermalas-malasan dalam memperoleh rezeki, sebaliknya menuntut kita berusaha bersungguh-sungguh seperti burung yang keluar pada pagi mencari rezeki dalam perut yang kosong.
Imam al-Ghazali turut menjelaskan dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin bahawa tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap ‘eskapisme’ bagi orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal adalah tempat kembalinya usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah kepada Allah yang akan menentukan hasilnya.
Panduan yang hampir sama juga pernah dinyatakan oleh Saidina Umar. Al-Imam al-Baihaqi merekodkan kisah bagaimana Saidina Umar menegur sekumpulan manusia dari Yaman yang datang bermusafir tanpa membawa sebarang bekalan. Mereka mendakwa mereka adalah kumpulan manusia yang bertawakal kepada Allah. Umar membantah dengan berkata:
“Kamu bukanlah golongan yang bertawakal tetapi golongan yang membinasakan diri (membiarkan diri binasa kerana tidak berusaha untuk memelihara diri).”
Janganlah kita mencemarkan konsep tawakkal ini dengan tindakan yang salah. Andai sekiranya kita sendiri tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan, bagaimana mungkin kita mendakwa kita sedang bertawakal kepada Allah sedangkan garis panduan tawakal yang disarankan oleh Rasulullah tidak pula kita patuhi.
Contohi Cara Rasulullah Tawakal
Siapakah yang paling tinggi sifat tawakalnya jika bukan Rasulullah. Tetapi jika dibaca sirah Nabawiyah, lihat bagaimana Rasulullah merancang dengan teliti dalam setiap peperangan, rencana dakwah yang lengkap, penghijrahan ke Madinah dengan bekalan dan pengorbanan. Ini baru tawakal yang benar, bukan berlepas tangan dan tiba-tiba berserah kepada Allah sahaja.
Kesimpulannya, sifat tawakal Alallah yang dituntut kepada umat Islam adalah dengan menyerahkan segala urusan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah demi mendapat keredaan-Nya. Maka tawakal terangkum padanya tekad, azam, strategi, usaha bersungguh-sungguh, doa dan diakhiri dengan reda atas segala ketentuan Allah.
Wallahua’lam
#bukanKPJtawakkal