Haji Wada’, Haji Pertama Dan Terakhir Nabi Muhammad

Izuan
haji wada'

Haji Wada’ terjadi pada tahun 10 Hijrah, pada bulan Zulhijjah. Nama lain Haji Wada’ ialah Haji Wida’ dan Hajjatul Wada’. Haji ini kemudian dikenal dengan nama haji balâgh (haji penyampaian dakwah Allah), haji Islam (haji penyerahan diri), dan haji wada’ (haji perpisahan).

Maksud Haji Wada adalah Haji Perpisahan, ini kerana pelaksanaan Haji Wada’ artinya Rasulullah sudah selesai melaksanakan tugasnya menyampaikan dakwah dan seruan kepada Tuhan, maka sudah hampir masanya untuk berpisah dengan para sahabat dan kembali kepada Allah.

Disebut sebagai haji balâgh karena pada saat itu Rasulullah menyampaikan ajaran Allah berupa diwajibkannya haji kepada seluruh umat manusia, baik dalam bentuk perkataan maupun perbuatan. Bahkan, tidak ada satu pun unsur dan nilai ajaran Islam, kecuali beliau telah menjelaskannya secara terperinci.

Kronologi Peristiwa Hajjatul Wada’

Ketika Rasulullah mengumumkan keinginan kuat beliau untuk melaksanakan haji mabrur, tepatnya pada tahun ke-10 Hijriah, berduyun-duyun orang datang ke Madinah. Mereka semua ingin menyempurnakan keislaman mereka dengan melaksanakan rukun Islam yang kelima bersama-sama Rasulullah.

Pada hari Sabtu empat hari terakhir bulan Zulkaedah, Baginda telah bersiap dengan tunggangannya, mengemas dirinya, memakai minyak rambut dan menyikatnya, mengenakan pakaian dan rida’nya dan menggalas senjatanya. Selepas sembahyang Zohor, Baginda terus bergerak hinggalah sampai Zul Hulaifah sebelum masuk waktu Asar Di sana Baginda menunaikan solat sunat dua rakaat dan bermalam.

Keesokkan harinya selepas solat Subuh, Baginda memberitahu kepada semua sahabat yang hadir: “Malam tadi aku telah didatangi pemberitahuan dari Tuhanku yang telah menyebut: Bersembahyanglah kamu di lembah yang penuh berkat ini dan katakanlah wahai Muhammad: Umrah dikerjakan bersama-sama Haji”.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Sebelum Baginda menunaikan solat Zohor di hari itu, terlebih dahulu Baginda bersuci dan mengenakan pakaian ihram, kemudian Aisyah menyapukan minyak wangi dan kasturi pada diri Rasululah. Aisyah menyapukan di badannya dan kepalanya hingga ternampak kilauan minyak kasturi di rambut dan di janggutnya. Baginda membiarkan tanpa membasuhnya dan kemudian menunaikan solat Zohor dua rakaat. Setelah selesai solat, Baginda terus bertahlil di tempat sembahyangnya sebagai memulakan ibadat haji dan umrah, sebagai haji qiran.

Setelah itu barulah Baginda bergerak dengan menunggangi untanya yang bernama al-Qaswa’, di situ Baginda bertahlil lagi sedang untanya terus bergerak. Baginda meneruskan perjalanan suci ini hingga hampir memasuki Makkah, maka Baginda bermalam di Tawa.

Keesokkan harinya Baginda memasuki Makkah selepas bersembahyang Subuh, di pagi hari Ahad tanggal empat hari terakhir bulan Zulhijjah tahun kesepuluh (10) Hijrah. Selama lapan malam Baginda mengambil masa untuk perjalanannya yang sederhana itu dan apabila Baginda memasuki al-Masjid al-Haram terus Baginda bertawaf di sekeliling Kaabah dan melakukan Sa’i di antara al-Safa dan al-Marwah, tanpa merombak pakaian ihramnya, kerana Baginda mengerjakan hajinya di kali ini secara qiran berserta dengan binatang sembelihannya. Kemudian Baginda singgah di al-Hajjun tanpa mengulangi tawaf melainkan tawaf rukun haji.

Baginda menyuruh para sahabat yang tidak mempunyai binatang sembelihan supaya menjadikan ihram mereka itu sebagai umrah, dengan bertawaf di sekeliling Kaabah, dan bersaie di Safa dan Maruah, kemudian menukar pakaian ihram kepada pakaian biasa, tetapi para sahabat teragak-agak untuk melakukan suruhan Baginda itu. Justeru itu Rasulullah menegaskan dengan katanya: “Seandainya aku maju ke hadapan dengan suatu tindakan, tak akan pula ku berpatah balik atau menarik balik qurban ku ini. Dan kalaulah aku tidak mempunyai binatang qurban pasti aku merombak pakaian ihram ku ini. Ayuh! Kamu yang tidak memiliki binatang sembelihan, segeralah rombak pakaian ihram”. Dengan itu semua mereka pun mematuhi arahan Rasulullah.

Menuju ke Padang Arafah

Di hari kelapan Zulhijjah yang dikenali juga sebagai hari al-Tarwiyah, Baginda bergerak menuju ke Mina. Di Mina Baginda telah menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh. Baginda berhenti di situ beberapa ketika hingga matahari naik barulah Baginda bergerak.

Sampai di Arafah di kawasan Namirah, Baginda mendapati sebuah khemah sudah pun didirikan untuknya di situ.

arafah
Arafah

Baginda pun singgah sehingga apabila matahari terbenam di ufuk langit Baginda memerintah supaya di bawa kepadanya tunggangan al-Qaswa’, dari situ Baginda pun bergerak hingga sampai ke Batn al-Wadi. Di sana orang ramai telahpun berkumpul sebanyak seratus ribu dan dua puloh empat orang atau seratus ribu empat puluh empat orang. Rasulullah berdiri di hadapan mereka dan terus memberikan khutbah terakhir, mafhumnya;

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Sebaik sahaja selesai Rasulullah menyampaikan ucapannya itu turunlah firman Allah:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا

Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai islam itu jadi agama bagimu.

(al-Maidah : 3)

Semasa Umar mendengar firman Allah itu beliau terus menangis dan setelah ditanya, mengapa beliau menangis? Jawab beliau: “Kerana selepas kesempurnaan akan menyusul pula kekurangan”.

Selepas ucapan Rasulullah itu Bilal pun melaungkan azan dan iqamah untuk bersembahyang Zohor. Kemudian beliau iqamah pula untuk bersolat Asar tanpa melakukan sebarang solat lain di antara kedua-duanya.

Bermalam di Muzdalifah

kutip batu muzdalifah 1

Sesudah itu Baginda menaiki kenderaannya dan bergerak hingga sampai ke suatu tempat perhentian dengan membiarkan perut untanya al-Qaswa’ menyentuh ketulan-ketulan batu di situ, manakala saf pejalan-pejalan kaki berjalan tidak melebihi setakat hadapannya sahaja. Di situ Rasulullah mengadap ke arah qiblat, Baginda terus berdiri hinggalah matahari terbenam di ufuk langit dan sinaran kuning beransur-ansur hilang. Usamah pun menghalau unta Rasulullah hinggalah sampai ke Muzdalifah, di sana Rasulullah menunaikan Maghrib dan al-Isya’ dengan satu azan dan dua iqamah tanpa membaca apa-apa tasbih pun di atara kedua-dua solat itu. Di situ Rasulullah beristirehat, dan tidur hingga ke Subuh. Baginda pun menunaikan solat Subuh setelah diazan dan diiqamah, sesudah itu Baginda menaiki unta al-Qaswa’ dan berjalan hingga sampai ke kawasan al-Haram (masyh’ar al-Haram), menghadapkan muka Baginda ke arah kiblat sambil berdoa, bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Baginda berdiri di situ hinggalah habis waktu pagi.

Menuju ke Mina

Mina
Mina, Saudi Arabia

Rasulullah bergerak lagi dari al-Muzdalifah ke Mina sebelum matahari naik. Di sini al-Fadhil bin Abbas mengikuti dari belakang tunggangan Rasulullah hinggalah sampai ke Batn Mahsar, dengan melalui jalan tengah yang menuju ke Jamrah al-Kubra. Apabila Baginda sampai di sana terdapat sepohon kayu yang dikenali sebagai Jamrah al-Aqabah. Baginda terus melontar tujuh anak batu sambil bertakbir disetiap lontarannya dari Batan al-Wadi. Sesudah itu Baginda menuju ke tempat
sembelihan. Sebanyak enam puluh tiga (63) ekor unta Rasulullah sembelihkan kemudian diserahkannya kepada Ali bin Abi Talib untuk menyembelih yang bakinya, iaitu tiga puluh tujuh (37) ekor unta menjadi bilangan kesemuanya seratus ekor unta.

Pergi ke Makkah

Kemudian Rasululah (s.a.w) menunggang untanya dan bergerak hingga sampai ke Kaabah, di sana Baginda bersembahyang Zohor, sesudah itu menziarahi orang-orang Banu Abdul al-Muttalib yang menjaga air zam-zam dan memberi minum kepada penziarah sekalian. Apabila melihat keadaan itu lantas Baginda berkata: “Ayuh! Rebutkan Banu Abdul al-Muttalib, kalau tidak ditakuti orang ramai mengatasi kamu pasti aku turut merebutnya bersama-sama kamu, justeru itu maka hadirin pun menghulurkan kepada Baginda setimba air dan Rasulullah (s.a.w) pun bersenang hati meminum darinya.

Hari Raya Korban (10 Zulhijjah)

Di hari penyembelihan iaitu hari kesepuluh Zulhijjah, selepas waktu Dhuha Baginda membuat satu ucapan dari atas belakang baghalnya, “Syahba” manakala Ali bin Abi Talib menyampaikannya kepada orang ramai. Sidang hadirin ada yang duduk dan ada yang berdiri. Di dalam khutbahnya ini Baginda telah mengulangi beberapa perkara yang telah Baginda ungkapkannya kelmarin.

Hadis Korban

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” 

[Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

Hari-Hari Tasyrik

Rasulullah tinggal di Mina sepanjang hari-hari tasyrik, mengerjakan ibadat dan mengajar hukum-hukam syariat, membuat tazkirah, membetulkan ajaran-ajaran hidayat dari ajaran Ibrahim, menghapuskan syirik dan kesan-kesannya. Rasulullah (s.a.w) juga membuat penyampaian di sesetengah hari-hari tasyrik, di mana Abu Daud dengan sanad hadith hasan, riwayat Sarra’ binti Nubhan telah berkata: Rasulullah (s.a.w) telah memberi ucapannya di hari tasyrik itu dengan katanya: Tidakkah hari ini, hari tengah di antara hari-hari tasyrik. Ucapan Rasulullah itu seperti ucapannya di hari “al-Nahr” ucapan Baginda itu adalah selepas penurunan surah al-Nasr.

Di hari al-Nafar al-Thani iaitu hari ketiga belas Zulhijjah, Rasulullah (s.a.w) keluar dari Mina bergerak hingga ke tanah tinggi Banu Kinanah di satu kawasan lapangan. Baginda menghabiskan baki hari di situ hingga ke malamnya di mana Rasulullah (s.a.w) telah menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Setelah itu Rasulullah berbaring seketika, kemudian bangun dan bergerak menuju ke Kaabah, di sana Baginda melakukan tawafal-wida.

Tamat Haji Wada’

Setelah selesai mengerjakan ibadat hajinya, Rasulullah (s.a.w) menggesa penunggang-penunggang pulang ke Madinah al-Mutahharah. Gesaan ini dibuat bukanlah kerana hendak memberi kesempatan untuk mereka mengambil peluang beristirehat tetapi adalah untuk menyambung dan meneruskan kembali perjuangan dan pertarungan untuk Allah dan ke jalan Allah.

Pengajaran Haji Wida’

Jika diamati dalam khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, baginda banyak menyentuh mengenai hubungan sesama manusia. Antaranya, berkenaan hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu seperti khutbah Baginda.

Rasulullah SAW berpesan bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling ingat-mengingat dengan melakukan dakwah, mengingatkan supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran.

Semoga kita semua dapat mengambil hikmah haji wada’ bersama-sama.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini